Kebelakangan ini asyik viral artikel berkenaan diet berasaskan jenis darah. Seperti biasa netizen akan ‘share’ artikel tersebut tanpa melihat fakta terhadap perkara yang dikatakan.

Dibawah ini adalah contoh diet jenis darah yang dikatakan boleh menguruskan badan

Yang lepas berpantang tu .. nak diet balik? .Cuba try tips ni .. diet ikut menu bawah.. sape pernah try ? .Tag yang nak turun berat 😘Nur AfiqahNur Atiqah Velvet

Posted by Cahaya Mata on 18hb Ogos 2017

Ikuti hujah kami berkenaan perkara tersebut

Ia bermula dengan buku ‘Eat Right for Your Type’

Buku ini adalah salah satu buku yang yang terlaris dijual oleh ‘New York Times’. Ia telah diterjemahkan kepada 52 bahasa dan terjual sebanyak 7 juta salinan. Ramai yang mengamalkan diet daripada buku tersebut dan terpengaruh dengan penulisannya.

Buku inilah yang menjadi punca kenapa wujudnya diet yang berasaskan jenis darah ini.




Siapakah penulis buku ini?

Penulis buku ini adalah Peter J. D’Adamo. Dia merupakan salah seorang pengamal Naturopathy iaitu mereka yang mengamalkan penggunaan ubat yang berasaskan sumber semula jadi.

Diet berasaskan jenis darah ini menjadi meluas apabila bukunya terjual dengan banyak di merata negara. Perlu diketahui bahawa dia bukanlah seorang pakar pemakanan ataupun doktor perubatan.

Buku ‘Eat Right 4 Your Type’

Diet yang disyorkan dalam buku tersebut

Dalam buku ini ia mengatakan bahawa ada 4 jenis diet yang berasaskan 4 jenis darah manusia. Sekiranya mereka mengikuti cara permakanan tersebut, mereka dapat mengelakkan penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit sendi dan sebagainya.

Jenis diet tersebut adalah:

Darah jenis A: Adalah petani. Mereka yang berdarah A perlu makan makanan yang mempunyai sayuran dan tumbuhan yang banyak. Daging tidak diperbolehkan untuk diet jenis ini. Ianya seperti seorang yang mengamalkan permakanan ‘vegetarian’

Darah jenis B: Orang yang hidup berpindah randah(Nomad). Mereka boleh makan sayur-sayuran, tumbuh-tumbuhan dan juga daging serta susu dan hasil tenusu. Tetapi mereka perlu mengelakkan kekacang, jagung, tomato, gandum dan beberapa makanan yang lain

Darah jenis AB: Seseorang yang susah difahami(enigma). Ini kerana ia campuran darah jenis A dan B. Mereka dinasihatkan untuk makan makanan laut, tahu, susu dan kekacang. Tetapi mereka perlu mengelakkan kacang merah, jagung, daging dan ayam.

Darah jenis O: Pemburu. Mereka yang berdarah O sepatutnya mengambil makanan yang tinggi dengan protein seperti daging, ikan, ayam dan sayur-sayuran. Kena elakkan gandum dan produk tenusu

Apakah asas kepada diet jenis darah ini?

Kepercayaan kepada diet berasaskan jenis darah ini wujud kerana Peter J. D’Adamo percaya bahawa setiap orang yang mempunyai jenis darah yang berbeza menguraikan kompaun ‘lectin’ dengan cara yang berbeza. Kompaun lectin merupakan kompaun yang banyak dijumpai dalam beberapa jenis makanan.

Malah ada juga mengatakan bahawa darah merah boleh bergumpal dan menyebabkan penyakit kronik jika diet tersebut tidak diikuti.

Hipotesis itu juga wujud kerana mereka mempercayai jenis darah itu mengambarkan tahapan evolusi. Berdasarkan teori diet jenis darah, darah jenis O dikatakan sebagai jenis darah yang mula wujud daripada nenek moyang kita. Oleh itu, sepatutnya diet mereka perlu mempunyai protein haiwan yang tinggi kerana dalam era tersebut mereka banyak memburu.

Dalam kumpulan darah jenis A pula, ia perlu menyerupai permakanan vegetarian. Kerana manusia pada ketika itu sudah mula menetap dan bertani. Mereka pada ketika itu telah berevolusi menjadi masyarakat yang bertani dan lebih mengambil makanan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan

Mengikut rasional yang sama, mereka yang mempunyai darah jenis B akan menerima faedah dengan mengambil makanan yang berasaskan produk tenusu kerana mereka dipercaya sebagai kaum yang berpindah randah sambil membawa haiwan ternakan mereka.

Kumpulan AB pula dipercayai akan mendapat feadah daripada diet diantara kumpulan darah A dan B




Kajian berkenaan diet yang berasaskan jenis darah(blood type diet)

Disebabkan penjualan buku Peter D’ Adamo yang meluas, saintis terpaksa melakukan kajian untuk melihat kebenaran perkara tersebut walaupun Peter D’ Adamo sendiri tidak pernah membuktikan perkara tersebut

Pada tahun 2013, kajian berkenaan ‘blood-type diet’ ini dilakukan dengan mengumpulkan sebanyak 1413 journal yang berkaitan. Dalam kajian tersebut mendapati tiada lagi wujud bukti bahawa pengamalan diet yang berasaskan jenis darah memberi kesan kepada kesihatan. Kajian ini diterbitkan dalam journal ‘The American Journal of Clinical Nutrition’

Tahun hadapannya pula, satu lagi kajian telah dijalankan pada 1455 orang subjek berkaitan dengan permakanan dan juga jenis darah mereka. Didapati diet tersebut tidak mempunyai kaitan untuk mengurangkan risiko penyakit kronik di antara satu sama lain.

Kesimpulan

Amalan diet mengikut jenis darah sudah dibuktikan bahawa ia tidak mempengaruhi kesihatan seseorang. Jika seseorang itu mengambil makanan dengan cara yang betul dan tidak berlebih-lebihan disertai dengan senaman yang kerap, sudah tentu dia akan berada dalam keadaan sihat.

Oleh itu, kepercayaan terhadap diet berasaskan jenis darah perlulah dihentikan

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat sila like page kami Root of Science.
Bacaan seterusnya: Darah jenis O perlu elakkan kopi

Rujukan:
1. Leila Cusack, Emmy De Buck, Veerle Compernolle, and Philippe Vandekerckhove. Blood type diets lack supporting evidence: a systematic review. Am J Clin Nutr 2013 98: 1 99-104; First published online May 22, 2013. doi:10.3945/ajcn.113.058693
2. Wang, J., García-Bailo, B., Nielsen, D. E., & El-Sohemy, A. (2014). ABO genotype, “Blood-Type” diet and cardiometabolic risk factors. PLoS ONE, 9(1). https://doi.org/10.1371/journal.pone.0084749




Shares