Izinkan saya memulakan artikel ini dengan satu kuiz.

  1. Setiap minit, kita menghantar 204 juta e-mel, membuat 1.8 juta Facebook “LIKE”, menghantar 278,000 tweet, dan memuat naik 200 ribu gambar ke Facebook. Adakah kenyataan ini Big Data atau IoT?
  2. 12 juta tag RFID (digunakan untuk memperolehi data dan mengesan pergerakan objek fizikal di muka bumi) telah dijual pada tahun 2011. Dianggarkan jumlah penggunaan tag RFID akan meningkat kepada 209 bilion pada tahun 2021. Adakah kenyataan ini Big Data atau IoT?
  3. Peningkatan [Big Data atau IoT?] bermaksud bahawa, jumlah peranti yang bersambung ke Internet akan meningkat daripada kira-kira 13 bilion hari ini kepada 50 bilion pada tahun 2020.
  4. Industri [Big Data atau IoT?] dijangka berkembang dengan pesat daripada US $ 10.2 bilion pada tahun 2013 kepada kira-kira AS $ 54.3 bilion menjelang 2017.

Jawapannya: 1 – Big Data; 2 – Internet of Things; 3 – Internet of Things; and 4 – Big Data.

Definisi mudah untuk Big Data dan IoT

Untuk memudahkan pemahaman, satu definisi ringkas dinyatakan seperti di bawah. Kedua-dua perkara tersebut bukanlah suatu yang asing bagi kita. Cuma, jarang kita bersembang hal ini dalam kehidupan seharian sebagai rakyat marhain.

Big Data adalah mengenai data yang banyak, jelas dan mudah. Mungkin terdapat kata adjektif yang lain bersesuaian dengan Big Data,  tetapi ia tetap dianggap sebagai data.

Sebagai contoh, jika saya kemukakan data mengenai jumlah taburan hujan yang turun di Jelebu pada setiap hari, selama 20 tahun (untuk menampakkannya macam Big Data), adakah ia memberi makna dalam hidup anda? Saya yakin anda katakan tidak, dan peduli apa dengan hujan atau tidak. Betul tak? Jadi, itulah data dan Big Data.

Internet of Things pula adalah mengenai data, peranti dan sambungan. Data, tidak kiralah data kecil atau besar, adalah objek permulaan dan terpenting di dalam dunia IoT bagi peranti yang bersambungan.

Saya dah nampak mata anda mula berpinar. Sebagai contoh, setiap kali smartphone anda mendapat sambungan ke Internet, data yang pertama sekali dikutip adalah lokasi anda dan seterusnya. Seterusnya ini bermaksud, data-data lain yang boleh dikutip atau yang anda hasilkan pada setiap masa seperti, status anda di Facebook, perasaan anda, keadaan trafik semasa dan lain-lain lagi selagi mana anda kekal bersambungan dengan Internet. Jadi, IoT dapat diringkaskan seperti di bawah:

Data: lokasi, gambar, status, perasaan, keadaan trafik dan lain-lain

Peranti: Smartphone (dalam kes ini)

Sambungan: Internet melalui 4G / WiFi

Kenapa isu ini baru timbul?

Sebenarnya, isu IoT telah lama timbul semejak Internet mula popular duhulu. Cuma, mutakhir ini, terdapat banyak sidang konferens yang menggunakan IoT sebagai tema utama mereka. Ini kerana, teknologi pengesanan yang sangat maju telah menyentuh beberapa isu privasi yang hangat diperdebatkan seperti:

  1. Gambar yang mempunyai geo-tagging
  2. Data yang dikutip sepanjang anda bersambungan dengan Internet (merangkumi rutin harian, lokasi, rekod pembelian dan lain-lain)

Data mengenai aktiviti anda yang telah dikutip boleh dijual kepada pihak tertentu untuk dianalisa dan maklumat tersebut akan membantu banyak pihak meraih laba tanpa anda sedari. Bak pepatah, jual orang lagi untung dari jual unta. Ya benar. Secara fizikalnya tidak, secara batinnya, ya, diri anda telahpun terjual!

Nak contoh juga ke? Baiklah. Contoh asas ye. Pada setiap pagi, anda akan keluar awal jam 6 pagi memandu ke lokasi pekerjaan. Isteri anda tidak mengesyaki sebarang lencongan yang anda buat sehinggalah pada suatu hari dia terbuka satu aplikasi yang boleh menjejak perjalanan anda. Dengan hanya beberapa klik, isteri anda mampu mengesan kedudukan anda “in real time” kerana, smartphone anda sentiasa bersambung ke Internet dalam rangkaian 4G. Data yang dikutip pada tika itu hanyalah masa dan lokasi seperti di bawah:

Masa: 6.00AM Lokasi: Rumah

Masa: 6.20AM Lokasi: Apartment A

Masa: 7.00AM Lokasi: Apartment A

Masa: 8.00AM Lokasi: Apartment A

Masa: 9.00AM Lokasi: Apartment A

Masa: 9.40AM Lokasi: Jalan Ampang

Masa: 9.55AM Lokasi: KLCC (pejabat)

Masa: 6.00PM Lokasi: Rumah

Apa macam, best tak data tersebut dilihat oleh isteri anda? Itu baru 1 contoh yang tidak mendatangkan laba, ada banyak contoh lagi yang lebih keji dan kejam. Namun demikian, melalui data-data sebeginilah, pihak berkuasa mampu membuat analisa dan menjejaki penjenayah sekaligus menyelesaikan banyak isu yang berkaitan dengan jenayah siber.

Kesimpulan

Setiap peranti yang bersambungan dengan Internet boleh dijejak lokasinya. Setiap maklumat yang anda hantar atau terima melalui Internet adalah data yang sangat berharga bagi pihak tertentu. Perkara ini tidak dapat anda elakkan selagi mana Internet dan anda bagai aur dengan tebing. Cuma, apa yang anda perlu tahu adalah terdapat pelbagai fitur yang membolehkan anda menutup agen-agen penjejak pada peranti anda. Artikel mendatang akan mengupas isu-isu IoT di dalam aplikasi pintar yang lain.

Shares