Tahun ini (2017) genap 20 tahun pengumuman mengenai kelahiran seekor biri-biri klon bernama Dolly oleh sekumpulan penyelidik di Institut Roslin, Scotland. Sebenarnya, Dolly bukanlah haiwan klon yang pertama di dunia, malah ia juga bukanlah biri-biri yang pertama lahir dari proses pengklonan. Tapi mengapa agaknya Dolly amat terkenal dalam lipatan sejarah?

PENGKLONAN DALAM PERSEKITARAN KITA

Pengklonan secara amnya adalah suatu proses menghasilkan progeni atau ‘anak’ yang mempunyai genetik 100% seperti induk yang menghasilkannya. Ia tidak memerlukan biji benih atau spora. Biasanya pembiakan seksual melalui biji benih akan menghasilkan progeni yang mempunyai genetik 50% dari induk jantan dan 50% dari induk betina.

Proses pengklonan sebenarnya bukan sesuatu yang asing dalam banyak organisma di dunia. Bakteria, yis, fungus dan sesetengah tumbuhan berkemampuan untuk membiak secara aseksual (tanpa percampuran gamet jantan dan betina).

Pembahagian binari pada bakteria

Bakteria contohnya, melalui proses pembahagian binari (binary fission) untuk menghasilkan bakteria lain. Kaedah yang sama dilakukan oleh Protista seperti amoeba dan euglena. Mungkin juga anda msih teringat tentang cacing pipih Planaria yang boleh membahagi dirinya sendiri untuk membiak.

Imej dari Bioninja.com

Yis dan haiwan ringkas seperti hydra (Hail Hydra!) pula berkemampuan membiak melalui penghasilan tunas. Ia juga berlaku pada tumbuhan. Pembiakan vegetatif melalui tunas pokok, batang rayap (stolon), umbisi, bebawang, sulur dan rizom adalah antara contoh pembiakan aseksual tumbuhan.

Daun setawar bertunas

Masih ingat ketika kecil dulu antara kita menyimpan daun setawar dalam buku dan menantinya untuk menghasilkan bebenang akar? Ia adalah cara pokok setawar menghasilkan klon!

Namun, mamalia seperti kucing, biri-biri dan manusia tidak mampu melakukan perkara seperti itu. Bila kaki atau tangan kita putus, ia tak akan tumbuh lagi seperti tapak sulaiman. Malah, kita tak akan bertunas menghasilkan anak. Manusia (dan mamalia) lain membiak secara ekslusif melalui pembiakan seksual.

DOLLY & PENGKLONAN

Seperti yang disebutkan diatas, Dolly bukanlah haiwan pertama yang terhasil dari pengklonan. Sebelumnya, biri-biri pertama telah dilahirkan melalui pengklonan sel embrio di Cambridge, UK pada tahun 1984. Namun, Dolly adalah mamalia pertama dihasilkan melalui proses pemindahan nukleus dari sel somatik dewasa.

Dolly bersama Prof Ian Wilmut (Imej dari Roslin Institute)

Kelahiran Dolly memungkinkan klon terhasil dari sel-sel biasa seperti sel kulit, sel hidung, sel mata, sel darah putih. Mana-mana sel dari bahagian tubuh kita boleh menghasilkan ‘anak’ yang sama genetik seperti kita! Malah, jika ada sedikit sel dinosaur yang dapat diperoleh dari tetulang (yang mempunyai nukleus), kita mungkin boleh ‘membangunkan’ dinosaur dari kepupusan (secara teori).

Nukleus adalah organel dalam sel kita yang menyimpan maklumat genetik.

Pengklonan Dolly dilakukan oleh sekumpulan saintis yang diketuai oleh Profesor Sir Ian Wilmut. Mereka telah mengekstrak nukleus dari sel payudara biri-biri Finn Dorset yang berbulu putih (sebab itu namanya Dolly, sempena penyanyi muzik Country yang terkenal, Dolly Parton… if you know what I mean… ehemmm… koff koff). Nukleus ini dimasukkan kedalam sel gamet biri-biri Scottish Blackface (bermuka/ kepala hitam).

Embrio yang terhasil dari proses pemindahan nukleus (nucleus transfer) ini dimasukkan kedalam ibu tumpang jenis Scottish Blackface. Apabila Dolly dilahirkan, ia mempunyai muka dan kepala putih yang menunjukkan genetiknya adalah dari Finn Dorset.

HIDUP DOLLY YANG SINGKAT

Dolly sebenarnya dilahirkan pada Julai 1996. Tetapi kelahirannya hanya diumumkan pada 22 Febuari 1997 setelah kertas kajian mengenainya diterbitkan.

Analisis DNA Dolly menunjukkan sel-sel tubuhnya mempunyai telomere yang lebih pendek dari sel dari haiwan seusianya.

Telomere adalah jujukan DNA di hujung kromosom yang berulang-ulang. Ia berfungsi sebagai ‘pelinding’ bagi jujukan DNA dari mengalami kerosakan. Semakin banyak kali sel membahagi semakin memendek jujukan telomere tersebut. Semakin lama kita hidup, semakin pendek telomere kita.

Dolly dilahirkan dari nukleus sel haiwan dewasa (berusia 6 tahun), jadi telomere dari nukleus sel ini adalah telomere sel dewasa berusia. Bukan telomere dari sel gamet yang terpelihara dari pemendekan telomere. Ini memungkinkan Dolly mengidap pelbagai masalah kesihatan seperti bebiri yang lebih tua pada usia yang muda.

Dolly dan ibu tumpangnya (Imej dari Roslin Institute)

Namun, Dolly tetap hidup secara normal dan sihat. Ia juga sempat melahirkan enam ekor anak (dengan bebiri jantan Welsh Mountain bernama David): Bonnie (lahir pada April 1998), kembar Sally dan Rosie (lahir tahun 1999) dan kembar tiga Lucy, Darcy dan Cotton (lahir tahun 2000).

Dolly dan anaknya Bonnie

Pada tahun 2001, Dolly menghidap arthritis (walaupun baru berusia 5 tahun, jangka hayat bebiri adalah 12-15 tahun). Dolly didapati menderita dengan kanser dalam peparu akibat jangkitan virus Jaagsiekte sheep retrovirus (JSRV) yang biasa menyebabkan tumor pada bebiri. Dolly mengakhiri hidupnya pada usia 6 tahun.

IMPAK DARI KAJIAN INI

Kajian pengklonan yang melahirkan Dolly sebenarnya bukanlah bertujuan untuk menghasilkan klon manusia. Ia dilakukan untuk menghasilkan klon haiwan yang boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai komponen biologi dengan selamat seperti komponen platlet antipenggumpal darah, hormone seperti insulin, antibodi dan pelbagai lagi.

Ia juga mendorong kajian berkaitan terapi melalui sel stem untuk tujuan terapi (tidak berkaitan dengan makanan sel stem untuk cantikkan kulit dan produk dipasaran yang penipu!)

Terima kasih, Dolly!

RUJUKAN

Schnieke AE, Kind AJ, Ritchie WA, Mycock K, Scott AR, Ritchie M, Wilmut I, Colman A, Campbell KH. Human factor IX transgenic sheep produced by transfer of nuclei from transfected fetal fibroblasts. Science. 1997 Dec 19;278(5346):2130-3.

Shiels PG, Kind AJ, Campbell KH, Wilmut I, Waddington D, Colman A, Schnieke AE. Analysis of telomere length in Dolly, a sheep derived by nuclear transfer. Cloning. 1999 Jun 1;1(2):119-25.

The Life of Dolly. Roslin Institute Scotland. http://dolly.roslin.ed.ac.uk/facts/the-life-of-dolly/index.html

 

Shares