Beliau dari keluarga penanam tembakau berkulit hitam yang miskin di Maryland. Beliau mempunyai lima anak, yang terakhir Joseph Lacks, dilahirkan beberapa bulan sebelum beliau didiagnos mengidap kanser serviks (cervical adenocarcinoma).

Henrietta Lacks dan Suaminya David Lacks

Beliau menerima rawatan di Hospital John Hopkins Maryland kerana hospital tersebut adalah satu-satunya hospital di kawasan tersebut yang membuka rawatan utuk pesakit berkulit hitam. Ketika dalam rawatan radiasi untuk merawat kanser, doktor yang merawat beliau telah mengambil dua sampel biopsi tanpa pengetahuan atau persetujuan beliau (regulasi berkaitan persetujuan rawatan, etika perubatan dan sebagainya adalah berlainan dizaman itu. Tambahan pula, beliau seorang wanita dan berkulit hitam).

Sel HeLa dalam kultur (www.microscopyu.com)

Salah satu sampel sel dari beliau telah berjaya dikultur dalam bekas kaca di makmal beratus-ratus kali. Ini adalah penemuan yang menakjubkan! Kerana sel-sel dari tisu manusia atau haiwan sebelum ini hanya boleh dikultur di makmal beberapa kali sahaja dan akhirnya mati. Ia menyebabkan limitasi pada kajian berkaitan perubatan manusia.

Nama wanita yang berjasa ini adalah HENRIETTA LACKS. Namun, seluruh pengkaji sel kultur di dunia mengenalinya sebagai HeLa.

BAGAIMANA HeLa MEREVOLUSI DUNIA PERUBATAN?

Sel-sel serviks yang diperoleh dari salah satu biopsi Henrietta Lacks tadi dikultur di makmal. Ia mereplikasi sendiri dalam media sokongan tanpa henti setiap 24 jam. Malah, sel-sel ini masih lagi digunakan di makmal sehingga kini setelah lebih 60 tahun kematian Henrietta Lacks (pada 1951). Dikatakan, saintis diseluruh dunia telah menghasilkan lebih 20 tan sel tersebut!

Image result for hela cells

Sel HeLa dari katalog American Cell Culture Collection (ATCC) yang boleh dibeli secara komersial kini

Sel-sel ini boleh menjadi wadah bagi pelbagai eksperimen tanpa mengorbankan haiwan. Ia juga adalah model yang lebih dekat dengan manusia, kerana ia adalah sel manusia.

Sel-sel HeLa telah dipropagasi secara besar-besaran (sebelum kematian Ms Lacks lagi) pada tahun 1950 untuk membantu Jonas Salk dalam penemuan vaksin polio. Penemuan ini membantu jutaan kanak-kanak dari penyakit polio sehingga kini.

Jonas Salk yang menemui vaksin polio IPV

Sel HeLa juga menjadi watak penting dalam saringan penentuan ketoksikan sesuatu bahan seperti bahan kimia, kosmetik, ubatan baru dan pelbagai lagi. Biasanya, ia saringan asas bagi menentukan sesuatu bahan itu selamat atau tidak untuk digunakan manusia.

Ujian antiproliferasi sel yang biasanya menggunakan kaedah MTT di makmal menggunakan sel seperti sel HeLa

Banyak penemuan ubatan seperti rawatan terhadap HIV, kanser dan pelbagai lagi dibina dengan bantuan sel HeLa. Malahan, kajian tentang pemetaan gen, mutasi dan kefahaman tentang regulasi gen, protein dan dinamik fungsi struktur sel dapat dirungkai dengan kehadiran sel ini. Kesimpulannya, penemuan sel HeLa banyak membuka ruang untuk kita memahami sel dan fungsinya juga memberikan pelbagai ruang untuk eksperimen berkaitan sel manusia dilakukan.

MENGAPA SEL HeLa BOLEH MEMBAHAGI BERTERUSAN?

Penemuan sel HeLa ini dilakukan oleh seorang saintis Amerika berkulit putih (keturunan German) bernama Dr George Otto Gey. Beliau menggunakan teknik ‘roller tube’ yang berputar untuk memastikan sel-sel tersebut sentiasa mendapat nutrien dari media dan oksigen.

Teknik roller-tube untuk mengkultur sel (pada zaman dahulu…hiks)

Sel HeLa mempunyai enzim telomerase yang lebih aktif berbanding normal. Enzim ini berfungsi untuk memelihara dan menambahkan jujukan telomere pada hujung kromosom. Jujukan telomere adalah jujukan nukleotida yang berulang-ulang pada hujung kromosom untuk memeliharanya dari kerosakan dan kemusnahan (artikel disini untuk bacaan lanjutan).

Teknik kultur sel yang biasa digunakan dalam makmal kini (termasuk dalam makmal penulis… hihihi)

Setiap kali sel membahagi, jujukan telomere ini akan memendek. Jika ia sudah cukup pendek, ia menandakan sel tersebut patut berhenti membahagi dan mengalami penuaan (senescence) yang membawa kematian. Dalam sel HeLa, telomerenya mungkin tidak akan memendek selepas membahagi kerana ia terus-terus dipelihara dan dibaiki oleh enzim telomerase yang aktif tersebut.

KONTROVERSI BERKAITAN HeLa

Oleh kerana pegambilan sampel biopsi dari Ms Lacks tidak mendapat persetujuan bertulis, bahkan diambil tanpa pengetahuan beliau pun, kejayaan penghasilan sel ini tidak berada dalam pengetahuan Ms Lacks atau ahli keluarganya (mungkin juga kerana bangsa dan warna kulit Ms Lacks).

Sel-sel tersebut dipropagasi dan digunakan dalam pelbagai makmal seluruh dunia tanpa pengetahuan Ms Lacks atau keluarganya sebelum atau selepas beliau meninggal dunia. Seringkali, nama HeLa dikaitkan dengan nama Helen Larson atau Helen Lane bagi menyembunyikan identitinya yang sebenar.

Sehinggalah sekitar tahun 1970an berikutan laporan dari Stanley Gartler (1967) dan Nelson-Reese (1975) yang menunjukkan sel-sel HeLa berupaya membiak dan menjangkiti kultur sel-sel lain. Ketika ini, pelbagai sel-sel lain yang hidup berterusan (immortalised cells) seperti HeLa telah berjaya dikultur dimakmal. Ia adalah sesuatu yang sangat tidak disenangi kerana banyak kajian terutama ubatan memerlukan model dari organ yang spesifik. Contohnya ujian ketoksikan yang memerlukan sel-sel dari hati, jika kultur tersebut dijangkiti sel HeLa yang berasal dari serviks sudah tentulah ia tidak begitu tepat.

Keluarga Lacks telah dihubungi oleh pelbagai pihak untuk sampel sel DNA mereka. Ini dilakukan untuk membanding sel-sel yang terdapat dalam makmal berdasarkan asas DNA keturunan Lacks. Ia menimbulkan keresahan pada pihak keluarga Ms Lacks. Pelbagai isu juga timbul kerana sel-sel tersebut juga digunakan secara komersial, malahan laporan perubatan mereka, DNA dan pelbagai lagi maklumat menjadi rekod umum dan muncul dalam jurnal penerbitan. Malah, pada tahun 2013, keseluruhan jujukan genom dari sel HeLa ini telah diterbtkan dalam jurnalsains antarabangsa. Ia sebenarnya adalah suatu robekan privasi yang nyata!

Susulan dari kes-kes ini, pelbagai undang-undang, peraturan dan asas etika penggunaan sampel dari manusia telah digubal. Henrietta Lacks bukan saja menyumbang penemuan pelbagai ubatan dan kefahaman tentang sel manusia, malah undang-undang juga. Betapa besarnya jasa beliau dalam dunia perubatan sebenarnya!

Penulis juga berterima kasih juga padanya, banyak juga penulis menggunakan model Hela dalam pengklonan dan eksperimen ketika pengajian doktor falsafah dulu. Terima kasih Henrietta Lacks!

RUJUKAN

Skloot, Rebecca (2010), The Immortal Life of Henrietta Lacks, New York City: Random House, p. 2, ISBN 978-1-4000-5217-2

Ivanković M, Ćukušić A, Gotić I, Škrobot N, Matijašić M, Polančec D, Rubelj I. Telomerase activity in HeLa cervical carcinoma cell line proliferation. Biogerontology. 2007 Apr 1;8(2):163-72.

Puck TT, Marcus PI, Cieciura SJ. CLONAL GROWTH OF MAMMALIAN CELLS IN VITRO : GROWTH CHARACTERISTICS OF COLONIES FROM SINGLE HELA CELLS WITH AND WITHOUT A “FEEDER” LAYER. The Journal of Experimental Medicine. 1956;103(2):273-284.

https://www.smithsonianmag.com/science-nature/henrietta-lacks-immortal-cells-6421299/

 

Shares