Bagai aur dengan tebing. Condong ditumpil, lemah dianduh. Muafakat membawa berkat.

Berikut adalah hanya sebahagian dari bunga-bunga kata yang terdapat dalam bahasa kebangsaan kita. Jelas, masyarakat kita memandang tinggi sikap tolong-menolong ini. Malah, kanak-kanak seawal umur 18 bulan sudah boleh mengenal pasti situasi di mana beliau boleh membantu. Anda boleh cuba sendiri; hanya tunjuk kepada sesuatu objek semasa mendapat perhatian budak tersebut, dan dia akan cuba untuk mengambilnya.

Jadi, apakah sebenarnya yang mendorong seseorang untuk menolong? Lebih menarik lagi, apa yang menyebabkan seseorang individu untuk lebih membantu berbanding dengan orang lain?

 

Teori Altruisme sebagai Memanfaatkan Diri Sendiri

Penyelidik Barat menyatakan tingkahlaku menolong lebih kerap dilakukan apabila seseorang itu sedar akan manfaat yang akan diperolehi. Individu yang jelas dengan keuntungan yang terhasil daripada membantu akan lebih cenderung untuk menolong.

 

 

Jika difikirkan, ianya masuk akal. Manusia, mengikut kajian, bersifat mementingkan diri sendiri. Seseorang itu akan memilih untuk mendapat manfaat yang terbaik untuk dirinya jika diberi pilihan. Akan tetapi, altruisme seakan melawan arus sifat semulajadi manusia yang ditampilkan dalam kajian.

Atas sebab itu, teori ini muncul. Mengikut teori ini, tingkahlaku menolong sebenarnya memberi lebih faedah kepada individu yang menolong daripada yang ditolong. Sebagai contoh, rakan si A ingin berpindah ke rumah baru dan dia meminta pertolongan si A. Faedah yang boleh didapati si A termasuklah mengeratkan hubungan antara rakan dengan dirinya sendiri, meningkatkan peluang untuk mendapatkan pertolongan daripada rakannya pada masa akan datang, dan memberi imej yang positif kepada dirinya. Atas sebab ini, teori ini mengatakan tingkahlaku menolong hanya memanfaatkan diri si penolong pada jangka masa panjang.

 

Teori Altruisme dan Hedonisme

Hedonisme secara ringkasnya adalah salah satu fahaman dalam falsafah pemikiran yang memandang  keseronokan dan kebahagiaan sebagai matlamat akhir hidup di samping mengelakkan kesakitan atau kerugian. Lantas, segala perbuatan yang dilakukan secara langsung ataupun tidak langsung akan menyumbang ke arah tersebut. Teori ini mengatakan bahawa perbuatan menolong dalam diri seseorang didorong oleh idea hedonisme.

Jika dilihat daripada teori ini, seseorang itu mementingkan kepuasan diri yang diperolehi daripada membantu orang lain. Sebagai contoh, seseorang yang merasakan dirinya sebagai seorang dermawan akan lebih kerap menderma untuk memuaskan tanggapannya terhadap diri sendiri.

Teori ini mendapat kritikan hebat. Antara kritikan yang dilontarkan adalah ianya bersifat kitaran. Seseorang yang mencari keseronokan akan membuat perkara yang seronok bagi dirinya, lantas dia akan berasa seronok. Kesimpulannya berbalik kepada hipotesis yang ingin diuji. Selain itu, teori ini goyah apabila berhadapan dengan situasi di mana si penolong tidak mendapat apa-apa ganjaran daripada perbuatan menolong itu. Sebaliknya, yang dialami adalah kerugian kepada si penolong. Contoh yang paling ketara adalah seorang ibu yang menjaga anak kecil. Si ibu tidak mendapat apa-apa dengan melayan kerenah si anak kecil, malah penat lelah setelah menjaganya seharian. Situasi ini berlawanan dengan teori hedonisme yang dikemukakan.

Namun, apabila mengambil kira sisi keagamaan, teori ini sedikit sebanyak disokong. Umum diketahui terdapat pelbagai agama yang mempercayai kehidupan selepas mati, dan kebaikan yang dibuat sebelum mati akan dibalas oleh Tuhan. Dalam Islam sebagai contoh, seorang Muslim mempercayai setiap tindakan akan memberi pahala atau dosa kepada si pelaku. Dalam konteks teori ini, bantuan yang diberi akan mengganjarkan pahala kepada si pembantu. Pahala dilihat sebagai sesuatu yang positif, lantas memberi kepuasan kepada individu tersebut.

 

 

Teori Empati-Altruisme

Teori ini membincangkan tentang bagaimana empati merupakan motivasi terkuat dalam memberi pertolongan. Untuk membantu seseorang, si pembantu perlu merasakan empati terhadap individu itu.  Empati dalam konteks dalam teori ini adalah si penolong sedar akan keperluan individu yang ingin dibantu dari segi kesejahteraannya dan membayangkan kesusahan yang dialami oleh individu tersebut. Si penolong ingin mengurangkan kerumitan yang dialami, lalu menolong si individu itu. Sebarang faedah yang si penolong dapati hanyalah kesan daripada perasaan empati tersebut, dan bukanlah tujuan utama tingkahlaku menolong itu. Teori ini secara umumnya menjelaskan perbuatan membantu di mana beban yang diterima oleh pembantu melebihi manfaat yang diperolehi.

Selain itu, teori ini juga bertentangan dengan teori altruisme dan hedonisme. Jika teori hedonisme mengatakan tingkahlaku menolong memberi fokus kepada keseronokan dan kepuasan diri, teori empati pula menekankan aspek perasaan empati terhadap orang lain sebagai pendorong.

 

Kesimpulan

Hanya dengan satu jenis tingkahlaku, telah muncul pelbagai teori untuk menerangkan perbuatan tersebut. Bukankah ini sangat menarik? Inilah psikologi, satu bidang sains sosial yang cuba menjelaskan tingkahlaku dan pemikiran manusia dalam sesuatu konteks. Tingkahlaku menolong merupakan asas kepada pembangunan masyarakat, namun ianya masih perlukan kajian yang mendalam. Sungguhpun begitu, sikap tolong-menolong bukanlah sesuatu yang buruk. Yang utama adalah niat seseorang itu dalam membantu mereka yang memerlukan. Apabila dilihat secara menyeluruh, kesemua teori di atas membicarakan tentang niat dalam menolong.

 

Rujukan:

Hay, D. F. (2009). The roots and branches of human altruism. British Journal of Psychology, 100(3), 473-479.

Batson, C. D. (1987). Prosocial motivation: Is it ever truly altruistic? Advances in experimental social psychology, 20, 65-122.

Baumann, D. J., Cialdini, R. B., & Kendrick, D. T. (1981). Altruism as hedonism: Helping and self-gratification as equivalent responses. Journal of Personality and Social Psychology, 40(6), 1039.

Sober, E. (1989). Evolutionary Altruism and Psychological Egoism. Studies in Logic and the Foundations of Mathematics, 126, 495-514.

Moore, Andrew, “Hedonism”, The Stanford Encyclopedia of Philosophy (Winter 2013 Edition), Edward N. Zalta (ed.), URL = https://plato.stanford.edu/archives/win2013/entries/hedonism/

 

Shares