Sudah berulang kali ramai pembaca bertanya tentang kesahihan produk-produk yang dikatakan mampu membesarkan sesetengah organ tubuh badan mereka. Tidak kira lelaki atau perempuan. Kadang admin pun pening kepala nak jawab apa. Sebab untuk menunjukkan kenapa produk-produk tersebut mengarut dan MERBAHAYA, kita perlu memahami proses fisiologi(fungsi normal) sesuatu itu terlebih dahulu.




Hanya selepas faham apa yang normal, barulah kita boleh nampak dengan jelas BAGAIMANA produk-produk seperti itu manipulasi proses yang normal untuk jadi tidak normal/abnormal yang membawa kepada KESAN-KESAN yang diiklankan dan dipasarkan.

Antara yang paling meluas dijual adalah produk yang mengatakan ianya mampu membesarkan pay*dara dan pinggul. Kalau para ibu-ibu semua masih ingat, perkara itu memang berlaku secara semulajadi. Semasa anda mengandung, betul tak? Ianya adalah kerana paras hormone estrogen yang meningkat ketika mengandung memberi kesan kepada bahagian-bahagian tubuh badan dalam persediaan untuk proses kelahiran kelak.

Ianya juga berkait rapat dengan persediaan untuk menampung berat bayi yang semakin meningkat dan persediaan mammary gland untuk proses penyusuan susu badan untuk anak kelak. Yang memainkan peranan penting dalam hal ini adalah hormone tersebut.

Faktor yang mempengaruhi size pula yang paling utama adalah faktor GENETIK(keturunan). Peratusan lemak dalam badan dan paras hormone seperti estrogen tersebut turut juga memainkan peranan tapi tidak seperti faktor genetik tersebut. Kalau dah orang Jawa totok, tak perlulah bandingkan diri sendiri dengan Kim Kardashian.

Sebab yang sama golongan lelaki yang mempunyai paras estrogen yang tinggi, turut juga boleh mengalami pembesaran pay*dara mereka! Terutamanya mereka yang mengalami obesity(gemuk), BMI yang tinggi, kandungan lemak yang banyak, masalah liver(hati) dan sebagainya. Ianya dinamakan gynaecomastia. Sebab yang sama dimana sesetengah golongan ‘lelaki’ menggunakan hormone ini untuk ‘membesarkan’ organ tersebut untuk menyerupai wanita.

Hormone estrogen ni mempunyai pelbagai fungsi dan kesan, tidak kira lelaki atau perempuan. Tapi untuk wanita pula, parasnya relatif kepada hormone lain selepas menopause(putus haid) jauh berbeza dengan paras sebelumnya. Sebab yang sama kenapa organ tersebut juga turut kendur dan mengecil.

Untuk golongan yang sudah menopause pula, terdapat rawatan HRT(hormone replacement therapy) yang boleh digunakan untuk mengawal kesan dan simptom yang dialami akibat paras esteogen yang rendah tersebut. Ada pelbagai jenis dan kombinasi. Dan salah satu kesan yang mereka alami secara tidak sengaja adalah dimana pay*dara mereka semakin membesar!

Kesan tersebutlah yang digunakan oleh pelbagai produk tidak kira dari jenis krim, serum, makjun atau bancuh sebagai minuman. Sebabnya pelbagai punca exogenous estrogen(sumber hormone luaran) yang boleh dihasilkan daripada pelbagai sumber(keladi, soya etc).

Dalam kes ni, tiada beza dengan penjual produk calit-calit terus mengandung yang tular beberapa bulan lepas. Bezanya apa hormone apa yang digunakan untuk mengubah proses fisiologi yang normal tersebut(dalam kes itu, menggunakan hormone progesterone)

Masalahnya penggunaan hormone tanpa kawalan ini boleh memberikan kesan buruk yang kekal, berpanjangan dan boleh menunjukkan kesan teruk hanya apabila pengguna produk sudah tua nanti(tulang mudah rapuh, mudah kena dementia, risiko kanser pay*dara).

Penggunaan TANPA PEMANTAUAN sama jugak macam krim calit tu. Boleh menyebabkan risiko kanser barah pay*dara meningkat(jenis ER+) sebab jenis estrogen yang digunakan(tak kira sumber alami atau tidak) tidak diketahui dan dinilai parasnya. Termasuk juga kesan sistemik(seluruh badan seperti stroke(angin ahmar), senang ada ketulan darah(darah beku terbentuk dalam badan), darah jadi lebih pekat(hypercoagulability) dan masalah/serangan jantung(ischemic heart disease/myocardial infarction).

Yang lebih menakutkan dan merisaukan pula, penjual-penjual produk seperti itu TIDAK TAHU bagaimana produk mereka sendiri boleh mengakibatkan kesan-kesan seperti itu sebab mereka hanya menjual dan bukan ahli dalam bidang tersebut. Majoriti produk yang mengatakan mampu membesarkan pay*dara wanita kebanyakannya tidak berdaftar. Nak uji pun senang apa kandungannya. Sebab bila lelaki yang pakai pun boleh jadi semakin besar organ tersebut(gynaecomastia).

Kalau penjual sendiri tidak tahu selok belok produk yang mereka jual, masakan mereka mahu bertanggungjawab sekiranya berlaku kemudaratan yang sudah kita sedia maklum? Sudah pasti tidak dan sebab yang sama yang kita perlu belajar untuk menjadi sebagai pengguna yang bijak. Syukur dengan apa yang ada! Nak besor-besor sangat nak pergi mana?




Rujukan:

Estrogen and the Risk of Breast Cancer Mark Clemons, M.B., B.S., M.D., and Paul Goss, M.D., Ph.D. N Engl J Med 2001; 344:276-285 January 25, 2001 DOI: 10.1056/NEJM200101253440407

Kant AK, Schatzkin A, Graubard B, Schairer C. A prospective study of diet quality and mortality in women. JAMA. 2000;283:2109–15

Colditz GA, Rosner BA, Chen WY, Holmes MD, Hankinson SE. Risk factors for breast cancer according to estrogen and progesterone receptor status. J Natl Cancer Inst. 2004;96:218–28.

Impact of estrogen receptor-β expression on breast cancer prognosis: a meta-analysis. Liu , Guo , Mao , Zhang , Deng, Liu . Breast Cancer Res Treat. 2016 Feb;156(1):149-62. doi: 10.1007/s10549-016-3721-3. Epub 2016 Feb 22.

Long-term user of cosmetic cream containing estrogen developed breast cancer and endometrial hyperplasia Komori, Shinji MD, PhD; Ito, Yoshihiro MD; Nakamura, Yuri MD; Aoki, Michi MD; Takashi, Takenobu MD; Kinuta, Takatoshi MD; Tanaka, Hiroyuki MD, PhD; Koyama, Koji MD, PhD Menopause: December 2008 – Volume 15 – Issue 6 – pp 1191-1192 doi: 10.1097/gme.0b013e318172847d

Effect of Hormone Replacement Therapy on Breast Cancer Risk: Estrogen Versus Estrogen Plus Progestin  Ronald K. Ross Annlia Paganini-Hill Peggy C. Wan Malcolm C. Pike JNCI: Journal of the National Cancer Institute, Volume 92, Issue 4, 16 February 2000, Pages 328–332, https://doi.org/10.1093/jnci/92.4.328

Penjual produk biasanya bersikap defensive apabila teguran berilmiah diberikan. Sebahagian besar juga suka menggunakan kata-kata kesat untuk mempertahankan diri tanpa hujah yang jitu. APTB.

 

 

 

Shares