Pengenalan

 

Baiklah. Mari kita lihat apa sebenarnya yang ada dalam sebuah rokok elektronik atau “vape” (untuk memudahkan rujukan, kita panggil “vape” sahaja OK?). Secara asasnya, “vape” terdiri dari beberapa komponen, bermula dari:

 

1. Corong sedut – Tempat letak mulut untuk menghisap wasap “vape”
2. Kelonsong cecair – Tempat tersimpan cecair yang akan bertukar menjadi wap “vape”
3. Sistem kawalan elektronik – Litar yang akan mengawal kadar pemanasan cecair, dan pengehad arus, serta beberapa fungsi lain yang mungkin lebih maju.
4. Suis – Untuk mengaktifkan pemeluwapan cecair “vape”
5. Bateri – Kebiasaannya Lithium Ion seperti dalam telefon bimbit kita sekarang
6. Kadang-kadang ada sebiji lampu LED untuk memberi isyarat ketika suis ditekan.

Kebiasaannya, pengilang bagi produk “vape” mengambil kira aspek keselamatan seperti mengelakkan pemanasan berlaku secara tidak sengaja dengan litar pengesan haba dan juga mengambil kira tempoh suis ditekan. Ini perkara yang dipandang serius sejajar dengan kemajuan system kawalan elektronik terkini.

TETAPI sepertimana wujudnya kes-kes kemalangan yang membabitkan peralatan elektronik, (ingat lagi tak kes letupan telefon bimbit baru-baru ni?) seorang penghisap “vape” tetap terdedah pada risiko letupan.

Salah satu kes letupan vape. Sumber berita harian

Untuk makluman pembaca, pihak Kawalan Makanan & Dadah Amerika Syarikat (US FDA) setakat ini menjalankan kawalan keselamatan atas kandungan bahan kimia dalam cecair “vape” tetapi BUKAN atas aspek elektronik pada peralatan “vape”. TIADA undang-undang khusus yang diluluskan atas aspek penggunaan bateri “Lithium Ion”, kebiasaannya yang menjadi sebab letupan dalam peralatan “vape”.

Mengejutkan? Ini baru nak panas-panas ala-ala pemanas “vape”.

Berikut adalah statistik pada tahun 2014 mengenai kes letupan “vape”:

 

 

Daripada semua kes yang dilaporkan (walaupun kajian mendalam mengenai letupan “vape” belum dibuat secara menyeluruh), 8% letupan berlaku ketika dihisap pengguna! 80% kes letupan pula berlaku ketika mengecas semula peranti “vape” tersebut. Mungkin aka nada kajian statistik yang lebih menyeluruh pada masa akan datang, tapi setakat ini sahaja maklumat yang ada.
Sebagai iktibar, admin ingin menukilkan dua insiden terkini yang dikaji secara terperinci yang membabitkan letupan disebabkan oleh “vape” ini. Semua kes ini dilaporkan melalui portal saintifik yang mengkaji kes letupan semasa menghisap “vape”.

Kes 1: Trauma dan koyak pada mulut dan gigi (2016)

Gambar rujukan dari jurnal [2]

 

Insiden ini berlaku pada seorang pemuda berumur 18 tahun yang sedang “mengepam” sebelum memberikan sebuah pembentangan. Sejurus letupan tersebut berlaku, pemuda ini terus menjerit “E-cigarette aku meletup! Gigi aku dah hilang!”. Pemuda ini hanya menghisap “e-cigarette” dan tidak pernah menghisap rokok biasa.

Kes 2: Letupan pada peha ketika “vape” dalam poket seluar (2016)

Dalam kes ini, mangsa ini berumur 24 tahun dan “vape” beliau meletus ketika sedang duduk. Gambar diatas menunjukkan sejauh mana kesan letupan tersebut. [3]

Kepada para pembaca budiman, bolehlah rujuk artikel saintifik yang lain dalam bahagian rujukan kami melalui “Google Scholar”.

Kenapa “vape” anda boleh meletup?

Jawapan yang mudah adalah pada bateri.
Teknologi bateri yang boleh dicas semula telah melalui pelbagai perubahan. Dipendekkan cerita, kebanyakan bateri yang ada dalam peranti “vape” diperbuat daripada Polimer Lithium-Ion. (Struktur kimia dan sebatiannya mungkin akan dibincangkan oleh pakar yang ada dalam RoS)

BAYANGKAN…. Kalau kita buat kuih popiah sambal untuk digoreng makan petang. Cuma kali ini kuih popiah ini sedikit unik. Sekeping kulit popiah Giant disapu dengan sambal. Lepas itu letakkan selapis kulit popiah Tesco atas kulit popiah Giant yang bersalut sambal. Sapu sambal atas kulit popiah Tesco. Ulangi sehingga beberapa lapis dan gulung. Tahniah. Anda telah membuat popiah ala-ala bateri Lithium Ion dalam minda anda.

 

 

 

Cuma kali ini, kulit popiah Giant adalah terminal Anod yang diperbuat dari sejenis logam A dan terminal Katod buatan Tesco logam B. Sambal tersebut adalah pelarut organik yang mengandungi garam Lithium. SEMUA “sambal” yang ada dalam bateri “popiah” anda adalah cecair mudah TERBAKAR ATAU MELETUP.

Apabila bateri “vape” sedang dicas, pemanasan yang hilang kawalan akan menyebabkan elektrolit “sambal” mendidih dan menyebabkan bekas bateri tersebut bocor. Ini sekaligus menyebabkan tekanan gas yang terhasil daripada pemanasan tersebut dibebaskan, dan teori yang diutarakan adalah disebabkan gabungan Lithium dan air yang menyebabkan tindakbalas eksotermik sekaligus menghasilkan alkali lithium hidroksida (yang boleh mengakis kulit) dan akhirnya MELETUP.

Vape” meletup, “smartphone” meletup, “Laptop” pun ada meletup. Apa bezanya?

Tidak dinafikan semua peranti elektronik yang mempunyai bateri seperti ini mempunyai potensi untuk meletup. Semua ini terletak pada struktur “vape”. Bateri “vape” lazimnya terletak pada hujung peranti yang merupakan titik kelemahan (weakest point) struktur tersebut. Berbeza dengan peranti “vape”, bateri “laptop” dan “smartphone” mangandungi bekas plastik yang kukuh untuk menghalang letupan yang serius. Semua peranti selain “vape” kebiasaannya berbentuk kotak leper yang ditutup rapat dengan bekas plastik yang kukuh.

Perbezaan utama bateri “vape” adalah pada binaan dan dimensi bateri tersebut. Bateri silinder kebiasaannya tiada lapisan tambahan yang sekukuh bateri peranti yang lain.

Stuktur bateri leper seperti yang biasa digunakan dalam “tablet”, “laptop” dan “smartphone” kebiasaannya boleh menghalang tekanan gas dari membuak jika pemanasan luar kawalan berlaku.

Kesimpulan

Setakat ini, kes letupan yang dilaporkan yang disebabkan “vape” secara amnya agak rendah. Akan tetapi, langkah berhati-hati perlu dijaga supaya amalan menghisap “vape” ini tidak berakhir dengan tragedi. Kebanyakan kes letupan berlaku ketika mengecas peranti “vape”. Akan tetapi, setiap mangsa letupan dek “vape” adalah seorang manusia yang unik, dan bukanlah boleh diwakili dengan sebuah peratusan sahaja.

Rujukan:

[1] FEMA (2014). Electronic Cigarette Fires and Explosions. U.S. Fire Administration

[2] Rogér, J. M., Abayon, M., Elad, S., & Kolokythas, A. (2016). Oral trauma and tooth avulsion following explosion of e-cigarette. Journal of Oral and Maxillofacial Surgery, 74(6), 1181-1185.

[3] Herlin, C., Bekara, F., Bertheuil, N., Frobert, P., Carloni, R., & Chaput, B. (2016). Deep burns caused by electronic vaping devices explosion. Burns, 42(8), 1875-1877.

 

Shares