Membongkar Rahsia Rempah-Ratus [Edisi Ibu Berpantang]

Buah dan daun Asam Gelugor atau nama saintifiknya Garcinia Atroviridis setelah ditumbuk halus bersama ramuan lain atau direndam di dalam cuka dan disapu pada tubuh ibu berpantang dapat mengembalikan bentuk badan seperti sebelum hamil. Manakala jus daunnya apabila diminum dapat mencuci bahagian peranakan dan juga memainkan peranan dalam usaha mengembalikan badan kepada bentuk asal.

Biji Sawit Pahit atau nama saintifiknya Brassica Juncea boleh digunakan sebagai tonik dan ubat sapu luaran selepas bersalin. Biji tersebut sekiranya kerap dimakan, maka diet harian perlu diimbangkan dengan jenis makanan yang banyak mengandungi sumber iodin.

Seluruh bahagian Bonglai atau nama saintifiknya Zingiber Montanum (Koenig) Dietrich boleh dekoksi bercampur dengan ramuan lain dan diminum oleh ibu berpantang. Bahagian rizomnya boleh digunakan untuk membuat ubat luaran untuk disapu pada badan ibu berpantang. Baunya seperti campuran halia, kamfor dan kunyit manakala rasanya seperti kamfor dan pedas.

Kudup Bunga Cengkih atau nama saintifiknya Syzygium Aromaticum yang telah diproses boleh digunakan sebagai minuman tonik yang mengeluarkan angin daripada perut dan usus serta merangsangkan sistem penghadaman bagi ibu berpantang. Manakala buah bunga cengkih boleh dibuat ubat dalaman bersifat afrodisiak dimana ianya dapat mengetatkan vagina setelah proses bersalin.

Safron atau nama saintifiknya Crocus Sativus L. merupakan rempah-ratus yang paling mahal di dunia. Ianya boleh digunakan sebagai minuman tonik untuk merawat pendarahan berlebihan dan menyingkirkan kekotoran selepas bersalin. Perlu diingat, safron tidak sesuai sebagai ubat dalaman kepada wanita yang hamil dan juga yang mempunyai perancangan ingin hamil.

Temu Lawak atau nama saintifiknya Curcuma xanthorriza setelah diekstrak, boleh diminum oleh ibu berpantang untuk mengeluarkan angin daripada perut dan usus. Namun ianya perlu diambil dengan sukatan yang betul kerana dos yang sangat berlebihan boleh menyebabkan pitam dan kematian.

Serai atau nama saintifiknya Cymbopogon Citratus di bahagian daunnya boleh digunakan sebagai tonik minuman untuk melawaskan kitaran haid dan juga bagi merawat masalah penghadaman dan sakit otot bagi ibu berpantang.

Bahagian daun Jintan Putih atau nama saintifiknya Cuminum Cyminum L. setelah dekoksi boleh diminum untuk merangsang dan melawaskan penghasilan susu badan bagi ibu berpantang. Buahnya juga boleh digunakan dalam ramuan campuran untuk diminum oleh ibu berpantang. Bau yang timbul adalah disebabkan oleh kandungan kuminaldehid dalam jintan putih.

Jintan Hitam atau nama saintifiknya Nigella Sativa L. boleh dimasukan ke dalam ramuan campuran yang dijadikan ubat minum bagi meningkatkan edaran darah ibu berpantang. Bijinya pula boleh membantu dalam penghasilan susu badan. Namun, ia tidak sesuai digunakan dalam dos yang besar kepada wanita mengandung kerana ia boleh menyebabkan tubuh dalaman menjadi panas.

Biji Halba atau nama saintifiknya Trigonella Foenum-Graecum L. boleh direbus lalu dimakan untuk menambahkan penghasilan susu badan dan ia boleh dibuat minuman yang dapat menyegarkan badan ibu berpantang. Selain itu, halba juga merupakan elemen yang bersifat antikanser.

Sumber Rujukan:

  1. Balkam, J,.1998. Herbal Remedies a Practical Guide to Herbs and Their Healing Properties. London: Greenwich Editions.
  2. Burkill, I.H., 1993. A Dictionary of The Economic Products of the Malay Peninsula. Dua jilid. Cetakan ke-3. Kuala Lumpur: Unit Penerbitan Kementerian Pertanian Malaysia.
  3. Daniels, C. (ed.), 1998. Healing Secrets. Melbourne: Bookman Press Pty Ltd.
  4. M. Wichtl, Herbal Drugs and Phytopharma-ceuticals: A Handbook for Practice on a Scientific
    Basis, 4th ed. (Stuttgart, Germany: Medpharm, 2004).
  5. Ong Hean Chooi. 2008. Rempah-ratus: Khasiat Makanan & Ubatan. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.