Ada yang menunjukkan kepada saya gambar ini. Iaitu perbezaan diantara darah orang yang merokok dan darah orang yang tidak merokok ketika dibekam. Iaitu darah orang yang merokok adalah lebih likat, pekat dan hitam apabila dibekam berbanding dengan darah orang biasa.

Bukan itu sahaja, ada dikalangan penyedia perkhidmatan bekam mengatakan darah daripada perokok yang likat, pekat dan hitam itu merupakan toksin yang keluar ketika proses bekam.

Tetapi adakah perkara ini benar?

Kesan merokok terhadap badan.

Ketika putung rokok dibakar, ia akan menghasilkan beribu jenis bahan kimia dan bahan kimia inilah yang akan disedut oleh perokok dan berkumpul di paru-paru. Sebagaimana yang kita tahu, nikotin merupakan salah satu bahan utama dalam rokok yang menyebabkan seorang perokok itu ketagihan.

Tetapi terdapat bahan lain juga yang akan menyebabkan darah menjadi pekat dan likat. Ianya adalah gas karbon monoksida dan bahan ini terhasil disebabkan pembakaran tidak penuh kompaun yang mempunyai unsur karbon. Karbon monoksida ini boleh melekat kepada haemoglobin sama seperti oksigen tetapi ia mendatangkan kesan yang buruk.

Seperti mana yang kita tahu, fungsi Haemoglobin adalah untuk membawa oksigen daripada paru-paru untuk diberikan kepada sel-sel yang lain. Tetapi bagi karbon monoksida, apabila ia melekat kepada haemoglobin ia tidak akan melepaskannya lagi dan membuatkan sel darah itu tidak lagi boleh digunakan untuk membawa oksigen.

Disebabkan perkara tersebut, badan akan mengesan kekurangan oksigen dan secara automatiknya menampung keadaan tersebut dengan menghasilkan lebih banyak sel darah merah. Lalu, darah menjadi pekat dan likat.

Ujian yang boleh menunjukkan kepekatan darah

Ada satu ujian yang ringkas selalu dibuat di klinik kesihatan untuk melihat bacaan sel darah. Ia dinamakan sebagai Full Blood Count. Selalunya ujian ini dijalankan jika seseorang itu mengalami demam lebih 3 hari, ada simptom kekurangan darah merah, suspek dengue dan beberapa indikasi yang lain.

Ujian ini juga dapat menunjukkan kepekatan darah seseorang dan bacaan tersebut dipanggil sebagai hematocrit. Hematocrit bagi penghisap rokok lelaki selalunya melebih 45 manakala bagi perempuan pula lebih daripada 40.

Kita tidak membuat ujian darah ini semata-mata sebab anda perokok. Tetapi jika anda datang klinik kesihatan waktu demam, kena ambil darah dan tiba-tiba doktor tanya awak merokok mungkin disebabkan bacaan hematocrit yang tinggi.

Perlu diketahui, hematocrit juga boleh meningkat pada keadaan yang lain seperti orang yang tinggal di kawasan yang tinggi, orang yang mengalami masalah jantung, orang yang mengalami dehidrasi dan beberapa masalah dan penyakit yang lain.

Secara ringkasnya, kepekatan darah bagi perokok adalah lebih tinggi daripada orang biasa

Darah gelap orang yang merokok menunjukkan banyak toksin yang dikeluarkan ketika bekam?

Darah gelap yang keluar daripada perokok ketika proses bekam bukanlah menunjukkan ia mempunyai toksin yg banyak. Darah gelap itu terhasil disebabkan darah perokok itu lebih pekat daripada orang biasa disebabkan kekurangan oksigen dan jumlah haemoglobin yg tinggi

Dan perokok bukanlah orang yang memerlukan bekam disebabkan aktiviti merokoknya. Apa yang perokok perlukan adalah BERHENTI MEROKOK.

Jika nak bekam tak salah. Tetapi bekam sebab nak keluarkan toksin daripada rokok merupakan perkara yang belum dapat dibuktikan lagi.

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami Root of Science.

Shares