Sebelum ini kami pernah ditanya berkenaan satu produk yang dikatakan boleh mencuci usus. Produk yang terkenal iaitu daripada lidah buaya. Seperti biasa mereka akan membuat satu demonstrasi untuk produk mereka

Demo yang dibuat adalah sangat ringkas. Guna maggi, iodine dan produk lidah buaya tersebut.

Prosedurnya mudah.
Pertama, larutan Iodine dimasukkan dalam gelas yang berisi air.

Kemudian maggi dimasukkan dalam air tersebut. Satu lapisan berwarna biru akan melekat pada maggi itu

Walaupun dibilas dengan air berkali-kali, maggi tersebut masih berwarna biru

Kemudian maggi itu direndam di dalam produk lidah buaya mereka.
Saksikan warna maggi yang biru itu akan bertukar balik kepada warna asalnya. Sangat menakjubkan

Selepas itu, mereka akan menjelaskan apa yang berlaku. Iaitu mereka akan mengatakan bahawa usus adalah seperti maggi tersebut.

Apabila kita makan berbagai jenis makanan yang dipenuhi toksik, maka dinding usus kita akan kotor dan dipenuhi toksik sama seperti maggi itu.

Hanya dengan produk lidah buaya mereka sahaja mampu membersihkan usus sama seperti pertukaran warna yang berlaku pada maggi tersebut iaitu daripada warna biru kepada warna asal.

Penjelasan kami:

Iodine merupakan salah satu bahan yang sukar larut di dalam air. Tetapi ada cara lain untuk melarutkan ia. Iaitu dengan menggunakan larutan potassium iodide.

Apabila molekul iodine masuk ke dalam larutan tersebut, ia akan bergabung dengan ion iodide dan menjadi ion triiodide yang membuatkan ia larut di dalam larutan tersebut.

Manakala, maggi pula terbuat daripada tepung yang mempunyai kanji(starch). Kanji merupakan molekul gula yang kompleks dan terdiri daripada rantaian glukosa yang panjang berbentuk lingkaran.

Apabila maggi dimasukkan ke dalam larutan iodine, Ion triiodide akan memasuki lingkaran kanji tersebut dan menukarkannya kepada warna biru. Ini merupakan tindak balas kimia yang berlaku kepada semua jenis kanji. Jika anda guna nasi, ia juga akan menghasilkan perubahan yang sama.

Eksperimen dalam Video tersebut pula menggunakan nasi. Ia juga mempunyai kanji dan bertukar kepada warna biru

Apabila maggi itu dimasukkan ke dalam produk lidah buaya itu, ia akan bertukar menjadi warna asal maggi tersebut. Ini disebabkan kehadiran Vitamin C di dalam produk tersebut.

Produk lidah buaya seperti ini selalunya mempunyai Vitamin C. Ketika ia dimasukkan ke dalam larutan tersebut, Vitamin C akan bertindak sebagai antioxidant.

Ia akan memberikan elektron kepada unsur iodine yang terdapat di dalam kanji tersebut. Ini akan menukarkan unsur iodine itu kepada ion iodide yang TIDAK BERWARNA. Sebab itu, maggi tersebut akan bertukar daripada warna biru kepada warna asalnya.

Ini bukan disebabkan ubat itu mampu membersihkan dinding usus.
Ia disebabkan tindak balas kimia yang berlaku

Dan kenapa perlu menyamakan maggi sebagai dinding usus?

Kesimpulannya, demonstrasi ini hanya disalah guna oleh orang yang menjual produk tersebut. Ia tidak langsung menunjukkan usus kita dicuci dengan produk itu.

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami Root Of Science

Shares