Plastik adalah polimer organik yang mempunyai jisim molar (molar mass) yang tinggi. Biasanya plastik diperbuat secara sintetik daripada bahan petrokimia.

Penggunaan plastik kini adalah sangat meluas bagi menggantikan bahan yang diperbuat daripada kayu, batu, kulit, metal, kaca dan seramik terutamanya perabot (kerusi, meja plastik), bekas makanan dan minuman, paip air, alat tulis dan sebagainya disebabkan kos pengeluaran yang lebih murah dan sifatnya yang tidak mudah pecah/retak/patah. Antara jenis-jenis plastik yang digunakan secara meluas adalah polycarbonate (PC), polyester (PES), polyethylene (PE), polyvinyl chloride (PVC) dan polystyrene (PS).

Pembungkus plastik, botol air pakai-buang (disposable), botol susu bayi dan cawan (rujuk Gambar 1) biasanya mengandungi bisphenol A (BPA), sejenis bahan kimia berbahaya yang digunakan sebagai monomer dalam pembuatan plastik seperti polycarbonate dan epoxy resins seperti glu/gam dan saduran (coating).

BPA mampu bertindak sebagai oestrogen yang berpaut pada reseptor yang sama di dalam badan dan memberi kesan buruk kepada hormon dan sistem reproduksi (reproductive system) dan kesuburan (fertility) [1]. BPA mampu ‘larut’ (leach) dari plastik ke dalam makanan dan minuman melalui air.

Dah ada negara yang haramkan penggunaannya tak?

Disebabkan bahaya dan kesan buruk BPA kepada kesihatan dan susulan daripada tekanan masyarakat awam (public pressure), beberapa negara telah mengharamkan penggunaan BPA dalam pembuatan plastik seperti negara-negara Kesatuan Eropah (European Union) bermula pada tahun 2011. Tambahan lagi, meskipun tiada kajian sains mendapati BPA sebagai penyebab kanser, tetapi ia telah diklasifikasikan sebagai bahan yang berisiko tinggi yang menyebabkan kanser (high risk to be carcinogen).

Gambar 1. Botol air dan botol susu yang biasanya mengandungi BPA

Ada tak pengganti kepada BPA?

Susulan daripada pengharaman BPA (rujuk Gambar 2) di beberapa buah negara, kajian telah dilakukan untuk menggantikan BPA dengan bahan lain. Salah satu pengganti BPA adalah fluorene-9-bisphenol (BHPF). Tetapi malangnya, kajian juga mendapati BHPF juga bertindak sama seperti BPA – iaitu berpaut pada reseptor oestrogen dalam badan. [2]

Jianying Hu (Peking University, Beijing) mendapati dalam 100 orang pelajar kolej yang minum air daripada botol plastik, 7 orang pelajar mempunyai BHPF yang dikesan di dalam darah mereka [3].

Hu juga menasihatkan agar mengurangkan penggunaan bekas makanan dan minuman plastik seboleh mungkin dan mengelakkan meletak bekas plastik di dalam ketuhar gelombang mikro (microwave) dan alat pembasuh pinggan mangkuk (dishwasher) kerana bekas plastik bertindak balas (degrade) apabila dikenakan haba.

Gambar 2. Struktur molekul bisphenol A (BPA)

Walaupun terdapat pelbagai jenis plastik dan bukan semua plastik berbahaya, produk plastik mengandungi pelbagai jenis bahan tambahan (additives) yang digunakan untuk mengukuhkan dan memberi spesifikasi pada plastik. Maka, langkah pencegahan untuk mengurangkan penggunaan plastik wajar digalakkan.

Meskipun produk plastik itu dikatakan selamat, tetapi masih berpontesi memberi bahaya dan kesan buruk kepada kesihatan. Contohnya, vinyl chloride yang digunakan sebagai monomer dalam pembuatan plastik polyvinylchloride (PVC) dan styrene sebagai monomer untuk plastik polystyrene. Vinyl chloride dikenal pasti sebagai bahan penyebab kanser otak, paru-paru dalam limpa manakala sytrene dikenali sebagai bahan bersifat neurotoxic.

Tindakan Masyarakat Awam

  1. Mengurangkan penggunaan plastik seminimum mungkin. Beg plastik yang digunakan untuk ke pasar, supermarket boleh digantikan dengan beg kain untuk mengisi buah-buahan atau makanan.
  2. Menggunakan pinggan dan gelas / cawan kaca atau seramik semasa makan bagi menggantikan pinggan dan cawan plastik.
  3. Kurangkan membungkus makanan menggunakan bekas plastik. Boleh gunakan kertas pembalut makanan untuk membalut makanan. Atau bagi yang lebih tradisional, boleh menggunakan daun pisang seperti membalut nasi lemak.

Rujukan

  1. https://www.scientificamerican.com/article/just-how-harmful-are-bisphenol-a-plastics/
  2. NewScientist, 2017
  3. Nature Communication, DOI:10.1038/ncomms14585)

 

Akhir kata, di bulan puasa ini juga, elok juga kita cuba makan tepung pelita yang dibuat dalam daun pandan. Rasanya pun sedap sekali.b

Penulis: Dr Rohul(Mat Kuantum)

Shares