Penuaan bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah ia terjadi kepada sesiapa sahaja di anatara kita. Saya, kamu dan ya, ibu bapa kamu juga semuanya sedang mengalaminya. Jika kamu banyak dosa dengan mereka, segeralah minta maaf cepat. Berbaktilah selagi mereka masih ada. Selain itu, benda hidup dipersekitaran kamu juga mengalami penuaan, iya…sedar atau tidak kucing kesayangan kamu juga pada hakikatnya sedang mengalami proses penuaan!

Kesan-kesan penuaan.

Pada manusia, proses penuaan berlaku dalam skala perubahan dari sudut fizikal, fisiologi, psikologi, dan juga sosial, berkadaran dengan masa : umur. Jadi kita boleh lihat, jika dahulu kita lincah menggelecek bola, menjelang pertengahan usia pergerakan kita mungkin akan terbatas disebabkan pengumpulan lemak di bahagian perut, dan pengurangan kuantiti otot disebabkan sarcopenia, misalnya. Namun begitu, bukan semua perkara akan terus terkakis disebabkan penuaan, sesorang mungkin akan menjadi lebih bijak berfikir dan mahir membuat keputusan disebabkan sudah lama makan garam. Selain itu, kesan-kesan yang lain adalah pembentukan garis kedut di wajah, uban, sakit lutut disebabkan osteoarthritis, menopause dan lain-lain lagi – tidak sedap ditelinga sebenarnya jika saya sebut satu persatu.

Punca-punca penuaan.

Penuaan bukanlah suatu bentuk penyakit, tetapi penuaan adalah salah satu punca risiko besar kepada pembentukan penyakit. Punca-punca penuaan tidaklah dipastikan secara spesifik, namun secara ringkasnya dikelaskan kepada dua faktor utama; programmed dan damage-related. Secara umumnya, aktiviti biologi yang berpunca dari programmed adalah sesuatu yang alami, di mana kita dapat lihat kesan perubahan diri kita dari kecil sehinggalah sekarang. Perubahan-perubahan ini melibatkan ekspresi gen yang berkait rapat dengan penjagaan, pembaik pulih fungsi badan, dan juga tindakan perlindungan badan. Manakala damage-related pula terjadi disebabkan ”serangan-serangan” terhadap pelbagai fungsi badan secara dalaman ataupun disebabkan persekitaran. Kerosakan DNA, jangkitan kuman, terdedah pada bahan kimia berbahaya sinar radioaktif dan lain-lain lagi misalnya.

Mampukah mikrob dalam badan anda membantu mengatasi masalah penuaan?

Disebabkan penuaan bukanlah suatu bentuk penyakit, maka ia tidak boleh diubati dengan hanya memakan ubat untuk terus hidup kekal menongkat langit. (Iya benar ada terdapat ujikaji perubatan dalam memanjangkan jangka hayat seperti pengambilan metformin dan rapamycin – tetapi ia hanyalah diuji pada cacing dan lipas rumah!). Tetapi, kesan-kesan penuaan boleh dihindarkan atau diperlahankan dengan mengubah gaya hidup i.e. peningkatan aktiviti fizikal dan pemakanan.

Terbaru, ujikaji dengan perubahan diet yang khusus i.e. menghadkan jumlah kalori, beserta dengan peningkatan aktiviti harian i.e. senaman, pada golongan orang tua di Denmark (dan juga beberapa kajian di negara lain di Eropah) telah menunjukkan perubahan secara fisiologi dan fizikal yang melibatkan kesan perubahan pada kandungan microbiota. Menariknya, dengan perkembangan ilmu microbiota kajian diet khusus menggunakan microb terpilih sebagai probiotik telah menunjukkan kesan positif kepada fungsi badan orang-orang tua dari sudut peningkatan aktiviti antioksida, pembaikan sistem imuniti homeostasis, pengurangan jangkitan kronik, menyelia atur proses pengumpulan lemak dan metabolisma, dan lain-lain lagi.

Gambar ihsan dari sini. Gambar rajah menunjukkan kandungan bakteria dalam badan manusia mengikut perubahan tahap umur.

Bakteria khusus..dan apa lagi selepas ini?

Berbagai usaha telah dijalankan untuk mendokumenkan kandungan mikrob dalam badan manusia dari seawal kanak-kanak hinggalah dewasa – malah kepada usia yang terlalu lanjut. Terbaru, kandungan bakteria khusus bagi mewakili golongan orang yang tua telah dijumpai dan diuji, dengan kaedah klinikal dan statistik perangkaan yang amat elegen. Ini bermaksud, kehadiran bakteria ini menjadi tanda asas kepada penuaan seseorang. Kajian ini menunjukkan bahawa, orang-orang tua yang lemah (frailty) mempunyai bakteria dari spisis Eubacterium dolichum and Eggerthella lenta) yang banyak – berkadar terus. Manakala kandungan bakteria dari spisis Faecalibacterium prausnitzii (dari Order Clostridiales, dari Keluarga Ruminococcaceae) semakin berkurang – dan berkadaran sonsang dengan penuaan.

Cadangan

Gambar ihsan : di sini. Gambar rajah menunjukkan cadangan dan kesan dari sudut perubahan gaya hidup dan microbiota.

Nah, bakteria yang terlibat dengan penuaan telah dikenal pasti. Dan kaedah untuk melanjutkan usia juga telah banyak dibuktikan dengan mengubah gaya hidup yang lebih sihat i.e. meningkatkan aktiviti fizikal seperti senaman ringat atau berat, dan penjagaan diet yang sihat. Jadi mengapa anda perlu berhabis duit dengan memakan makanan tambahan yang belum tentu diuji secara klinikal. Jus-jus kesihatan dan ubat kurus tertentu yang anda ambil mungkin akan buat anda berasa segar, tetapi awas – anda mungkin akan mengunjungi hospital dikemudian hari kerana kerosakan organ hati atau mengalami diet yang tidak seimbang.

Solusinya mudah, banyakkan bergerak dan makanlah makanan yang sihat!

Rujukan

Jackson MA, Jeffery IB, Beaumont M, Bell JT, Clark AG, Ley RE, et al. Signatures of early frailty in the gut microbiota. Genome Medicine. 2016;8:8.

Alexander M. Vaiserman, Alexander K. Koliada, Francesco Marotta, Gut microbiota: A player in aging and a target for anti-aging intervention, Ageing Research Reviews, Volume 35, 2017, Pages 36-45, ISSN 1568-1637.

Elena Biagi, Claudio Franceschi, Simone Rampelli, Marco Severgnini, Rita Ostan, Silvia Turroni, Clarissa Consolandi, Sara Quercia, Maria Scurti, Daniela Monti, Miriam Capri, Patrizia Brigidi, Marco Candela, Gut Microbiota and Extreme Longevity, Current Biology, Volume 26, Issue 11, 2016, Pages 1480-1485, ISSN 0960-9822,

Shares