Doktor! pak cik ini asyik rasa letih saja. Badan pun semakin kurus. Lagi satu, pakcik selalu berak keras. Waktu muda-muda dulu tak macam ini pun. Sakit apa ye yang pak cik ada?

Situasi ini selalu berlaku pada pesakit kanser usus. Dimana pesakit akan mengadu letih, berat badan berkurangan, perubahan dalam corak pembuangan air besar dan beberapa simptom lagi. Malangnya jika pesakit sudah mempunyai simptom-simptom tersebut, majoritinya sudah mempunyai kanser yang berada pada tahap kritikal.

Simptom-simptom kanser kolorektal

  1. Kurang berat badan dengan mendadak
  2. Kurang selera makan
  3. Selalu letih
  4. Najis mempunyai darah
  5. Perubahan dalam corak pembuangan air besar. Sebagai contoh jika sebelum ini dibuang air besar sekali sehari tetapi sekarang ini dibuang air besar sekali seminggu sahaja. Selain daripada itu, berak cair selalu ataupun sembelit selalu pun boleh jadi simptom kepada kanser kolorektal

Dan di Malaysia, kebanyakkan pesakit hanya dapat dikesan mempunyai kanser usus ketika mana kanser itu telah sampai ke tahap kritikal dan ini menjadi salah satu cabaran dalam bidang perubatan

Kenapa penyakit kanser usus selalu dikesan ketika berada pada tahap kritikal??

Ini kerana kebanyakan pesakit kanser usus yang berada pada tahapan awal tidak akan mempunyai simptom-simptom tersebut. Oleh itu, seseorang pesakit tidak akan tahu sama ada dia mempunyai kanser usus ataupun tidak sehingga mana kanser tersebut membesar dan simptom tersebut berlaku.

Mengikut statistik yang diberikan dalam laporan ‘Pejabat Pendaftaran Kanser Kebangsaan’(National Cancer Registry), sebanyak 63% pesakit yang baru sahaja dikesan mempunyai kanser usus selalunya sudah pun berada pada tahap-3 dan -4 iaitu samaada kanser tersebut sudah merebak pada kawasan berdekatan ataupun sudah merebak ke organ lain.
Ini menunjukkan pesakit kanser usus hanya mula berjumpa doktor ketika mana dia sudah mempunyai simptom dan tahapan kanser yang kritikal. Kerana pada tahapan awal dia tidak mempunyai apa-apa simptom

Oleh itu, kita memerlukan satu cara lain yang membolehkan kita mengesan pesakit kanser kolorektal yang berada pada tahapan awal. Disitulah program Saringan Kanser Kolorektal menjadi program yang sangat penting. Dibawah nanti saya akan ceritakan yang program ini bukan sahaja dapat mengesan kanser diperingkat awal, malah ia dapat mencegah pembentukan kanser sebelum ia berlaku.

Kanser kolorektal merupakan kanser yang berada pada tangga nombor dua di Malaysia selepas kanser payudara. Ia merupakan kanser yang berada pada tangga pertama bagi kaum lelaki

Saringan Kanser Kolorektal(usus)

Kanser payudara sudah terkenal dengan cara penyaringannya seperti penggunaan ultrasound dan juga mammogram. Manakala Saringan Kanser Kolorektal masih baru bermula dan masyarakat masih lagi tidak menyedari kewujudannya.

Perlu diketahui bahawa saringan kanser kolorektal penting agar kanser dapat dikesan pada peringkat awal dan rawatan dapat dijalankan dengan segera. Jika kanser tersebut berada pada tahap-1 dan -2 sahaja, pesakit tersebut mempunyai peratusan untuk sembuh yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan kanser yang berada pada tahap-3 dan -4.

Satu persatuan perubatan di US iaitu American Cancer Society telah mengeluarkan satu kenyataan:
“Colorectal cancer is often found after symptoms appear, most people with early colon or rectal cancer have no symptoms of the disease. Symptoms usually appear only with more advance disease. This is why getting the recommended screening test before any symptoms develop is so important”

 

Saringan Kanser kolorektal boleh mengelakkan daripada kena kanser usus

Bukan itu sahaja, dengan menjalani saringan ini, bahagian usus yang baru sahaja ingin berubah menjadi kanser dapat dikesan dan dibuang.

Bahagian pra-kanser ini selalunya berbentuk polip iaitu satu unjuran daging yang keluar daripada dinding saluran usus. Polip ini boleh dikenalpasti dan dibuang dengan menjalani procedur yabg dikenali sebagai kolonoskopi.
Ia mengambil masa lebih daripada 5 tahun untuk polip berubah menjadi kanser.

Satu kajian di US yang dinamakan sebagai ‘National Polyp study’ menunjukkan bahawa insiden kanser usus akan berkurangan sebanyak 76% – 90% jika kita membuang polip yang berada di dalam usus.

Jika kita mampu membuang polip, kita dapat mengelakkan ia berubah kepada kanser usus

Sebab itu saringan kanser menjadi sangat popular di eropah kerana ia bukan sahaja boleh merawat kanser pada peringkat awal, malah ia dapat mencegah kanser daripada berlaku iaitu dengan membuang bahagian pra-kanser ataupun polip yang kita boleh lihat ketika prosedur kolonoskopi. Ia sangat praktikal kerana ia tidak memerlukan pembedahan.

Siapakah yang layak untuk disaring?

Lelaki dan perempuan yang berumur 50 hingga ke 70 tahun sahaja.

Julat umur ini diambil kerana peratusan kanser bertambah dengan banyaknnya ketika seseorang individu itu berumur lebih daripada 50 tahun.

Walaubagaimanapun ada juga sesetengah individu yang mempunyai kanser kolorektal pada awal usianya terutamanya individu yang mempunyai sejarah ahli keluarga yang mempunyai kanser dan juga penyakit keturunan sebagai contoh ‘familial adenomatous poliposis’ dan ‘heriditary nonpolyposis colorectal cancer(HNPCC). Untuk individu seperti ini perlu berjumpa dengan doktor terlebih.

Jika seseorang itu berumur 50 kebawah, tidak mempunyai sebarang simptom dan tidak mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit kanser kolorektal, maka tidak perlu untuk membuat saringan kanser kolorektal terlebih dahulu.




Bagaimanakah proses penyaringan berlaku?

Di sektor kerajaan, ada 2 peringkat penyaringan yang akan dilakukan iaitu:
1) Pengesanan darah dalam sampel najis
2) Pemeriksaan kolonoskopi

Pemeriksaan darah dalam sampel najis

Ketika mana terdapat kanser ataupun polip di dalam usus, bahagian ini sangat senang tercedera dan menyebabkan sedikit pendarahan di dalam usus. Najis yang keluar akan berwarna seperti biasa tetapi ada satu ujian yang boleh digunakan untuk melihat darah yang tidak nampak pada mata kasar ini.

Ujian ini dinamakan sebagai ‘Immunochemical Fecal Occult Blood Test’(iFOBT). Ujian ini sangat ringkas. Najis pesakit akan diambil dan diuji pada alat ini. Ia seperti alat yang digunakan untuk periksa kehamilan.

iFOBT merupakan alat yang digunakan untuk mengesan darah di dalam najis

Jika keputusannya positif iaitu bermaksud ada darah di dalam najis tersebut, maka pesakit itu akan dirujuk ke hospital untuk membuat prosedur yang seterusnya iaitu kolonoskopi. Jika ia negatif, maka kita akan nasihatkan pesakit untuk mengulangi ujian tersebut selepas 2 tahun.

Kolonoskopi

Kolonoskopi merupakan satu prosedur dimana kita akan masukkan kamera ke dalam saluran usus melalui tempat buang air besar. Fungsi utama kolonoskopi ini adalah untuk memeriksa keadaan dalam usus sama ada mempunyai kanser ataupun ketumbuhan pra-kanser seperti polip.

Polip yang ditemui akan terus dibuang ketika prosedur kolonoskopi dijalankan. Ini kerana polip merupakan ketumbuhan pra-kanser yang akan berubah kepada kanser jika dibiarkan. Prosedur pembuang polip ini dikenali sebagai ‘polypectomy’ dan ia tidak memerlukan pembedahan.

Tetapi jika ketumbuhan kanser dijumpai, pembedahan mungkin diperlukan untuk membuang kanser tersebut.

***Oleh sebab itu, penyaringan kanser kolorektal ini merupakan proses penyaringan yang dapat mengelakkan daripada terkena kanser dan juga mengesan pesakit yang mempunyai kanser diperingkat awal

Berlainan pula dengan kanser yang lain seperti kanser payudara. Kita tidak boleh merencatkan perubahan sesuatu sel kepada kanser tersebut. Tetapi kanser usus, kita boleh mengesan ketumbuhan pra-kanser dan membuangnya terlebih dahulu sebelum ia berubah menjadi kanser.

Dimanakah Saringan kanser kolorektal ini dijalankan?

Ia dijalankan di kebanyakkan klinik kesihatan berdekatan anda. Anda boleh bertanya kepada kaunter pertanyaan diklinik tersebut sama ada menyediakan khidmat saringan kanser kolorektal ataupun tidak.

Faktor risiko yang boleh membuatkan seseorang itu menghidapi Kanser kolorektal

  1. Umur yang meningkat. Mereka yang berumur 50 tahun ke atas berkemungkinan besar menghidapi kanser tersebut
  2. Sejarah sebelum ini yang menunjukkan dia mempunyai polip jenis ‘adenomatous’
  3. Sejarah keluarga yang mempunyai kanser kolorektal
  4. Sindrom yang boleh diperturunkan anak daripada keturunan sebagai contoh ‘familial adenomatous poliposis’ dan ‘heridaitary nonpolyposis colorectal cabcer(HNPCC)
  5. Diet yang mempunyai tinggi lemak dan kurang fiver
  6. Obesiti
  7. Merokok
  8. Alcohol
  9. Radiotherapy yang digunakan untuk merawat kanser lain

Ada beberapa risiko yang kita boleh elakkan seperti diet, obesiti, rokok, dan beberapa yang lain. Faktor-faktor ini perlulah dikurangkan agar peratusan untuk mendapat kanser kolorektal dapat dikurang.

Rasional Saringan Kanser Kolorektal

1) Kanser pada tahapan awal boleh dikesan dan rawatan yang berkesan dapat diberikan. Ini boleh mengurangkan kadar kematian disebabkan kanser tersebut
2) Kanser usus boleh dicegah dengan membuang ketumbuhan pra-kanser. Ini dapat mengurangkan peratusan yang akan kena kanser usus. Malah boleh mengurangkan kos perubatan kerana pesakit tidak akan menjalani pembedahan, chemotherapy dan radiotherapy yang memakan ratusan ribu ringgit bagi satu-satu pesakit kanser.
3) Kajian di eropah menunjukkan kadar kematian disebabkan kanser usus menurun dengan drastik. Ini kerana pengesanan kanser pada tahapan awal dapat dilakukan

Fakta penting tentang kanser usus:

1) Kanser usus merupakan kanser ke-2 tertinggi selepas kanser payu dara. Bagi kaum lelaki, ia merupakan kanser yang terletak pada tangga pertama. Kanser paru-paru pula terletak pada tangga kedua dikalangan lelaki.
2) Peratusan kanser usus meningkat dengan tinggi apabila umur seseorang melebihi 50 tahun
3) Kaum cina mencatatkan peratusan tertinggi jika dibandingkan dengan kaum lain. Ia bukan sahaja di Malaysia. Tetapi ia juga ditunjukkan di negara Singapura dan kawasan asia yang lain.
4) Kajian menunjukkan kebanyakkan pesakit kanser usus hanya dapat dikesan apabila tahapan kanser telah menjadi teruk. Ini menyebabkan kematian pesakit disebabkan kanser usus adalah tinggi.




Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami Root of Science.

Shares