Generasi kanak-kanak kita hari ini terdedah kepada bahaya kesalahan penggunaan internet. Dalam banyak kes, kanak-kanak berkongsi video dan gambar lucah mereka kepada orang lain, selalunya secara paksaan. Ini menjadikan mereka termasuk dalam kancah porno, dengan didera secara mental.

Ugutan Pemangsa

Menurut Adele Desirs, seorang penganalisa identiti mangsa jenayah (victim identification analyst), banyak kes-kes eksploitasi seksual ini bermula dengan tiada apa-apa, sekadar berbual kosong.

“Selalunya mangsa kanak-kanak ini akan memuatnaik video mereka menyanyi atau menari di Youtube. Kemudian mereka akan dihubungi pemberi komen pada video (commentor) yang sebenarnya adalah pemangsa, dan itulah bagaimana jenayah ini bermula.” jelas Desirs.

Pada bulan-bulan pertama tahun 2016, Interpol mendapati kes sebegini meningkat sehingga 150 peratus.

Desir, yang juga merupakan bekas pekerja Interpol menambah, mangsa-mangsa dalam banyak kes diugut, sebelum disuruh memberikan material porno kepada pemangsa. Dalam satu kes, seorang kanak-kanak 12 tahun disuruh berlaku lucah selepas pemangsa memaksa, dengan mengugut yang dia akan ‘mencekik seekor kucing’.

“Jadi, pemangsa akan mengatakan, ‘Kalau kau tak buat, aku bunuh kucing ni’, ini adalah antara perkara yang selalu kita dapati,” jelas Desir. Kanak-kanak yang ketakutan akan tunduk kepada arahan pemangsa tersebut.

Adakah Ianya Keadaan Yang Membimbangkan?

Terdapat juga kanak-kanak atau remaja yang sengaja mendedahkan tubuh dan alat sulit mereka demi mengejar ‘like’ dan mendapatkan perhatian rakan-rakan mereka. Malah terdapat jugak kanak-kanak yang memaksa kanak-kanak yang lebih kecil daripada mereka menjadi mangsa jenayah ini, dengan yang paling muda dilaporkan berumur 4 tahun (!).

Dalam sebuah dapatan yang diperoleh daripada C.S Mott Children Hospital, di Michigan, Amerika Syarikat, keselamatan internet (internet safety) menduduki tangga ke-4 di tahun 2015 pada senarai masalah kesihatan utama, berbanding tangga ke-8 pada tahun sebelumnya.

‘Sexting’ pula menduduki tempat ke-6 berbanding ke-13 sebelumnya, peningkatan sebanyak 45 peratus.

Bagaimana di Malaysia?

Menurut Onemyr Awareness Management dalam sebuah kursus yang diadakan di Dungun, seorang dari 20 wanita pernah menjadi mangsa jenayah lucah siber.

Pengarah Onemyr Awareness Management, Mohd Ridzman Azzahari, berkata berdasarkan pemantauan, pihaknya mendapati tidak kurang daripada 9,000 video dan gambar lucah remaja atau wanita Malaysia kini sudah dipertontonkan kepada khalayak awam di internet dan media sosial.

Ini menunjukkan kita sangat-sangat terdedah kepada masalah ini.

Ibubapa perlu berhubung dengan anak-anak dan memeriksa laman web apakah yang mereka sering lawati dan aplikasi apa yang mereka sering gunakan.

Jika terdapat fungsi ‘live-chat’ atau ‘video-function’ pada aplikasi tersebut, ibubapa perlu mengaktifkan kawalan ibubapa (parental control) untuk mengelakkan hal yang tidak diingini berlaku.

Anak-anak juga perlu dikomunikasikan dengan sejelas-jelasnya mengenai risiko dan bahana yang akan dihadapi mereka sekiranya mereka tidak berjaga-jaga dalam menggunakan internet.

Kerana akhirnya, mereka adalah masa depan kita. Apabila memandang keruntuhan satu-satu generasi, ketahuilah ianya adalah disebabkan tugas-tugas yang tidak dijalankan dengan baik oleh generasi sebelumnya.

 

 

 

Rujukan:

1. http://mobile.abc.net.au/news/2017-09-12/self-generated-child-abuse-material-on-the-increase/8895634?pfmredir=sm

2. https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/node/257562/amp

3. C.S. Mott Children’s Hospital National Poll on Children’s Health – based at the Child Health Evaluation and Research Unit at the University of Michigan

Shares