Oh kome deghoyan dah berbunge,

Moh kite minang anak dare,

Anak dare, anak dare kota,

Teman jumpa di Padang Tenggale….

Ingat pada lagu Allahyarham Mr Os ini?

Durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus adalah sejenis buah tropika yang unik dan sangat diminati di Asia Tenggara. Keunikan durian adalah dari baunya yang kuat dan rasanya yang lemak manis tidak dapat digambarkan secara tepat melainkan dengan merasainya sendiri.

Buah yang mendapat jolokan ‘Raja Buah’ ini mempunyai ratusan variety (kultivar, durian kacuk) bagi memenuhi selera masyarakat tempatan. Kebanyakan warga Malaysia dan Singapura contohnya meminati aroma durian yang kuat dan rasa lemak manis dengan sedikit pahit seperti ‘Musang King’, manakala masyarakat di Thailand lebih meminati durian yang mempunyai aroma yang lebih lembut dan manis seperti durian ‘Monthong’ (D159).

Baru-baru ini, sekumpulan saintis di Singapura telah menerbitkan penyelidikan mengenai genom durian Musang King di jurnal tersohor ‘Nature Genetics’. Analisis genomik dan transkrptomik durian memberikan sedikit pandangan berkaitan evolusi dan regulasi pelbagai aktiviti biologi dalam buah yang unik ini; termasuk bagaimana buah durian melalui proses pematangan. Menariknya, kajian analisis genom ini memberi kita sedikit penjelasan mengapa buah durian mempunyai aroma yang unik dan kuat.

BAU DURIAN YANG UNIK

Beberapa kertas kajian lain telah melaporkan bahawa bau durian disumbangkan oleh dua kelompok kompaun kimia:

  • Kompaun-kompaun mengandungi sulfur yang meruap (volatile sulfur compounds, VSC)
  • Kompaun-kompaun ester

VSC dalam durian seperti thiols, disulfides, and trisulfides (contohnya diethyl disulfide, ethyl propyl disulfide and diethyl trisulfide seperti yang dilaporkan oleh Chin et al. (2007), ethyl propyl disulphide, trithiolane yang dilaporkan oleh Ishii (1982)) menyumbang pada aroma durian yang unik. Kompaun VSC adalah kumpulan bahan kimia yang sama terdapat dalam telur busuk. Kompaun ester dalam durian pula menyumbang pada bau manis buah-buahan yang ranum.

MENGAPA DURIAN MEMPUNYAI BAU YANG SUNGGUH KUAT BERBANDING BUAH-BUAHAN LAIN?

Kajian Teh et al. (2017) ini juga menemukan bahawa durian mempunyai lebih banyak salinan gen MGL (methionine γ-lyase) yang menyumbang pada penghasilan VSC. MGL adalah penyumbang terbesar dalam penghasilan VSC kerana fungsinya dalam pencernaan asid amino yang mempunyai atom sulfur seperti cyctein dan methionine. Asid-asid amino ini kemudiannya akan ditukarkan menjadi kompaun-kompaun disulphide dan trisulfide (VSC).

Durian mempunyai empat salinan gen MGL tersebut berbanding tiga dalam pokok kapas dan satu salinan saja dalam pokok koko.

Gene family analysis showing expansion in sulfur-related pathways associated with volatile sulfur compounds.

Imej dari Teh et al. (2007) (a) Menunjukkan gen berkaitan metabolisma sulfur, ethylene, and lipid metabolism termasuk gen MGL yang mempunyai peningkatan signifikan pada durian. (b) Tapakjalan VSC, yang mendegradasi asid amino cysteine dan methionine kepada methanethiol dan lain-lain VSC, bergantung pada enzim MGL. (c) Phylogeny gen MGL dalam durian, kapas, koko, Arabidopsis, dan beras menunjukkan kewujudan varian gen MGL; MGLa and MGLb. . (d) Gen MGLb dalam durian menunjukkan peningkatan regulasi. MSK, Musang King; MT, Monthong; PM, Puang Manee.

Selain MGL, terdapat perkembangan genomic yang signifikan terhadap beberapa kelompok gen-gen yang terlibat dalam metabolism sulfur contohnya gen-gen APS (ATP sulfurylase), yang terlibat dalam biosintesis hydrogen sulfida, OASA1 (cysteine synthase) yang terlibat dalam timbal balik kepekatan sulfur dalam sistem biologi, THIK (3-ketoacyl-COA thiolase) yang terlibat dalam penghasilan kompaun meruap berasaskan lipid.

MENGAPA KAJIAN INI PENTING?

Kajian ini adalah kajian pertama yang memetakan genom durian, khususnya durian Musang King. Ia boleh digunakan sebagai capjari genetik (genetic fingerprinting) untuk mengenalpasti kultivar tulen durian Musang King yang bermutu dalam pasaran, sekaligus mengurangkan masalah penipuan jualan durian dari jenis yang bermutu rendah tetapi dianggap Musang King.

Ia juga membolehkan kita memanipulasi genetik durian untuk menghasilkan jenis durian yang mempunyai rasa seperti Musang King tetapi mempunyai aroma yang lebih lembut (sesetengah orang tak tahan bau durian, kan?) atau menghasilkan durian dengan aroma Musang King tetapi dengan rasa yang lebih lembut (sesetengah orang tak suka durian yang terlalu ‘lemak’).

DURIAN TANPA BAU DURIAN?

Beberapa variety durian tanpa (atau kurang) bau telah dihasilkan di Thailand. Contohnya durian Chantaburi No. 1, Long Laplae dan Lin Laplae. Menariknya, terdapat durian Chantaburi No. 3 yang hanya menghasilkan bau setelah tiga hari dipetik. Ia memudahkan penghantaran durian oleh pembekal kepada pengguna, tetapi ia mengekalkan aroma yang diminati oleh pengguna apabila diterima.

Boleh baca keseluruhan artikel yang menarik ini: The draft genome of tropical fruit durian (Durio zibethinus) http://www.nature.com/ng/journal/vaop/ncurrent/full/ng.3972.html

RUJUKAN

Teh, BT. The draft genome of tropical fruit durian (Durio zibethinus). Nature Genet. http://dx.doi.org/10.1038/ng.3972 (2017).

Chin ST, Nazimah SA, Quek SY, Man YC, Rahman RA, Hashim DM. Analysis of volatile compounds from Malaysian durians (Durio zibethinus) using headspace SPME coupled to fast GC-MS. Journal of Food Composition and Analysis. 2007 Feb 28;20(1):31-44.

Jaswir I, MAN C, YAAKOB B, SELAMAT J, AHMAD F, SUGISAWA H. Retention of volatile components of durian fruit leather during processing and storage. Journal of food processing and preservation. 2008 Oct 1;32(5):740-50.

Ishii H. Volatile components of durian. Takasago Koryo Times. 1982;77:23-7.

 

 

Shares