Gejala beguk (mumps) melanda sesetengah kawasan di Malaysia. Mari kita imbas kembali apakah sebenarnya vaksin ‘tiga serangkai’ – Mumps, Measles, Rubella

VAKSIN MMR

Vaksin ini adalah vaksin kombinasi bagi tiga jangkitan virus yang mengakibatkan beguk, campak dan rubella. Boleh baca artikel mengenai penyakit tersebut di laman web Root of Science dan The Diagnosa.

Vaksin MMR selalunya diberikan dalam bentuk vaksin virus hidup yang dilemahkan (live attenuated virus). Boleh baca penerangan lanjut mengenai jenis-jenis vaksin di sini.

Vaksin MMR utama yang terdapat di kebanyakan premis Kementerian Kesihatan Malaysia adalah vaksin PRIORIX (GlaxoSmithKline Biologicals).

Terdapat pelbagai jenama vaksin MMR lain yang terdapat diseluruh dunia seperti MMRII (Merck), Tresivac (Serum Institute of India) dan Trimovax (Sanofi Pasteur). Beberapa jenis vaksin MMR yang didaftarkan dan dilesenkan untuk kegunaan di Malaysia Priorix, Priorix-Tetra (mengandungi imunisasi terhadap MMR + chickenpox) dan MMRII (maksudnya premis bukan kerajaan ada pilihan untuk melanggan dan menggunakan beberapa pilihan ini).

Jadi, kita hanya akan membincangkan tentang vaksin PRIORIX dalam artikel ini (dan MMRII sebagai perbandingan). Lain jenama vaksin, lain cara pembuatan dan komponennya. Malah, kadang-kala penggunaan strain virus juga adalah berlainan. Maka, keberkesanan dan kesan adversnya juga mungkin berbeza.

VAKSIN PRIORIX

Vaksin ini terdiri dari tiga jenis virus hidup yang dilemahkan (live attenuated virus):

Measles Virus (MeV) Schwartz Strain,

 

Mumps Virus (MuV) RIT 4385 (dari strain Jeryl Lynn),

 

Rubella Virus Wistar RA 27/3

MeV Schwartz strain (MMRII menggunakan Enders-Edmonton strain) dan MuV RIT 4385 dibiak berasingan dalam embrio ayam. Virus-virus ini telah terbiasa membiak dalam sel perumah haiwan, maka ia tidak lagi berupaya membiak dalam sel perumah manusia (attenuated).

Virus-virus dalam vaksin tersebut tidak akan menyebabkan jangkitan (tidak patogenik). Jika ada jangkitan pun ia hanyalah jangkitan yang sedikit dan tidak akan menimbulkan komplikasi. Namun, ia cukup untuk dikenal oleh sel imun kita dan mengaruh sistem imun membina pertahanan terhadap virus tersebut (imunogenik). Boleh baca lebih lanjut di sini.

Rubella virus Wistar RA 27/3 dibiak menggunakan perumah sel MRC5, sejenis sel peparu embrio manusia (Boleh baca lebih lanjut mengenai sel ini di sini). Manakala, bagi vaksin MMRII, strain virus yang sama digunakan tetapi dibiak menggunakan perumah sel WI-38.

Virus rubella dibiak berkali-kali dalam sel perumah manusia (MRC5 atau WI-38) tetapi menggunakan suhu 30 0C, lebih rendah dari suhu tubuh manusia (37 0C). Jadi virus ini tidak boleh lagi menjangkiti manusia pada suhu tubuh, namun cukup untuk mengaruh sistem imun (seperti diatas).

Virus-virus ini walaupun dibiak dalam sel perumah haiwan dan manusia, ia akan dipisahkan dari sel perumah dan dimurnikan menggunakan pelbagai teknik pemisahan bagi memastikan tiada sebarang partikel protein lain selain virus tersebut dalam vaksin yang dipakejkan. Baca lebih lanjut mengenainya disini.

BAHAN SAMPINGAN DALAM PRIORIX

SORBITOL

Priorix mengandungi SORBITOL, sejenis gula yang terhasil dari penurunan gula glukosa. Berfungsi sebagai pengawet dan penstabil. Ia selalunya diperbuat dari gula tebu atau sirap jagung. Sorbitol juga terdapat secara natural dalam buah-buahan. Ia juga terdapat sebagai bahan tambah dalam makanan terproses dengan kod E420.

LACTOSE, MANNITOL

Laktosa dan mannitol berfungsi sebagai penstabil untuk mengelakkan komponen vaksin terpisah atau melekat pada permukaan bekas. Laktosa adalah gula yang terdapat dalam susu (termasuk susu ibu. Mannitol adalah isomer bagi sorbitol. Kedua-duanya adalah tidak mudah diserap oleh usus manusia. Selalunya digunakan sebagai komponen pelawas laxative.

NEOMYCIN SULPHATE

Ia adalah antibiotik jenis aminoglycosides. Dosnya dalam vaksin adalah amat kecil untuk kegunaan manusia. Ia ditambah untuk mengelakkan cemaran bakteria dalam vaksin tersebut memandangkan ia tidak menggunakan sebarang pengawet seperti thimerosal.

 

NOTA PENTING!

Vaksin Priorix TIDAK MENGANDUNGI adjuvan aluminium. Tidak mengandungi thimerosal. Tidak mengandungi gelatin. Hanya vaksin MMRII yang mengandungi gelatin porcine (babi) terhidrolisis sebagai penstabil.

Jangan terkeliru dan ragu-ragu!

RUJUKAN

Toptygina A, Semikina E, Alioshkin V. Influence of an immunopotentiator polyoxidonium on cytokine profile and antibody production in children vaccinated with Priorix. Archives of physiology and biochemistry. 2012 Oct 1;118(4):197-203.

Knutsson N, Jansson UB, Alm B. Immediate injection pain in infants aged 18 months during vaccination against measles, mumps and rubella with either Priorix® or MMR-II®. Vaccine. 2006 Jul 26;24(31):5800-5.

Czajka H, Schuster V, Zepp F, Esposito S, Douha M, Willems P. A combined measles, mumps, rubella and varicella vaccine (Priorix-Tetra™): immunogenicity and safety profile. Vaccine. 2009 Nov 5;27(47):6504-11.

Wellington K, Goa KL. Measles, Mumps, Rubella Vaccine (Priorix™ GSK-MMR). Drugs. 2003 Oct 1;63(19):2107-26.

Priorix. GlaxoSmithKline. Product Monograph 2017

 

Shares