Terdapat pelbagai salah faham mengenai vaksin yang tersebar. Rasanya telah banyak artikel mengenai kepentingan vaksin dari sudut perubatan. Telah banyak juga artikel berkaitan bagaimana vaksin berfungsi melindungi kita dan masyarakat sekeliling kita dari pelbagai penyakit berjangkit yang berbahaya (baca disini). Artikel ini akan membincangkan sedikit tentang pelbagai jenis vaksin yang terdapat di dunia kini.

Terdapat pelbagai cara bagaimana vaksin dikelaskan dalam pelbagai rujukan. Namun, penulis mengkelaskan vaksin dalam empat kelompok utama untuk memudahkan kefahaman:

  • Vaksin menggunakan seluruh sel patogen
  • Vaksin toksoid
  • Vaksin subunit
  • Vaksin konjugat

VAKSIN MENGGUNAKAN KESELURUHAN SEL

Vaksin jenis ini mungkin jenis vaksin yang tertua digunakan dalam sejarah perubatan. Ia menggunakan keseluruhan organisma patogen yang menyebabkan penyakit, sama ada seluruh sel bakteria atau virus. Vaksin yang menggunakan keseluruhan sel patogen boleh dibahagikan kepada dua jenis yang berbeza:

  • Vaksin menggunakan patogen hidup/dilemahkan
  • Vaksin menggunakan patogen mati/tidak aktif

VAKSIN MENGGUNAKAN PATOGEN HIDUP/DILEMAHKAN

Kaedah pemvaksinan menggunakan virus/ bakteria hidup sebenarnya bukan sesuatu yang aneh atau sangat asing. Ia telah dipraktik dalam kaedah ‘variolation’. Diceritakan bahawa orang-orang di China sejak abad ke-15 telah menggunakan serbuk kering keruping penyakit smallpox yang dikeringkan dan ditumbuk dengan cara menghidu (nasal insufflation) supaya mereka mendapat penyakit tersebut sebelum wabak besar-besaran melanda (mereka akan menghidap smallpox dalam gred lebih rendah).

Image result for variolation

Smallpox

Orang-orang di Timur Tengah (Sudan, Afrika, Tunis dan sekitarnya) telah menggunakan kaedah yang sama. Kaedah inokulasi patogen smallpox ini juga telah dilaporkan penggunaannya di kerajaan Uthmaniyyah abad ke-17. Malah, Lady Mary Wortley Montagu, isteri seorang duta British ke Ottoman Constantinople, telah dikreditkan sebagai pembawa kaedah untuk mengelakkan jangkitan wabak smallpox ini ke Eropah (siapa kata vaksin asal dari negara Barat? Warisan islam ni!).

Setem Turkish (1967) untuk meraikan ulangtahun ke-250 vaksinasi smallpox yang pertama (Sumber: 1001 Inventions: Muslim Heritage in Our World (Manchester: FSTC, 2006, p. 179).

Namun, kaedah ini adalah berisiko tinggi kerana ia menggunakan virus yang aktif. Ia bergantung pada tahap kesihatan dan kebolehan sistem imun melawan jangkitan semata-mata.

Pada akhir abad ke-17, Edward Jenner, telah menemui kaedah yang lebih selamat dengan menggunakan virus cowpox bagi menghasilkan imuniti terhadap smallpox. Cowpox memberikan jangkitan yang kurang mendatangkan kematian berbanding smallpox, tetapi ia memberikan imuniti terhadap jangkitan smallpox.

 

Image result for smallpox vaccine

Smallpox vs chckenpox (Sumber: PLoS One Blog)

Contoh penggunaan kaedah yang sama kini adalah vaksin Bacillus Calmette–Guérin (BCG). Ia melindungi kita dari penyakit tibi menggunakan inokulasi bakteria hidup Mycobacterium bovis (yang biasanya menimbulkan tibi pada lembu). Penyakit tibi manusia adalah akibat jangkitan Mycobacterium tuberculosis.

Penemuan utama bagi vaksin dari virus yang dilemahkan (attenuated) adalah penemuan vaksin polio oral oleh Albert Sabin. Ia diraih menggunakan kaedah ‘membiak’ virus polio kedalam hos bukan manusia dibawah suhu fisiologi bagi menggalakkan mutasi. Selepas ratusan proses pembahagian sel, poliovirus ini tidak lagi virulen dan membahagi dalam sel manusia. Jadi, jika virus ini (setelah diasingkan dan dimurnikan dari sel hos) dimasukkan kedalam tubuh manusia, ia tidak akan membiak dan menyebabkan jangkitan. Tetapi ia cukup untuk mengaruh sistem imun tubuh kita utuk membina antibodi terhadapnya.

Kanak-kanak yang dijangkiti polio (Sumber: AfricanLeadership.co.uk)

Sebab itulah biasa kita dengar sesetengah vaksin dikatakan menggunakan pembiakan dalam embrio ayam seperti vaksin MMR (Measles, Mumps, Rubella). Virus measles dan mumps dibiak beratus-ratus kali dalam telur (embrio ayam) supaya ia beradaptasi untuk membiak dalam sel ayam, bukan manusia. Jadi, manusia yang mengambilnya tidak akan dijangkiti dengan virus tersebut.

VAKSIN MENGGUNAKAN PATOGEN MATI/TIDAK AKTIF

Kebanyakan vaksin menggunakan patogen mati adalah berasaskan bakteria manakala patogen tidak aktif adalah berasaskan virus.

Keratan akhbar yang meraikan kejayaan Jonas Salk menghasilkan vaksin polio (IPV) yang menyelamatkan ribuan kanak-kanak (1995)

Vaksin Polio tidak aktif (Inactive Polio Vaccine (IPV)) yang ditemui oleh Jonas Salk adalah salah satu contoh kejayaan kaedah ini. Poliovirus dibiakkan dalam sel Vero (sel epithelial dari ginjal monyet). Seperti kaedah Sabin di atas, virus ini akan diasingkan dari hosnya. Kemudian, virus-virus ini akan dimatikan menggunakan kaedah pemanasan atau menggunakan larutan formaldehyde. Selepas proses pemurnian, ia digunakan sebagai vaksin.

Selain dari IPV, vaksin yang menggunakan kaedah yang sama adalah vaksin typhoid, kolera dan pertussis (batuk kokol).

VAKSIN TOKSOID

Sesetengah patogen menyebabkan penyakit melalui penghasilan toksoid eksotoksin selepas ia berjaya memasuki tubuh manusia. Contoh penyakit tersebut: tetanus, kolera, botulisma, difteria.

Vaksin toksoid tetanus dihasilkan dengan membiakkan bakteria Clostridium tetani yang akan merembeskan toksoid kedalam media semi-sintetik yang menyokongnya. Toksoid ini akan diasingkan dan dilemahkan dengan rawatan formaldehyde. Ini akan mengubah bentuk toksoid dan jujukan asid amino toksoid tersebut, menyebabkannya tidak virulen lagi terhadap manusia. Ia kemudiannya melalui proses ultrafiltrasi yang akan mengasingkan toksoid ini dari protein dan bahan lain sebelum digunakan sebagai vaksin.

VAKSIN SUBUNIT

Vaksin subunit adalah variasi dari aplikasi penggunaan pathogen bukan hidup. Kaedah ini tidak menggunakan patogen, hanya sebahagian protein yang boleh digunakan untuk mengaruh sistem imun manusia menghasilkan antibodi terhadap patogen tersebutt.

Vaksin HPV (Sumber: SciencebBlog.com)

Contohnya vaksin terhadap Hepatitis B yang menggunakan hanya protein pada permukaan luar virus Hep B, vaksin terhadap virus Human Papilloma (menggunakan protein kapsid). Vaksin jenis ini biasanya dijana dari kaedah teknologi rekombinan DNA dalam yis.

Terdapat banyak vaksin terkini yang sedang diusahakan dari jenis ini. Contohnya vaksin HIV dari fragmen DNA dan vaksin terhadap asthma dan hiperlipidemia.

VAKSIN KONJUGAT

Vaksin jenis ini juga hanya menggunakan kaedah seperti vaksin subunit. Namun, kebanyakan bakteria mempunyai lapisan kot luaran polisakarida yang tidak begitu imunogenik (tidak mengaruh sistem imun). Jadi fragmen polisakarida ini akan diganding bersama dengan toksoid atau bahagian protein lain yang lebih virulen. Contoh vaksin jenis ini adalah vaksin terhadap Haemophilus influenzae type B.

RUJUKAN

  1. “Types of Vaccines”. www. Vaccine.gov. Retrieved October 19, 2017.
  2. Cavallari M. & De Libero G. (2017). From Immunologically Archaic to Neoteric Glycovaccines. Vaccines, 5(1), 4.
  3. http://doi.org/10.3390/vaccines5010004David B. (2007). Active and passive immunity, vaccine types, excipients and licensing, Occupational Medicine, Volume 57, Issue 8, 1, Pages 552–556
  4. Goldblatt, D. (2000). Conjugate vaccines. Clinical and Experimental Immunology, 119(1), 1–3. http://doi.org/10.1046/j.1365-2249.2000.01109.x
  5. https://www.historyofvaccines.org/content/articles/different-types-vaccines

 

 

 

 

Shares