Ekstrak biji aprikot yang ajaib.

Setelah pengambilannya anda akan mengalami:

  • Sakit kepala yang melampau
  • Tekanan darah tinggi, pentanda menyahtoksin
  • Degupan jantung yang meningkat
  • Loya dan berpeluh
  • Demam
  • Cirit birit, najis berbau, air kencing berbau – Petanda bagi menyahtoksin, membuang bahan buangan dan sisa-sisa dalam usus besar.
  • Kembung perut

“Jangan risau kerana tubuh anda sedang mengalami ‘healing crisis’ dalam proses penyembuhan penyakit anda.”

——————————————————————————————————————————————————-

Hampir tersembur air kopi  yang sedang saya minum tatkala membaca iklan yang melintasi garis-masa facebook tersebut!

Tahukah anda?

Semua gejala yang disenarai di atas adalah tanda-tanda klasik keracunan sianida.

Sianida bertindakbalas secara kekal dengan ion ferum dalam tubuh kita. Ion ferum adalah komponen penting dalam haemoglobin (untuk mengangkut oksigen) dan kofaktor enzim contohnya sitokrom A3 (Kompleks IV) pada rantai respirasi penghasil tenaga dalam mitokondria.

Paras sianida yang tinggi menyebabkan sianida menambat pada ferum pada sitokrom A3 di rantaian respiratori penghasilan tenaga dalam sel manusia. Natijahnya, proses fosforilasi pengoksidaan utuk menghasilkan tenaga (ATP) akan terganggu.

Related image

Ini juga akan memaksa sel melakukan metabolism anaerobik (metabolism tanpa oksigen) yang akan meningkatkan asid laktik dalam tubuh. Keadaan ini seterusnya akan diburukkan lagi apabila keseimbangan asid-alkali/bes terganggu dan menyebabkan pH darah menjadi asid ataupun dikenali sebagai ‘metabolic acidosis’

Ini akan menyebabkan fungsi sel terganggu dan sel akan mati. Seterusnya sistem tubuh dan organ terganggu dan boleh menyebabkan kematian jika parasnya terlalu tinggi dan lambat menerima rawatan.

Related image

Pencemaran dalam tubuh yang diperoleh akibat inhalasi atau sedutan dari udara yang mempunyai sianida pula akan menyebabkan penyerapannya pada darah dan bendalir tubuh. Ini akan mengganggu fungsi haemoglobin, oksigen tidak dapat diangkut oleh haemoglobin keseluruh tubuh dan menyebabkan tubuh kita kekurangan oksigen. Ini boleh mengakibatkan sel-sel mati, seterusnya kerosakan organ dan boleh membawa kepada kematian.

Apakah kaitan ekstrak biji aprikot dengan sianida?

Biji aprikot mengandungi glikosida sianogenik – amygdalin (D-mandelonitrile-B-D-gentiobioside).

Kompaun kimia ini akan dimetabolisma oleh enzim-enzim glucosidase yang terdapat dalam sel-sel tubuh kita dan menghasilkan sianida (hydrogen cyanide).

Image result for amygdaline

Sianida yang terhasil dari tindak balas ini akan menyebabkan sel tubuh kita tidak dapat menggunakan oksigen untuk menghasilkan tenaga (baca kembali fakta diatas). Ini akan menyebabkan sel-sel tersebut mengalami hipoksia dan mati (oral dos yang menyebabkan kematian manusia: 0.6-1.5 mg/kg). Biji aprikot mengandungi sebanyak 89-2,170 mg/kg hydrogen sianida (berat basah).

Keadaan kekurangan oksigen (dan kekurangan penghasilan tenaga (ATP)) dalam tubuh kita akan menyebabkan pening kepala, loya dan muntah, lemah tubuh badan, sesak nafas, degupan jantung yang tidak sekata dan tidak sedarkan diri.

Ekstrak biji aprikot, vitamin B17, Laetrile dan amygdalin

  • Amygdalin – kompaun glikosida sianogenik yang terdapat pada biji aprikot, boleh dimetabolismakan oleh sel tubuh kita dan menghasilkan sianida yang menyebabkan keracunan.
  • Ekstrak biji aprikot yang dikatakan penawar segala penyakit termasuk endometriosis, diabetes dan kanser dikatakan mempunyai keupayaan penyembuh ampuh. Ekstrak ini mengandungi amygdalin (dan kompaun terbitan) yang tinggi.
  • Laetrile (laevo-mandelonitrile-beta-glucuronoside) adalah kompaun terbitan amygdalin yang dihasilkan secara sintetik dan dipatenkan oleh Ernst T Krebs Jr. sebagai rawatan kanser. Eksperimen dan kajian beliau telah cuba diulang dan dicuba oleh ratusan saintis lain, tetapi telah dibuktikan tidak berkesan.
  • Vitamin B17 adalah nama yang diperkenalkan oleh Ernst Kreb sebagai nama lain bagi Laetrile untuk mempromosikan Laetrile sebagai ‘penawar’ baru.

Ernst T Krebs Jr. terkenal dalam lipatan sejarah tentang penipuannya terhadap promosi rawatan kanser palsu sejak tahun 1970an. Walaupun digelar Dr Krebs oleh para pengikutnya, beliau tidak mempunyai sebarang kelayakan rasmi dalam bidang sains. Beliau adalah bekas pelajar Hahnemann Medical College (Philadelphia) yang gagal dan telah dibuang dari pengajian.

Ernst T Krebs tiada kaitan dengan Dr Hans Adolf Krebs yang memenangi Hadiah Nobel Perubatan 1953 kerana penemuan beliau ‘Kitar Krebs’ (Krebs cycle).

Laetrile

Jadi adakah ekstrak aprikot ini sebenarnya mampu menjadi penawar penyakit?

Setakat hari ini, masih tiada bukti kukuh mengenainya.

Benar, banyak kajian berkaitan amygdalin untuk rawatan kanser. Walaupun kajian-kajian yang masih diperingkat in vitro (sel dalam piring makmal) ini menunjukkan hasil yang agak menarik (secara natural amygdalin bersifat sitotoksik (toksik terhadap sel)). Namun mekanismanya masih gagal dibuktikan.

Tetapi, akibat buruk hasil pengambilan biji aprikot telah dilaporkan oleh ratusan kertas kajian. Malah kes-kes keracunan sianida hasil pengambilan biji aprikot dan ekstrak biji aprikot serta amygdalin juga banyak dilapor dan didokumentasikan setiap tahun.

Penulis: Cisplatin

Rujukan:

Abraham K, Buhrke T, Lampen A. Bioavailability of cyanide after consumption of a single meal of foods containing high levels of cyanogenic glycosides: a crossover study in humans. Arch Toxicol. 2016 Mar;90(3):559-74. doi: 10.1007/s00204-015-1479-8.

Sauer H, Wollny C, Oster I, Tutdibi E, Gortner L, Gottschling S, Meyer S. Severe cyanide poisoning from an alternative medicine treatment with amygdalin and apricot kernels in a 4-year-old child. Wien Med Wochenschr. 2015 May;165(9-10):185-8. doi: 10.1007/s10354-014-0340-7. Epub 2015 Jan 22.

Milazzo S, Horneber M. Laetrile treatment for cancer. Cochrane Database Syst Rev. 2015 Apr 28;(4):CD005476. doi: 10.1002/14651858.CD005476.pub4. Review. PMID: 25918920

Bromley J, Hughes BG, Leong DC, Buckley NA. Life-threatening interaction between complementary medicines: cyanide toxicity following ingestion of amygdalin and vitamin C. Ann Pharmacother. 2005 Sep;39(9):1566-9. Epub 2005 Jul 12.

Seghers L, Walenbergh-van Veen M, Salome J, Hamberg P. Cyanide intoxication by apricot kernel ingestion as complimentary cancer therapy. Neth J Med. 2013 Nov;71(9):496-8.

O’Brien B, Quigg C, Leong T. Severe cyanide toxicity from ‘vitamin supplements’. Eur J Emerg Med. 2005 Oct;12(5):257-8.

Bromley J, Hughes BG, Leong DC, Buckley NA. Life-threatening interaction between complementary medicines: cyanide toxicity following ingestion of amygdalin and vitamin C. Ann Pharmacother. 2005 Sep;39(9):1566-9. PMID: 16014371

Shares