Pernah dengar tak yang doktor cakap jika seseorang itu kena demam denggi kali ke 2 selalunya dia menghadapi demam denggi yang lebih teruk. Ini adalah suatu perkara yang benar. Sebelum kita cerita bagaimana perkara itu berlaku, mari kita cerita perkara asas berkenaan demam denggi

Apakah Punca Demam Denggi?

Demam denggi adalah berpunca daripada virus denggi yang berada dalam keluarga flaviviridae dan genus flavivirus. Flavivirus ini pula dibawa dan disebarkan oleh nyamuk yang dikenali sebagai Aedes. Ada terdapat dua jenis spesies aedes iaitu Aedes aegyti dan juga Aedes albopictus.

Kelompok Virus denggi yang berbentuk bulat dibahagian tengah

Semuanya virus denggi tetapi serotype berbeza?

Virus denggi mempunyai 4 jenis serotype yang berbeza. Apa pula maksud serotype yang berbeza ini? Secara asasnya flavivirus mempunyai struktur yang sama daripada segi reka bentuk dan komponen di dalamnya.

Akan tetapi apa yang membezakannya adalah struktur antigen iaitu satu struktur protein yang terletak pada permukaan virus tersebut. Ia bertindak seperti kad pengenalan yang digunakan untuk pengecaman.

Ia nampak sama tetapi ia berbeza kerana ia memberi kesan kepada sistem imun seseorang manusia.

Bagaimana demam denggi kali ke 2 akan menyebabkan keadaan yang teruk?

Apabila sesuatu virus memasuki badan, sel imun akan mengecam struktur antigen tersebut dan menghasilkan antibodi untuk melawan virus tersebut. Antibodi ini akan melekat pada antigen di permukaan virus dan menyahaktifkan virus tersebut. Kemudian virus itu akan ditelan oleh sel darah putih dan diuraikan.

Begitulah yang berlaku pada jangkitan virus denggi pada kali pertama. Antibodi akan dihasilkan untuk membunuh virus tersebut dan pesakit akan kebal terhadap virus denggi yang mempunyai serotype itu sahaja.

Apabila berlakunya jangkitan denggi kali ke 2, selalunya ia akan melibatkan serotype yang lain. Badan akan menghasilkan antibodi yang sama seperti jangkitan virus denggi yang pertama. Ini kerana struktur antigen tersebut mempunyai sedikit perbezaan.

Perkara ini akan menyebabkan virus tersebut masih lagi aktif dan tidak dibunuh. Apabila antibodi tersebut melekat pada virus, ia akan memudahkan lagi sel imun untuk menelan virus tersebut. Akan tetapi, virus tersebut masih aktif menyebabkan sel imun itu pula yang dijangkiti virus membiak dalam sel imun tersebut. Perkara ini akan menyebabkan keadaan pesakit semakin teruk

Reaksi ini dipanggil sebagai Antibody-dependant Enhancement. Bermaksud antibodi dalam badan kita sendiri yang akan mempercepatkan proses pembiakan virus tersebut dan menyebabkan keadaan pesakit semakin teruk.

Sejarah Wabak Denggi di Cuba

Pada tahun 1977, kebanyakan penduduk Cuba telah dijangkiti virus denggi jenis serotype 1 (DENV-1). Pantauan serotype(jenis virus denggi) pada tahun tersebut menunjukkan lebih daripada 44% mereka yang mengalami demam denggi telah dijangkiti virus denggi jenis DENV-1. Kebanyakan pesakit hanya mengadu simptom demam denggi yang tidak serius.

Pada tahun 1981 pula, terdapat perubahan serotype virus denggi dalam komuniti. Dimana virus denggi jenis DENV-2 telah dikesan meningkat menerusi sistem pengawasan kesihatan yang dibuat. Disebabkan kebanyakkan masyarakat telah dijangkiti dengan DENV-1 sebelum ini, demam denggi yang seterusnya iaitu disebabkan DENV-2 telah menyebabkan kenaikan kes denggi yang mempunyai pelbagai komplikasi

Kes demam denggi berdarah meningkat kepada 24000 kes, 10000 kes pula adalah dengue shock syndrome dan terdapat 158 kematian disebabkan denggi pada ketika itu.

demam denggi kali keDemam denggi berdarah

Kesimpulan:

Demam denggi kali ke 2 boleh menyebabkan keadaan pesakit yang lebih teruk dan boleh mendatangkan komplikasi seperti demam denggi berdarah.

Oleh itu, elakkan diri anda untuk pernah mendapat demam denggi kali pertama ataupun ke 2. Periksalah laman rumah anda untuk mengelakkan wujudnya tempat pembiakan nyamuk.

Jika pihak kesihatan masuk kerumah anda dan menjumpai tempat pembiakan, anda mungkin akan dikompaun sebanyak RM 500. Sakit jugak kalau kena. Jadi jagalah rumah anda, supaya orang lain tidak terkena denggi disebabkan wujudnya tempat pembiakan dirumah anda

Bacaan seterusnya: Bengkak leher disebabkan virus daripada Arab Saudi?
Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sila like page kami Root of Science

Rujukan:

  1. Clinical Practice Guideline Management of Dengue Infection in Adults(Third Edition 2015). Publshed by MaHTAS, Ministry of Health Malaysia
  2. Guzman MG, Kouri GP, Bravo J, Soler M, Vazquez S, Santos M, Villaescusa R, Basanta P, Indan G, Ballester JM. Dengue haemorrhagic fever in Cuba. II. Clinical investigations. Trans R Soc Trop Med Hyg. 1984;78(2):239-41.
Shares