Skip to content

Walaupun anda tidak merokok dihadapan Isteri dan Anak, anda masih meracuni mereka

Merokok membahayakan kesihatan, bukan sahaja kepada perokok, malah kepada mereka yang tidak merokok. Selama ini, kita biasa mendengar tentang perokok aktif dan perokok pasif. Sebagai makluman semua, mari kita imbas kembali istilah berikut :
◾Perokok aktif : Perokok yang menghisap rokok secara langsung.
◾Perokok pasif : Mereka yang menghidu asap rokok daripada rokok yang sedang menyala, DAN juga daripada asap yang dihembuskan oleh perokok aktif.

THIRD HAND SMOKER

Bagaimana pula dengan “Third-hand smoker (THS)” atau “Perokok Ketiga” ?
Ini mungkin istilah baru bagi kebanyakkan kita.
Secara ringkas, perokok ketiga bermaksud individu yang menghisap ‘Asap ketiga’.

1) Apakah “Asap ketiga” ? Mengapakah ‘Asap ketiga’ sangat berbahaya?

‘Asap ketiga’ merujuk kepada sisa-sisa partikel daripada pembakaran rokok seperti tar, formaldehyde, ammonia, nikotin, karbon monoksida, arsenik dan sebagainya [Gambar 1].

Gambar 1: Kandungan RACUN dalam sebatang rokok (Sumber : Google Image)

Nikotin merupakan partikel yang melekit dan mudah melekat pada langsir, sofa, karpet, dinding dan siling. Apabila bahan-bahan ini bertindak balas dengan udara atau bahan kimia lain yang terdapat dalam ruangan itu, ia boleh dibebaskan kembali ke persekitaran lalu disedut oleh individu yang berada di dalam ruang tersebut.

‘Asap ketiga’ juga boleh melekat pada rambut, pakaian dan kulit seseorang. Ia bukan hanya menyebabkan bau asap pada pakaian kita. Lebih berbahaya lagi, ia adalah sumber racun terhadap tubuh kita dan orang lain yang bakal kita temui.

‘Asap ketiga’ dapat melekat selama berhari-hari pada permukaan benda-benda tersebut, sungguhpun ruang tersebut telah dibersihkan atau dianginkan dengan membuka kipas atau jendela. Terdapat beberapa kajian mengenai berapa lamakah ‘asap ketiga’ berada dalam sesuatu ruang:

  •  Walaupun setelah ENAM BULAN berhenti merokok, rumah para perokok tegar masih mempunyai partikel-partikel beracun daripada asap rokok [3].
  •  ‘Asap ketiga’ masih terdapat pada rumah yang pernah didiami oleh perokok walaupun rumah tersebut telah dibiarkan kosong untuk DUA BULAN dan telah dibersihkan. [4]

2) Perokok Pasif dan Perokok Ketiga menanggung bahaya yang lebih dahsyat berbanding Perokok Aktif kerana:

  • Mereka menyedut lebih banyak toksin dalam asap yang terbebas daripada pembakaran rokok. Di dalam kebanyakkan rokok, terdapat penapis yang menghalang perokok aktif daripada menyedut toksin tertentu.
  • Mereka menyedut asap sisa pembakaran hujung rokok yang mempunyai kandungan agen penyebab kanser (carcinogens) yang lebih tinggi.
  • Asap rokok yang dihembus oleh perokok aktif mempunyai partikel yang lebih halus daripada yang terkandung dalam asap rokok yang disedut oleh perokok aktif. Partikel halus ini lebih mudah diserap ke dalam paru-paru, permukaan kulit dan salur darah.

3) Apakah risiko kepada kesihatan bagi Perokok Ketiga?

Risiko kepada kesihatan bagi Perokok Ketiga adalah sama seperti perokok tegar. Risiko kesihatan ini diringkaskan dalam gambar “Tubuh seorang perokok” [Gambar 2].

Gambar 2 : Kesan MUDHARAT rokok kepada kesihatan ( Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia)

Sesuatu yang ingin ditegaskan di sini ialah bahaya yang bakal dihadapi oleh KANAK-KANAK akibat menghidu ‘asap ketiga’ ini. Antara masalah kesihatan yang boleh dihidapi oleh kanak-kanak adalah seperti : Penyakit paru-paru, jangkitan telinga, kematian mengejut pada bayi (SIDS), masalah pembelajaran, alahan dan kanser (leukimia, kanser kalenjar, kanser paru-paru) [Gambar 3].

4) Mengapakah kanak-kanak kecil lebih berisiko untuk mendapat penyakit akibat ‘Asap Ketiga’?

  • Sistem pernafasan dan sistem imuniti mereka belum matang sepenuhnya.
  • Kanak-kanak kecil lebih berkemungkinan untuk menyedut, menelan dan menyerap melalui kulit sisa-sisa partikel beracun ini semasa mereka meniarap, merangkak atau memasukkan tangan ke dalam mulut.
  •  Mereka tidak dapat membuat pilihan atau menyuarakan keengganan mereka untuk tidak berada di kawasan yang tercemar dengan asap rokok atau menolak untuk berada dengan individu yang merokok / dicemari asap rokok. Lebih malang lagi jika individu yang merokok itu adalah ibu bapa atau penjaga mereka sendiri.

5) Di manakah kemungkinan berlakunya potensi untuk menjadi “Perokok Ketiga” ?

  • Terdapat individu yang merokok dalam rumah yang kita diami atau di dalam kenderaan yang kita naiki.
  •  Bilik-bilik hotel yang kita duduki pernah dicemari dengan asap rokok daripada penghuni sebelum ini.
  •  Kenderaan-kenderaan awam / sewa yang telah dicemari dengan asap rokok.
  • Ruang-ruang awam yang tidak menyekat aktiviti merokok di kalangan pengunjungnya.

Kini, para barisan admin di RoS amat berharap anda semua telah menyedari tentang potensi untuk kita semua menjadi “Perokok Ketiga” dan kesan mudharat dari “Asap Ketiga” . Sama ada secara sedar atau tidak, KITA SEMUA TELAH DAN SEDANG DIRACUNI dengan asap rokok.

Antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk memelihara diri anda dan keluarga daripada menjadi MANGSA sebagai Perokok Ketiga :
a) Tidak membenarkan sesiapa merokok di rumah / dalam kenderaan anda walaupun tingkap dibuka.
b) Memastikan sekolah dan pusat asuhan anak-anak adalah kawasan bebas dari asap rokok.
c) Hanya pergi ke restoran dan kawasan awam yang melarang merokok di tempat awam.
d) Mendidik anak-anak untuk menjauhkan diri daripada orang yang sedang merokok.
e) Menegur individu yang merokok di tempat awam / di kawasan larangan merokok dengan berhemah – Ini kerap berlaku di kedai-kedai makan / kenduri-kendara — Lepas kenyang, terus menyalakan rokok tanpa mengambil kira kehadiran orang lain di sekeliling mereka .

Dan yang paling utama, jika anda seorang perokok, BERHENTILAH MEROKOK ! Demi kesihatan anda, demi kesihatan keluarga anda !

Ingatlah !!
Anda tetap MERACUNI keluarga anda walaupun :

  • Anda merokok di luar rumah atau jauh dari keluarga dan anak-anak anda.
  • Anda membuka tingkap kereta semasa merokok di dalam kereta.
  • Anda menghisap rokok yang paling mahal dengan filter yang paling canggih.
  • Anda menggunakan hand-sanitizer sebelum menyentuh anak-anak anda. Kerana asap rokok masih boleh melekat pada perkakas rumah, dashboard, kusyen kenderaan, pakaian dan diri anda.

Sedarlah,
Keluarga anda perlukan anda !
Keluarga anda perlukan udara yang bebas dari diracuni oleh asap rokok !

Admin :Nigella sativa

Rujukan:
1. Hang, B., Sarker, A. H., Havel, C., Saha, S., Hazra, T. K., Schick, S., … & Sleiman, M. (2013). Thirdhand smoke causes DNA damage in human cells. Mutagenesis, 28(4), 381-391.
2. Matt, G. E., Quintana, P. J., Destaillats, H., Gundel, L. A., Sleiman, M., Singer, B. C., … & Talbot, P. (2011). Thirdhand tobacco smoke: emerging evidence and arguments for a multidisciplinary research agenda. Environmental health perspectives, 119(9), 1218.
3. Matt, G. E., Quintana, P. J., Zakarian, J. M., Hoh, E., Hovell, M. F., Mahabee-Gittens, M., … & Myers, M. G. (2016). When smokers quit: exposure to nicotine and carcinogens persists from thirdhand smoke pollution. Tobacco Control, tobaccocontrol-2016.
4. Matt, G. E., Quintana, P. J., Zakarian, J. M., Fortmann, A. L., Chatfield, D. A., Hoh, E., … & Hovell, M. F. (2010). When smokers move out and non-smokers move in: residential thirdhand smoke pollution and exposure. Tobacco control, tc-2010.
5. Burton, A. (2011). Does the smoke ever really clear? Thirdhand smoke exposure raises new concerns. Environ Health Perspect, 119(2), A70-74.
6. Sleiman, M., Gundel, L. A., Pankow, J. F., Jacob, P., Singer, B. C., & Destaillats, H. (2010). Formation of carcinogens indoors by surface-mediated reactions of nicotine with nitrous acid, leading to potential thirdhand smoke hazards. Proceedings of the National Academy of Sciences, 107(15), 6576-6581.

4 thoughts on “Walaupun anda tidak merokok dihadapan Isteri dan Anak, anda masih meracuni mereka”

    1. Cara yg berkesan bergantung kpd case-to-case basis (individu)

      Ada yg sesuai dgn kaedah ‘cold-turkey’, ada yg sesuai dgn kaedah step by step

      Cadangan saya pergi daftar di klinik berhenti merokok di klinik kesihatan berhampiran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × 3 =