Skip to content

Bagaimana tanggapan orang dahulu berkenaan kejadian bayi?

Kita dilahirkan pada zaman dimana teknologi sains semakin maju. Kita tidak merasa janggal jika kita cakap dalam udara ada gas oksigen, karbon dioksida, nitrogen dan sebagainya. Kita tidak merasa pelik jika kita cakap manusia terhasil daripada persenyawaan sperma dalam air mani lelaki dan juga oocyte skunder daripada perempuan.

Ini disebabkan sejak daripada kecil, kita diajarkan perkara tersebut. Dan ilmu tersebut berasal daripada kajian yang mampan menggunakan teknologi sains yang berkembang maju.

Berlainan pula dengan orang terdahulu, mereka mempercayai sesuatu perkara hanya berdasarkan dengan andaian. Contoh permasalahan yang selalu dibincangkan pada zaman dahulu adalah bagaimana kejadian manusia di dalam rahim.

Allah SWT berfirman dalam surah Abasa: 18.

مِنْ أَيِّ شَيْءٍ خَلَقَهُ

Maksud: Daripada apakah dia diciptakan? (Abasa: 18)

Allah SWT daripada dahulu telah mencabar manusia dengan bertanyakan berkenaan kejadian manusia itu sendiri. Sehingga mana Allah SWT sendiri memberitahu fasa-fasa di dalam kejadian seseorang manusia.

Hanya orang islam pada zaman Nabi sahaja yang mengetahui kejadian manusia itu bagaimana berdasarkan apa yang Allah SWT telah turunkan sama ada daripada al-quran ataupun daripada hadith Nabi SAW.

Terdapat beberapa teori yang dihasilkan oleh orang terdahulu berkenaan kejadian tersebut

1. Kejadian manusia berasal daripada darah haid.

Orang dahulu percaya bahawa kejadian manusia adalah berasal daripada darah haid. Proses itu bermula apabila air mani memasuki rahim. Penggabungan air mani bersama dengan darah haid ini membuatkan darah yang cair itu membeku. Darah yang beku itulah yang akan membesar manjadi bayi.

Jika tiada air mani, maka pembekuan darah haid itu tidak berlaku dan ia akan dikeluarkan daripada rahim seorang perempuan tiap-tiap bulan.

Ini merupakan salah satu kepercayaan sejak zaman Aristotle lagi. Iaitu 3 kurun sebelum kelahiran nabi Isa AS.

Kepercayaan tentang kejadian manusia daripada darah haid ini dipegang sebegitu lama iaitu lebih daripada 2000 tahun. Sehinggalah kurun ke 17 ketika mana manusia telah mencipta mikroskop. Iaitu sebuah alat untuk melihat sesuatu yang kecil. Alat inilah yang digunakan untuk merungkai kejadian manusia.

Fasa kejadian bayi yang dikatakan berasal darpada darah haid

2. Kejadian manusia daripada sperma yang telah sempurna anggota badannya.

Ketika kurun ke 17, ahli sains telah menggunakan mikroskop untuk melihat bahan yang kecil termasuklah air mani manusia dan haiwan. Ham dan Van Leeuwenhoek merupakan diantara saintis yang pertama menjumpai sperma di dalam air mani.

Ketika penemuan ini berlaku, ia menimbulkan pelbagai spekulasi dan juga kontroversi berkenaan perkara tersebut. Disebabkan gambar yang mereka lihat tidak begitu sempurna, maka mereka terpaksa menggunakan imaginasi untuk menyempurnakan bentuk sperma tersebut.

Hartsoeker’s mengatakan bahawa gambar daripada microskop tersebut masih belum lagi dapat menunjukkan komposisi sebenar sperma itu. Maka, dia pun menyatakan ideanya bahawa sperma itu sebenarnya mengandungi satu susuk tubuh manusia yang sudah sempurna.

Iaitu ia sudah ada kepala, badan, tangan, kaki dan juga organ-organ di dalamnya. Susuk tubuh yang berada di dalam sperma itu dipanggil sebagai ‘Homunculus’.

‘Homunculus’ didalam sperma inilah yang masuk ke dalam rahim dan membesar menjadi manusia. Ia tidak memerlukan apa-apa bahan(seperti ovum) lain daripada perempuan.

Walaupun sebahagian saintis mempercayai apa yang Hartsoeker lontarkan, tetapi sebahagian lagi mempercayai bahawa ‘Homunculus’ itu wujud dalam ovum perempuan pula.

Ketika mana manusia boleh melihat sperma, mereka mengatakan bahawa di dalam sperma itu sudah ada bentuk tubuh manusia yang lengkap. Tetapi teknologi sains dan al-quran menolak perkara tersebut kerana kejadian manusia itu mempunyai tahapan ia tersendiri

Kontroversi berkenaan perkara tersebut berakhir apabila Spallanzani iaitu seorang ahli biologi berjaya menunjukkan bahawa perlunya kehadiran ovum dan juga sperma untuk menghasilkan zygote iaitu hasil pertama persenyawaan. Eksperimen ini merupakan eksperimen pertama yang dilakukan secara in-vitro dan ia telah merubah lanskap sains dalam melihat kejadian manusia

KAITAN ANTARA KEMAJUAN SAINS DAN AL-QURAN

Dulunya kita tidak mengetahui asal usul kejadian manusia. Maka ramai yang mengeluarkan pelbagai teori untuk menceritakan hal tersebut.

Sedangkan jika kita lihat, semua teori itu tidak langsung terbukti secara fizikal. Ia cuma andaian yang belum lagi diketahui kebenarannya.

Salah satu kepercayaan manusia yang mengakar umbi pada ketika itu adalah manusia berasal daripada darah haid. Kepercayaan ini wujud sebelum kelahiran nabi Isa lagi.

Maka ketika kenabian nabi Muhammad SAW, Allah SWT telah menurunkan wahyu untuk menceritakan kejadian manusia secara tepat walaupun pada ketika itu tiada lagi teknologi yang dapat melihat sama ada perkara itu betul ataupun tidak.

Setelah berkurun lama, barulah manusia dapat melihat perkara tersebut dibawah mikroskop. Segala tahapan perkembangan manusia dikaji. Dan kesemua perkara yang Allah ceritakan adalah bertepatan seperti apa yang kita lihat sekarang.

Kesemua teori yang dihasilkan oleh manusia pada zaman dahulu terhapus dengan sendirinya. Digantikan dengan ilmu yang sudah pun diceritakan oleh Allah SWT sejak dahulu lagi

Allah SWT berfirman dalam Surah Al Mukminun ayat 12-14:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati(yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan ‘pati’ itu (setitis) air benih(Nutfah) pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku(ALAQAH). Kemudian Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging(MUDGHOH). Kami ciptakan dari daging itu tulang, kemudian kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan Ketinggian Allah sebaik-baik pencipta”

Tahapan-tahapan ini telah pun dikaji oleh para saintis dan ia menunjukkan diskripsi yang diceritakan oleh Allah sangat bertepatan dengan kejadian manusia.

Oleh itu, perlulah kita sebagai umat islam beriman dengan apa yang telah diturunkan oleh Nabi SAW.

Anda boleh baca berkenaan tahapan kejadian manusia di dalam link ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 − 15 =