Testimoni adalah pengalaman pesakit ketika menggunakan produk kesihatan tanpa mengira faktor lain yang mempengaruhinya sebagai contoh ubat daripada doktor

 

Testimoni wajib menunjukkan kesan yang positif. Kesan yang negatif tidak dianggap sebagai testimoni oleh penjual produk

 

Kesan yang negatif akan dianggap sebagai ‘Healing Crisis'(krisis penyembuhan).

(Boleh baca berkenaan healing crisis di link ini)

Ramai daripada penjual produk dan juga mesin kesihatan di luar sana yang menggunakan testimoni sebagai salah satu cara untuk membuatkan orang ramai tertarik dengan barang yang mereka jual. Tetapi adakah testimoni boleh diterima pakai dalam membuktikan keberkesanan sesuatu produk terutamanya di dalam bidang perubatan?

Ini menjadi salah satu masalah masyarakat di Malaysia. Penjual dan juga pembeli percaya bahawa testimoni adalah sesuatu yang boleh diterima pakai terutamanya dalam bidang perubatan. Sedangkan perkara tersebut sangat bertentangan dengan amalan dan kefahaman dalam aliran perubatan moden.

Testimoni sesuatu produk didefinisikan sebagai kesan baik ataupun buruk yang terhasil pada seseorang selepas penggunaan sesuatu produk. Perlu diketahui bahawa testimoni tidak boleh digunakan dalam membuktikan keberkesanan sesuatu produk atas beberapa sebab:

1) Berat sebelah

Selalunya yang mengambil testimoni ini adalah penjual kepada produk tersebut. Kita tahu bahawa penjual akan cuba membuat keuntungan daripada barang yang ingin di jual. Sangat jarang seorang penjual produk membuat sesuatu perkara yang akan menyebabkan hasil jualan nya berkurangan sebagai contoh dengan memberitahu testimoni-testimoni yang tidak baik kepada pengguna.

Disebabkan perkara tersebut, ia akan menyebabkan penjual menjadi berat sebelah ketika mana mengambil testimoni daripada pengguna. Iaitu mereka akan mengambil testimoni-testimoni yang baik sahaja. Testimoni yang menunjukkan kesan sampingan ataupun ketidak-puashatian pelanggan ketika menggunakan produk tersebut, mereka akan tinggalkan

Oleh itu, tidak perlu diperkatakan lagi. Ia memang akan jadi berat sebelah.

2) Pelbagai faktor yang mempengaruhi

Selalunya testimoni diambil tanpa melihat kepada faktor-faktor yang mempengaruhi keadaan penyakit.

Sebagai contohnya:
Ada seorang yang baru sahaja didiagnos mempunyai penyakit kencing manis dan mengambil ubat daripada doktor. Kemudian datang pula penjual produk memperkenalkan produk dia yang dikatakan boleh mengubati kencing manis.

Pelanggan pun makan ubat doktor berserta produk yang dibelinya itu. Apabila bacaan gula semakin turun, si penjual tadi mengatakan bahawa produk dialah yang menyebabkan bacaan gula pelanggan tadi semakin menurun. Walhal, pelanggan tersebut memakan produk kesihatan itu bersama-sama dengan ubat diabetes sekali. Yang menurunkan gula tu adalah ubat diabetes yang diberikan oleh doktor. Bukan produk dia.

Keadaan ini sama seperti pepatah Lembu punya susu, sapi dapat nama.

3) Boleh dipalsukan

Testimoni sebenarnya boleh diada-adakan. Bermaksud ia boleh dipalsukan. Kebanyakkan penjual produk di media sosial seperti Facebook dan Instagram suka memperlihatkan perbincangan mereka dengan pelanggan di dalam whatsapps.

Tahukah anda bahawa wujudnya aplikasi whatsapps fake yang boleh digunakan untuk membuat perbincangan palsu. Ia juga selalu digunakan oleh penjual produk untuk menunjukkan wujudnya perbincangan mengenai keberkesanan produk mereka. Sedangkan semua tersebut adalah palsu.

Begitu juga apa-apa yang mereka perkatakan. Betul ataupun tidak kita pun tidak tahu. Tetapi apa yang kita tahu ia boleh diada-adakan.

4) Kesan Placebo(Placebo effect)

Sebelum kita menerangkan berkenaan placebo effect. Kita kaji dulu apa itu maksud placebo
Placebo merupakan satu bahan ataupun rawatan yang diberikan kepada pesakit supaya pesakit berfikir dia mendapat rawatan yang sebenar padahal dia tidak diberi sebarang rawatan ataupun ubat yang sebenar.

Kena faham bahawa pesakit tidak langsung tahu ubatan yang mereka ambil itu adalah placebo iaitu ubatan ataupun rawatan palsu

Apabila seseorang merasa lebih sihat ataupun sembuh daripada sesuatu penyakit selepas pengambilan ubatan placebo tersebut, maka fenomena ini dipanggil sebagai Kesan placebo(Placebo effect). Bermaksud ada sesuatu perkara lain yang menyebabkan pesakit itu sembuh. Tetapi yang pastinya ia bukan disebabkan ubat placebo yang diambil.

Di dalam melihat keberkesanan sesuatu ubat, maka kita wajib menguji kesan placebo versus ubatan yang kita beri. Saya bagi contoh kajian:

Ada 100 orang yang akan menjalani ujikaji keberkesanan ubat kencing manis ini.
50 orang diberi ubat placebo(Pesakit tidak tahu ubat yang dimakan tersebut adalah placebo)
50 orang lagi diberi ubat kencing manis yang hendak diuji

Keputusan menunjukkan:
10 orang yang diberi ubat placebo mempunyai penurunan gula dalam darah
10 orang yang diberi ubat kencing manis juga mempunyai penurunan gula dalam darah.
Peserta yang lain tidak mempunyai penurunan gula.

Jika kita lihat dari keputusan tersebut. Peratusan untuk gula lebih terkawal bagi perserta yang makan ubat dan juga makan ubat placebo adalah sama.

Maka, kita boleh bagi kesimpulan bahawa, ubat kencing manis itu langsung tidak effektif dalam mengurangkan gula kerana ia tiada beza jika kita bagi ubat yang palsu.

Apatah lagi di dalam produk kesihatan. Ia langsung tidak diuji dan kesan placebo produk tersebut langsung tidak dikaji. Adakah layak bagi mereka mengatakan produk mereka mampu merawat pelbagai penyakit. Sudah tentu tidak.

5) Kebanyakkan penyakit adalah ‘self-limiting’

Maksud Penyakit yang ‘self-limiting’ adalah penyakit yang boleh baik sendiri tanpa perlu diberi apa-apa ubat.

Sebagai contoh batuk yang disebabkan jangkitan virus, selsema yang disebabkan jangkitan virus, demam yang disebabkan jangkitan virus, alahan yang berlaku apabila terdedah pada satu-satu bahan yang menyebabkan dia alah, sembelit, cirit-birit dan muntah yang disebabkan jangkitan virus, rasa lemah yang disebabkan jangkitan virus dan pelbagai lagi penyakit.

Sebagai contoh seseorang yang baru sahaja baik demam disebabkan jangkitan virus merasa terlampau letih dan sakit-sakit badan. Pada kebiasaannya perasaan letih dan sakit-sakit badan boleh berlaku lebih kurang seminggu. Ketika dalam jangka masa tersebut, datanglah seorang penjual produk yang mengatakan produk dia dapat merawat pelbagai penyakit.

Selepas 2 – 3 hari minum produk tersebut, maka pesakit tersebut merasa lebih kuat, tiada perasaan letih ataupun sakit-sakit badan. Maka, penjual dan juga pengguna tersebut merasakan bahawa produk itulah yang menyembuhkan dia. Sedangkan sebenarnya tanpa produk tersebut, badan akan sembuh dengan sendirinya. Cuma perlukan masa

Disebabkan perkara ini, kami melihat penjual produk yang mengatakan produknya mampu menyembuh pelbagai penyakit dengan hanya berasaskan testimoni adalah sesuatu yang tidak boleh diterima pakai dan tidak beretika.
Oleh itu, kami menasihati para pembaca supaya tidak mempercayai produk yang mengatakan ia mampu merawat pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, kanser dan sebagainya apatah lagi yang tidak mempunyai notifkasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Shares