Viral satu mesej di whatsapps dan juga di facebook yang mengatakan satu virus telah merebak daripada arab saudi ke Malaysia. Ia menyebabkan simptom bengkak di bahagian leher seolah-olah seperti penyakit beguk. Penyakit tersebut juga dikatakan telah menjangkiti pelajar-pelajar di sekolah terutamanya sekolah di Putrajaya




Ini adalah post yang tersebar

Kami ada beberapa perkara yang ingin diterangkan bagi menepis berita palsu ini:

Bengkak di bahagian leher adalah disebabkan beguk(Mumps)

Di dalam mesej tersebut mengatakan bahawa wujudnya satu virus yang menyebabkan bengkak di bahagian leher. Perlu diketahui bahawa terdapat satu virus yang selalunya menyebabkan bengkak dan sakit di bahagian leher dan ia dinamakan sebagai Paramyxovirus.

Salah satu berkenaan virus ini adalah ia akan menyerang kalenjar air liur yang berada di bahagian bawah pipi. Tetapi disebabkan ianya berdekatan dengan leher, maka pesakit akan mengatakan bahawa lehernya bengkak.

Inilah penyakit dinamakan sebagai beguk ataupun mumps

Adakah virus ini berasal daripada arab saudi ataupun dibawa oleh mereka yang balik haji?

Penyakit beguk merupakan salah satu penyakit yang berlaku di seluruh dunia dan selalunya ia melibatkan kanak-kanak. Apabila vaksin beguk mula diperkenalkan kepada masyarakat, jumlah kanak-kanak yang mengalami masalah ini berkurangan sebanyak 99% pada negara yang menggunakan vaksin tersebut sebagai contoh US.

Oleh itu, perlu diketahui bahawa asal-usul virus ini bukanlah daripada Arab Saudi, tetapi ia memang sudah ada di seluruh dunia termasuk juga Malaysia.

Ia bukanlah berasal daripada Arab Saudi ataupun daripada mereka yang balik haji

Saya dah suntik anak saya dengan vaksin beguk, kenapa dia masih kena lagi beguk?

Perlu diketahui bahawa sebelum tahun 2016, program vaksin Malaysia hanya memberikan sekali sahaja suntikan untuk penyakit beguk dalam vaksin MMR(measles, mumps/beguk, rubella) iaitu pada umur satu tahun. Keberkesanan vaksin untuk sekali suntikan adalah 78%. Selebihnya adalah bergantung kepada ‘herd immunity'(keimunan kelompok). Semakin tinggi mereka yang mengambil vaksin, semakin rendah kadar penyakit beguk.

Tetapi disebabkan segolongan masyarakat yang tidak faham dalam erti kata fungsi sebenar vaksin, maka mereka menolaknya dan mendedahkan masyarakat terutamanya kanak-kanak kepada jangkitan tersebut.

Pada tahun lepas, Jadual vaksin telah diubahsuai sedikit dimana bayi akan menerima suntikan vaksin MMR pada usia 9 bulan dan 12 bulan. Kajian menyatakan bahawa, suntikan yang kedua ini akan meningkatkan keberkesanan untuk menghindarkan penyakit beguk kepada 88%. Diharapkan perkara tersebut akan mengurangkan lagi jumlah wabak beguk dalam negara pada masa akan datang.

Kelebihan mereka yang menerima vaksin

Perlu diketahui bahawa mereka yang mengalami jangkitan beguk boleh mendapat beberapa komplikasi seperti
1) Keradangan testis yang menyebabkan kemandulan. Testis akan mengecil selepas keradangan itu
2) Jangkitan kuman pada selaput otak(meningitis). Pada ketika ini, pesakit mungkin akan mempunyai halusinasi, sawan, meracau dan sebagainya. Ia mungkin akan menyebabkan kanak-kanak menjadi terencat akal selepas itu
3) Pekak telinga

Pesakit yang mengalami masalah beguk akan terdedah kepada komplikasi di atas. Tetapi berita baik bagi yang telah mengambil vaksin, kajian menunjukkan mereka yang mengambil vaksin MMR akan mempunyai risiko yang rendah untuk mengalami komplikasi berbanding mereka yang tidak mengambil vaksin.

Kesimpulan:

Adakah wabak bengkak leher itu disebabkan virus yang tersebar daripada arab saudi? Jawapannya tidak kerana penyakit tersebut sebelum ini telah berlaku di seluruh dunia. Wabak beguk ini mungkin menunjukkan bahawa ‘Herd immunity'(immuniti kelompok) semakin berkurang.




Oleh itu, masyarakat perlulah lebih bertanggung-jawab untuk memberi immunisasi kepada anak-anak mereka untuk mengelakkan kejadian wabak beguk dan juga untuk menghindari komplikasi yang telah saya nyatakan di atas

Bacaan seterusnya: Penerangan sepenuhnya berkenaan penyakit beguk

 

Rujukan:

  1. https://www.cdc.gov/mumps/vaccination.html
  2. Yung, C.-F., Andrews, N., Bukasa, A., Brown, K. E., & Ramsay, M. (2011). Mumps Complications and Effects of Mumps Vaccination, England and Wales, 2002–2006. Emerging Infectious Diseases17(4), 661–667. http://doi.org/10.3201/eid1704.101461
Shares