Berdasarkan Wikipedia jilid terkini, troll membawa banyak maksud. Antaranya adalah (1) menyebarkan percanggahan di Internet dengan memulakan pertengkaran kecil atau (2) orang yang mengganggu orang lain dengan cara menyindir dengan niat untuk memprovok emosi seseorang atau (3) mengganggu perbincangan semasa dengan tujuan untuk hiburan sinikal. Fuh. Jika hati mudah koyak, mohon jangan baca artikel ini.

Troll dalam Internet sememangnya menjadi masalah bagi pelbagai pengguna yang berbeza latar belakang dan fahaman. Troll berlaku tidak kira platform sama ada di media sosial, blog, WhatsApp, SIRI, mahupun laman FB RoS. Terdapat satu kajian di Amerika Syarikat mendapati bahawa 73 peratus pengguna Internet dewasa telah menyaksikan beberapa bentuk gangguan di Internet sekurang-kurangnya sekali. Tindakan troll (provokasi) sengaja dibuat untuk menimbulkan tindak balas emosi orang lain melalui interaksi membakar emosi atau membuat serangan (bukan fizikal) ke atas mangsa. Terdapat pelbagai sebab troll dilakukan, dan topik troll tidak terhad kepada politik, peristiwa terkini mahupun gosip artis sahaja.

Bagaimana Troll dalam pendidikan berlaku?

Penggunaan troll dalam pendidikan adalah sangat subjektif. Sesetengah pendidik mungkin dianggap menggunakan provokasi tatkala menyampaikan ilmu, sementara yang lain mungkin menganggap kaedah yang sama sebagai sesuatu yang biasa dalam penyampaian ilmu walaupun ada sedikit bau-bau kontroversi. Seperti mana-mana istilah nakal, troll boleh digunakan sebagai sindiran peribadi tidak terus terhadap seseorang yang akhirnya menghasilkan motivasi negatif untuk individu tersebut berubah.

Sebagai contoh motivasi negatif, cikgu Fadhilah amat geram dengan pelajar kelas M pada waktu akhir persekolahan kerana tidak menumpukan perhatian kepada mata pelajaran Sains. Mata pelajar-pelajarnya telah beralih ke padang melihat senior-senior bermain bola sepak sambil menjerit dan memekik. Lalu cikgu Fadhilah mengherdik, “Jika awak berada di tengah padang, memakai baju kurung dan membaca buku, apakah yang akan dikata oleh orang lain?” Pelajar-pelajarnya menjawab “Orang gila!”. Lalu soalan diterbalikkan “Habis itu, jika anda terpekik terlolong di dalam kelas tanpa memakai pakaian sukan dan tiada sebiji bola pun di sini, orang panggil apa?” “ORANG GILAAA!!” jawab pelajarnya. Ironinya, pelajar sendiri yang memberikan jawapan tersebut lalu kelas bersambung semula dengan harmoni.

Dalam situasi lain, kami juga mungkin menghasilkan beberapa penulisan yang agak kontroversi yang mana kerap menjadi serangan daripada pembaca yang tidak biasa dengan kenyataan ilmiah dan fakta. Sebagai contoh isu ganja, bahaya dadah, mahupun isu doa Qunut wajib atau sunat sentiasa menjadi bahan troll akibat fahaman dan pemikiran pembaca yang radikal. Kami di RoS amat berpengalaman dalam mengatasi troll yang dibuat oleh beberapa pembaca yang dikasihi. Kebiasaannya, kami buat tidak tahu (paling baik), atau menjawab dgn fakta, atau membiarkan kerja-kerja menjawab diambil-alih oleh individu lain. Namun demikian, berpada-padalah tatkala troll tersebut kerana dikhuatiri anda akan dikutip oleh pihak berkuasa. Dalam erti kata yang lain, jika anda troll kami, kami juga mampu melakukan perkara yang sama dengan lebih efektif, cekap dan komprehensif. Jadi benarlah kata-kata hikmat “Do not feed the troll” – sama ada kami berhenti melayan kerenah provokatif tersebut atau anda bersedialah untuk dimalukan kerana ketidakmampuan menegakkan hujah dan akhirnya kehilangan kredibiliti.

Dari Troll kepada Jenayah

Berbalik semula kepada isu pendidikan di sekolah, selagi mana troll tidak disalahgunakan sehingga menjadi satu jenayah gara-gara hujah yang digunakan jelik dan menyakiti perasaan orang lain sehingga boleh bertukar kepada gangguan perasaan, dendam, kes pukul dan membuli, maka adalah tidak menjadi masalah untuk menggunakan kaedah motivasi negatif seperti ini. Hakikat ini adalah benar dalam pendidikan kerana pendekatan berbeza sering digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di lokasi, sasaran dan waktu yang berbeza. Ada sesetengah pelajar sangat mendengar kata dan cemerlang di dalam peperiksaan. Namun ada sesetengahnya pula perlu diprovok supaya bergerak untuk memajukan diri sendiri.

Sejauh mana pendekatan seperti ini mampu membuat perbezaan di dalam kemenjadian pelajar, mestilah dipertimbangkan dari dua perspektif. Pertama, satu penyelidikan kualitatif untuk menguji pendekatan seperti ini perlulah dibincangkan dengan lebih mendalam dan teliti di samping mempertahankan kredibiliti si pendidik. Untuk berbuat demikian, satu konsep dan cara kerja yang berkualiti perlu dirangka dan diterokai dalam konteks sains sosial. Terdapat lapan kriteria perlu diambil kira untuk kajian seperti ini iaitu: pemilihan topik yang bersesuaian, peneguhan, keikhlasan, kredibiliti, persefahaman, sumbangan yang signifikan, etika dan susunan tindakan yang betul. Di samping itu, konflik antara amalan kebiasaan dan amalan baru di sesuatu tempat juga perlu ditangani dengan cara berhemah. Kedua, terdapat juga beberapa kriteria lain perlu diberikan perhatian secara kritikal, tetapi melalui rangka kerja yang tepat, penyelidik dalam bidang pendidikan mampu meneroka sesuatu yang baru melalui kaedah tersebut. Ini kerana, pembinaan blok konsep pendidikan yang baru dan masih belum diterokai mungkin mampu memberikan satu justifikasi yang lebih tepat terutamanya dalam konteks pelajar di Malaysia.

Rujukan:

Tracy, S. J. 2010. “Qualitative Quality: Eight ‘Big-Tent’ Criteria for Excellent Qualitative Research.” Qualitative Inquiry 16 (10): 837851. doi: 10.1177/1077800410383121

Wheeldon, J., 2013. To guide or provoke? Maps, pedagogy, and the value (s) of teaching criminal justice ethics. Journal of Criminal Justice Education24(1), pp.97-121.

Ross, J., 2017. Speculative method in digital education research. Learning, Media and Technology42(2), pp.214-229.

https://en.wikipedia.org/wiki/Internet_troll

Indiana University: Unive

Shares