Pada 5 November 2017, penduduk Pulau Pinang dikejutkan dengan hujan tanpa henti selama beberapa belas jam beserta angin kencang.

Akibatnya, seluruh bandar Georgetown serta kawasan sekitarnya lumpuh kerana banjir dan tanah runtuh. Sebagai rekod, hujan pada 4 November mencecah 225.6mm sehari di Prai (Jabatan Meteorologi). Angin kencang yang membadai Butterworth turut merekodkan kelajuan maksimum 60.1 km/jam.

Jadi ramai yang tertanya, mengapa ribut berkenaan begitu dahsyat sekali?

Banjir yang melumpuhkan Bandaraya Georgetown. (Sumber: The Star)

Feri yang tersadai di jeti akibat dilambung ombak tinggi ketika ribut (Sumber: Straits Time)

Pembentukan Lekukan Tropika

Sebuah kawasan bertekanan rendah berpotensi menjadi lekukan tropika telah terbentuk di Laut China Selatan berhampiran Teluk Siam. (Nota: Lekukan tropika merupakan sistem ribut yang paling rendah dalam klasifikasi oleh Japan Meteorological Agency (JMA) dengan kelajuan angin kurang 61km/j atau 33knot).

Kewujudan kawasan bertekanan rendah ini membolehkan pengumpulan lembapan yang dibantu oleh suhu laut yang agak panas untuk membentuk ribut.

Sistem ribut ini kemudiannya membadai kawasan Selatan Thailand sebelum bergerak ke Kedah dan Pulau Pinang. Ketika membadai kawasan daratan, lekukan tropika ini kehilangan sedikit kuasa menjadi sistem bertekanan rendah (disturbance) sebelum berpatah balik semula ke Teluk Siam. Ketika di Teluk Siam, ribut ini kembali diperkuat oleh persekitaran yang sesuai menjadi lekukan tropika dan dinamakan semula sebagai 29W. Rajah di bawah menunjukkan laluan ribut 29W yang dikeluarkan oleh Joint Typhoon Warning Centre (JTWC) yang berpangkalan di Hawaii.

 Peta yang menunjukkan pergerakan ribut 29W. Ribut tersebut datang dari arah timur Semenanjung sebelum membadai bahagian utara, membuat ‘pusingan-U’ di Pulau Pinang dan kembali ke Teluk Siam. (Sumber: JTWC)

Ribut 29W yang berada di Teluk Siam berdasarkan imej satelit Suomi NPP oleh NOAA-NASA (Sumber: phys.org)

Impak terhadap Pulau Pinang

Ramai pasti tertanya, mengikut laluan ribut pada rajah sebelum ini, ribut tersebut turut melalui Kedah, Utara Perak dan Selatan Thailand, tetapi mengapa Pulau Pinang menerima impak paling teruk?

Jika diteliti rajah tersebut, ribut berkenaan membuat ‘pusingan U’ di Pulau Pinang, bererti ribut berkenaan berada lebih lama di kawasan tersebut, berpotensi untuk menerima lebih banyak hujan (sehingga 2 kali ganda berbanding kawasan lain yang dilalui ribut).

Rajah di bawah menunjukkan imej radar daripada Jabatan Meteorologi Malaysia yang menunjukkan laluan sistem ribut bertekanan rendah ini.

Imej radar ribut di Pulau Pinang daripada Jabatan Meteorologi Malaysia. Laporan penuh ribut berkenaan boleh diperoleh pada pautan ini:  (http://www.met.gov.my/documents/10661/225756/Laporan%20Hujan%20Lebat%20dan%20Angin%20Kencang%20di%20Pulau%20Pinang%203-5%20Nov%202017)

Taburan hujan dan kelajuan angin ribut di Pulau Pinang (Sumber: Jabatan Meteorologi)

Adakah Pembangunan di Kawasan Bukit Membawa Kepada Bencana Alam?

Media turut mengaitkan pembangunan di kawasan tanah tinggi sebagai salah satu penyumbang kepada fenomena banjir tersebut. Kawasan pembinaan di kawasan bercerun curam menyumbang kepada tanah runtuh khususnya apabila langkah penstabilan tidak dijalankan dengan baik.

Pautan ini memberi kupasan mengenai tanah runtuh yang berlaku di Pulau Pinang akibat ribut tersebut: https://blogs.agu.org/landslideblog/2017/11/05/george-town/

Namun, apa yang penting ialah penerokaan kawasan tadahan hujan yang membawa kepada fenomena banjir. Kawasan tadahan hujan ini mempunyai kuasa penjerapan air dan mampu bertindak sebagai ‘buffer’ terhadap laluan air permukaan.

Apabila hutan diteroka dan tanah terdedah, air hujan tidak lagi dapat diserap dengan baik. Hakisan pada tanah kerana tiada akar yang menyokongnya turut akan menyebabkan longkang dan saliran semakin cetek hasil mendapan lodak daripada hakisan tersebut.

Walau bagaimanapun, hujah tersebut masih mentah untuk mendakwa pembangunan di kawasan bercerun sebagai penyebab utama banjir tanpa kajian yang mendalam. Apa yang pasti, taburan hujan luar biasa dan angin kencang akibat sistem ribut bertekanan rendah membawa kepada musibah bencana alam di Pulau Pinang.

Kesimpulan

Seperkara yang penulis khuatir daripada fenomena ini ialah amaran awal tidak sampai kepada penduduk di Pulau Pinang. Mungkin tiada siapa sangka ribut tersebut akan membuat ‘Pusingan-U’ di Pulau Pinang dan menambah lagi kerosakan, tetapi penulis difahamkan amaran peringkat kuning telah diberikan terlebih dahulu oleh MOSTI. (Sumber: Berita Harian).

Diharapkan pada masa akan datang, komunikasi antara pelbagai pihak berkuasa serta orang awam dapat diperbaiki bagi mengurangkan impak terhadap harta benda dan nyawa.

Shares