Ramai yang terkejut, ramai juga yang kurang tahu berkenaan kes profil tinggi di Amerika Syarikat yang meluluskan saman seorang pengguna terhadap syarikat Johnson and Johnson bernilai 70 juta dollar Amerika tahun ini. Saman tersebut adalah berkenaan penggunaan bedak yang dikatakan telah menyebabkan beliau mengalami penyakit kanser ovari. Soalnya, adakah benar perkara berkenaan?.

Bedak lazim diperbuat dari talkum, mineral yang mempunyai elemen magnesium, silicon dan oksigen. Kompaun bahan seperti ini lazim menyerap kelembapan dan boleh membantu mencegah keradangan (rashes). Talkum ini lazim digunakan dalam pelbagai produk kosmetik seperti bedak bayi, bedak badan dan bedak untuk muka, juga dalam produk lain (bb cream dan sebagainya).

Jika dilihat di belakang bedak anda, akan ada bahan ramuan, jadinya biasanya talkum, magnesium, zink dan pewangi menjadi bahan utama.

Dalam keadaan asal, talkum ini mempunyai asbestos, bahan yang boleh menyebabkan kanser apabila dihidu. Namun, semua produk talkum telah bebas dari asbestos sejak tahun 1970-an.

 

Talkum yang lazim menjadi bahan asas bedak

Ilmu toksikologi.

Umum mengetahui prinsip asas toksikologi adalah pendedahan. Memetik kata Paracelsus (Bapa Toksikologi), semua bahan di dunia adalah racun, apa yang membezakan adalah dosnya. Untuk mengesahkan sesuatu bahan boleh menyebabkan kanser, perlu ada pelbagai kajian terhadap sel, haiwan dan manusia. Namun, ada hipotesis terkini yang mengatakan bedak talkum yang digunakan boleh menyebabkan kanser. Biasanya badan bertanggungjawab seperti IARC (International Agency on Cancer Research) bertanggungjawab untuk mengeluarkan senarai bahan yang boleh menyebabkan kanser/meningkatkan risiko kanser/tidak dikaitkan dengan kanser, berdasarkan bukti kajian yang diperoleh.

Bedak talkum dan kanser ovari.

Terdapat kajian terbaru dalam kalangan 2000 orang wanita dengan kanser ovari dan kumpulan yang tidak mengalami kanser untuk melihat kaitan antara pelbagai risiko yang boleh menyebabkan kanser berkenaan. Keseluruhannya, mereka menemui 33% peningkatan dalam risiko kanser ovari dengan penggunaan bedak di kawasan genital.

Namun begitu, kajian seperti ini tidak dapat menyatakan punca utama dan biasanya tidak boleh dijadikan kesimpulan khusus. Kajian terdahulu menggunakan haiwan dan sel, tidak dapat membuktikan berkenaan penggunaan bedak yang boleh menyebabkan kanser. Teori ini dikatakan boleh terjadi apabila partikel bedak yang disapu di bahagian genital, napkin atau kondom disebarkan ke vagina, uterus, tiub fallopio dan ovari.

Perlu diingatkan kanser terjadi disebabkan pelbagai punca (multifaktorial). Jadi, tidak jelas di sini akan bagaimana penggunaan bedak talkum boleh menyebabkan kanser terutamanya kanser ovari. Adakah bedak talkum boleh mencetuskan kerosakan DNA, menggalakkan proliferasi sel kanser atau mengganggu kitaran sel biologi yang lazimnya menjadi asbab sel kanser itu aktif?.

Kanser Ovari (rujukan Genetics Home Reference – NIH)

Apa kata badan IARC?

IARC merupakan salah satu badan yang menentukan sama ada sesuatu bahan itu menjadi penyebab kepada kanser ataupun tidak

Mereka menyatakan bedak talkum mungkin boleh menjadi karsinogenik kepada manusia (possibly carcinogenic) . Namun, perlu dijelaskan kajian lanjutan masih dilakukan.

Umum doktor kini akan menasihatkan penggunaan sabun bebas bau atau ‘feminine wash’ untuk membasuh bahagian sekitar vagina setiap hari berbanding penggunaan bedak talkum, gel atau antiseptik.

Kesimpulan

Pembacaan lanjut boleh dilakukan dengan membaca artikel berkenaan yang boleh dibaca secara percuma (semak rujukan). Namun, pelbagai faktor boleh dibincangkan berdasarkan teori berkenaan. Tiada maklumat yang kukuh yang mengaitkan bedak talkum dan kanser ovari, sedangkan penyebab utama lain seperti gaya hidup sedentari, penggunaan hormon dan pil perancang serta pemakanan yang tidak seimbang mungkin merupakan faktor lain yang boleh menyebabkan kanser terjadi.

Kesimpulannya, bedak talkum ini masih boleh digunakan sebenarnya dan tiada bukti kukuh yang mengaitkan ia dengan kanser ovari.

Namun, kajian terkini dari Amerika Syarikat menggalakkan penggunaan kosmetik berasaskan tepung jagung, nah kita pula ada bedak sejuk berasaskan tepung beras. Time to go back to basic, maybe? Jika anda masih ragu, guna sahaja bedak milik nenek anda dulu (pastikan ia dari tepung beras ya!).

Bacaan seterusnya: DNA, Mutasi dan kanser
Penulis: Micronucleus

Rujukan :

  1. Cramer DW, Vitonis AF, KL Terry, et al. The association between talc use and ovarian cancer: a retrospective case-control study in two US states. Epidemiology.
  2. Talc ‘IS linked to ovarian cancer’: Risk of disease is ONE THIRD higher for women who use talcum powder on their genitals, experts warn. Mail Online, March 4 2016
Shares