“Cik Qu, saya punya jerawat menjadi-jadilah lepas ambil produk yang Cik Qu jual ni. Kenapa jadi teruk macam ni ye?, tanya Cik Bedah.

“Ehhhh. Ini reaksi normal Cik Bedah oooiiii. Kebanyakkan yang pakai produk Cik Qu dia akan tumbuh jerawat banyak-banyak dulu. Lepas 2 minggu pakai barulah jerawat tu hilang. Inilah namanya Healing Crisis ataupun dalam bahasa melayunya krisis penyembuhan. Dia nak keluarkan segala toksin dalam badan tu. Lepas keluar semua toksin dalam badan tu barulah badan akan jadi sihat”, jelas Cik Qu panjang lebar.

Cik Bedah pun pergi meninggalkan Cik Qu dengan hati yang puas selepas di terangkan berkenaan ‘Healing Crisis’ tersebut.

Datang pula Cik Ta.

“Cik Qu ooiiii. Habis muka Cik Ta berparut berlubang-lubang ni Kak. Macam mana nak jumpa orang ramai ni. Cik Qu Kata jerawat tu proses ‘Healing Crisis’. Tapi tak sangka pulak sampai berlubang-lubang macam nih. Ini pun ambil antibiotik daripada doktor. Doktor kata dah ada jangkitan kuman kat muka akak ni”, Cik Ta pula menceritakan masalahnya kepada Cik Qu si peniaga produk kosmetik dan makanan kesihatan.

“Oiiii. Cik Ta itulah proses ‘Healing Crisis’. Semua toxin telah dibuang daripada jerawat tu. Jerawat yang menimbun tu sebenarnya petunjuk Cik Ta teramatlah banyak toxin dalam badan. Takpe. Saya bantu Cik Ta dengan memperkenalkan produk baru saya iaitu krim penghilang parut. Banyak Vitamin C semula jadi dalamnya”, Jelas Cik Qu.

Cik Ta pun pulang dengan produk ‘Krim Penghilang parut’ dan berharap agar parutnya hilang dengan produk tersebut

Dan kitaran itu berulang-ulang disebabkan wujudnya istilah ‘Healing Crisis’

APA ITU HEALING CRISIS?

Healing Crisis(Krisis Penyembuhan) merupakan salah satu istilah yang selalu digunakan bagi penjual produk supplement dan juga yang memberi khidmat rawatan alternatif.

Healing Krisis dikatakan berlaku apabila taraf kesihatan seseorang berkurangan setelah mengambil produk kesihatan. Selalunya penjual produk akan menafikan bahawa produk mereka mempunyai KESAN SAMPINGAN.

Sebagai contoh setelah menggunakan Produk A, Jerawat sesoarang itu bertambah dengan banyaknya. Penjual produk mesti akan kata bahawa itu adalah Healing Crisis dan ‘Fakta’ paling utama yang akan disogokkan pada pengguna adalah kesan sampingan yang dialami itu merupakan CARA BADAN UNTUK MENGELUARKAN TOKSIN.

Bukan setakat itu, kebanyakkan yang menjual produk kesihatan percaya semakin teruk keadaan Healing Crisis seseorang, dikatakan semakin banyaklah toksin yang hendak dikeluarkan daripada badan.

Sebagai tambahan, healing crisis juga mempunyai nama lain seperti Detox Reaction, Cleansing Reaction ataupun Jarisch-Herxheimer reaction.

Kesan sampingan juga boleh menyebabkan kulit jadi seperti ini

ASAL USUL HEALING CRISIS

Healing Crisis merupakan salah satu istilah yang diubah-suai supaya orang biasa boleh faham. Istilah asal bagi healing crisis adalah Jarisch-Herxheimer reaction.

Jarisch-Herxheimer reaction merupakan satu tindak balas yang berlaku disebabkan kematian sel-sel bakteria di dalam badan. Lebih spesifik lagi keadaan ini berlaku dalam jangkitan bakteria jenis spirochete sahaja. Kematian sel-sel bakteria ini akan melepaskan satu bahan yang dipanggil sebagai ‘Endotoxin’ dan akan merangsang sel darah putih untuk merembeskan bahan yang menyebabkan keradangan(Inflammation).

Rembesan bahan daripada sel darah putih inilah yang akan menyebabkan berlakunya beberapa simptom seperti demam, sejuk dan menggeletar, tekanan darah rendah, sakit kepala, berpeluh-peluh, jantung berdegup kencang dan beberapa simptom lain.

Reaksi ini dijumpai oleh Adolf Jarisch pada 1895 dan 7 tahun kemudian oleh Kalr Herxheimer. Mereka merupakan doktor pakar kulit ketika itu. Tindak balas pada manusia ini dijumpai apabila pesakit yang mempunyai syphillis dirawat dengan menggunakan mercury.

Syphillis merupakan penyakit kelamin disebabkan jangkitan bakteria Triponema Pallidum. Ketika merawat pesakit dengan menggunakan mercury, 75% daripada pesakit mengalami simptom-simptom seperti yang saya katakan di atas.

Setelah 12 – 24 jam, simptom-simptom tersebut akan hilang dan pesakit akan menjadi normal semula.

Kesan sampingan inilah dinamakan sebagai Jarisch-Herxheimer reaction sempena nama doktor yang menemui perkara tersebut.

BETUL KE HEALING CRISIS ITU PROSES UNTUK MENGELUARKAN TOXIN?

Healing Crisis ataupun Jarisch-Herxheimer reaction merupakan tindak balas badan yang berlaku disebabkan kematian sel bakteria yang melepaskan endotoxin ke dalam saluran darah.

Manakala, di dalam pengambilan produk kesihatan pula ia tidak langsung melibatkan kematian bakteria kerana bahan-bahan tersebut tidaklah boleh membunuh bakteria spirochete. Malah, kegunaan produk tersebut selalunya hanya melibatkan majoriti orang yang sihat.

Oleh itu, kesan buruk yang berlaku disebabkan pengambilan produk kesihatan tidak boleh dikaitkan dengan Healing Crisis. Tetapi kita boleh katakan ia merupakan kesan sampingan(side effect) yang terhasil daripada bahan-bahan di dalam produk tersebut.

Beberapa tahun kebelakangan ini, sudah banyak kes yang melibatkan kesan sampingan yang teruk disebabkan pengambilan produk kesihatan terutamanya yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Malah ada yang berani meletakkan bahan-bahan terlarang ke dalam produk mereka seperti steroid dan juga mercury.

Bahan-bahan terlarang inilah yang mendatangkan kesan yang buruk kepada pengguna.

Jadi selepas ini jika anda mengalami kesan sampingan yang sangat teruk selepas penggunaan sesuatu produk kesihatan, anda boleh membuat aduan kepada bahagian aduan AGENSI REGULATORI FARMASI NEGARA. Cara-cara untuk melaporkan ada ditunjukkan di laman web Medical Mythbuster Malaysia. Boleh rujuk link tersebut.

Jangan percaya istilah ‘Healing Crisis’ yang di war-warkan oleh mereka. Kerana yang akan menderita nanti adalah anda.

Jika anda rasa maklumat ini berguna, sila like page kami Root of Science

Rujukan:
1) Proposed mechanisms and preventative options ofJarisch–Herxheimer reactionsM. W. Pound Pharm BCPS and D. B. Maya Pharm BCPS. Journal of Clinical Pharmacy and Therapeutics (2005) 30, 291–295

Shares