HIV adalah satu virus bawaan darah. Kes terawal dalam yang terdapat dalam dokumen bermula tahun 1968 tetapi hanya selepas tahun 1984, para doktor dan penyelidik berjaya mentafsirkan cara HIV berjangkit daripada seseorang manusia ke manusia yang lain. Sejak tahun itu hingga sekarang, kebanyakan penyelidikan bertumpu ke arah mengurangkan kadar jangkitan ataupun cuba merawat jangkitan virus ini.

Pada peringkat awal HIV diketahui, tidak banyak pilihan rawatan yang ada untuk pesakit. Ramai pesakit yang mendapat kesan langsung tanpa rawatan yakni Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS). Badan mulai lemah dan terdedah kepada beberapa jenis jangkitan kuman atau bakteria daripada organisme-organisme sekeliling dan seharian yang lazimnya tidak merbahaya pada manusia yang memiliki sistem imun yang kuat.

Sempena Hari Aids Sedunia, mari kita fahami lebih lagi tentang HIV yang kita hadapi masa kini. Sematkan dalam minda yang sekarang sudah melangkau tahun 2017. Terlalu banyak yang telah dicapai dalam tempoh tersebut.

1) HIV dan AIDS adalah satu terma yang sama.

Salah sama sekali. HIV adalah satu virus. Apabila anda menjalankan ujian untuk mengenalpasti penghidap virus ini, anda dapat mengesahkan jangkitan HIV atau tidak. Sekiranya positif, pesakit itu menghidap HIV. AIDS (Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit) adalah satu komplikasi langsung sekiranya HIV tidak dirawat. Virus HIV boleh merebak dalam badan dan melemahkan sistem imun badan. Apabila sistem imun badan terlalu lemah dan terdedah pada beberapa jenis jangkitan kuman yang lazimnya tidak terjadi pada manusia lain, maka itu adalah AIDS.

2) Kalau begitu, semua pesakit HIV akan jadi AIDS?

Masih lagi salah. Rawatan masa kini bertumpu pada mengurangkan kandungan virus dalam badan. Hampir kesemua rawatan ini sangat berkesan sehingga jumlah virus (viral load) dalam badan boleh sampai peringkat tidak dapat dikesan (undetectable). Sayang sekali, virus ini ada kebolehan untuk menyorok dalam beberapa bahagian badan yang tidak dapat dicapai oleh ubat. Namun begitu, virus ini tidak mengakibatkan masalah ketika menyorok selagi pesakit terus mengambil rawatan. Maka, apabila rawatan diteruskan, virus ini tiada peluang untuk merosakkan sistem imun badan dan peluang untuk pesakit HIV ini untuk mendapat AIDS adalah sangat tipis. Mereka boleh hidup seperti semua orang normal yang lain dengan hanya satu perbezaan. Mereka makan beberapa biji pil sekali/dua kali sehari. Dengan rawatan moden, ramai pesakit HIV dapat hidup sehingga umur 70 tahun ke atas dan kes kematian mereka tiada kena-mengena dengan HIV.

3) Kita boleh kenal pesakit HIV daripada paras rupa mereka.

Melainkan mata anda ada sejenis radar yang boleh melihat virus dan antibodi HIV, baru kenyataan di atas boleh disahkan benar. Namun begitu, tiada siapa dilahirkan dengan kebolehan tersebut. Maka, tiada siapa boleh mengenal pasti pesakit HIV dengan hanya melihat mereka. Tambahan pula, kebanyakan pesakit tiada apa-apa simptom atau gejala pada peringkat awal sehingga beberapa tahun menghidap HIV. Kerana ini, kita sarankan sesiapa pun yang mempunyai sebarang risiko untuk membuat ujian saringan. Jangan takut berjumpa doktor untuk membuat ujian. Sekiranya anda bebas HIV, bagus – berita baik untuk anda dan saya nasihatkan anda hindarkan aktiviti berisiko. Sekiranya positif, lebih baik untuk tahu awal kerana kajian menunjukkan lebih awal rawatan dimulakan maka lebih baik kesan jangka panjang terhadap sistem imun anda.

4) Saya positif, dunia saya akan berakhir.

Tidak sama sekali. Perubatan moden sudah jauh berkembang. Seperti yang saya terangkan tadi, rawatan bertujuan untuk mengekang pembiakan virus dalam badan dan boleh mengelakkan sistem imun daripada kerosakan kekal. Syarat yang paling utama adalah menghindarkan aktiviti berisiko, rajin dan disiplin dengan ubat, ikut rawatan susulan dan kekalkan gaya hidup sihat. Di kebanyakan negara luar, pesakit HIV telah dibenarkan mendapat insurans hidup dan kesihatan sekiranya berdisiplin dengan ubat. Banyak juga majikan di negara kita telah berjanji untuk mengelakkan diskriminasi dan menjanjikan hak kesaksamaan buat pesakit HIV.

5) Bagaimana dengan keluarga dan kawan-kawan saya?

Teruskan bergaul dengan mereka seperti biasa. Tiada sebarang bukti yang HIV boleh berjangkit melalui sentuhan, pelukan, ciuman, teguran, berkongsi alatan makanan, berkongsi pakaian, berkongsi bilik air, salaman mahupun percakapan. Air liur dan peluh pesakit HIV TIDAK membawa kuman HIV. HIV adalah kuman bawaan darah/bendalir badan (sperma, cecair faraj, susu ibu) yang berjangkit melalui hubungan kelamin tanpa perlindungan, perkongsian jarum ataupun daripada ibu HIV mengandung kepada bayinya. Sekalipun seseorang suami atau isteri (salah seorang) menghidap HIV dan seorang lagi negatif, terdapat cara-cara untuk meminimakan kemungkinan jangkitan selagi pesakit kekal dengan rawatan dan mengekalkan jumlah virus yang rendah. Terdapat banyak langkah bagi pasangan-pasangan ini untuk berkeluarga tanpa menjangkitkan pasangan yang negatif. Rawatan yang diberi kepada ibu HIV juga boleh mengurangkan risiko jangkitan kepada bayi. Semua ini dapat dilakukan selagi semua pasangan ini terbuka tentang status mereka dan berbincang dengan doktor yang merawat mereka.

6) Kenapa kita masih takut dan menyisihkan pesakit HIV?

Itu soalan yang kita kena fikirkan sendiri. Sekalipun terdapat sebab mahupun sengaja ataupun tidak pesakit-pesakit ini dijangkiti, kita harus tahu yang mereka tidak meminta untuk semua ini berlaku. Fikirkan, ketika anda makan makanan manis adakah anda meminta untuk kencing manis? Ketika anda merokok, adakah anda meminta untuk dilanda barah? Kehidupan lampau dan samada pesakit-pesakit ini sudah atau belum bertaubat bukan urusan kita. Ingat, sentiasa beri nasihat dan canangkan gaya hidup sihat pada semua orang. Sekiranya anda berhadapan dengan pesakit HIV untuk apa-apa sebab, berikan sokongan dan bantu mereka semua

Shares