Ketika kecil dahulu pernah juga melihat pesta menangkap ikan di sungai kecil di kampung. Ikan-ikan galak terapung menguit-nguit kepermukaan air. Ikan-ikan ini seperti tidak ketahuan dan amat mudah ditangkap.

Ayah mengatakan akar tuba telah digunakan untuk memberi mabuk ikan-ikan supaya mudah ditangkap.

AKAR TUBA

Tahukah anda apakah akar tuba tersebut?

Ia sebenarnya sejenis pokok merambat yang sama family dengan kekacang. Namanya Derris elliptica. Perkataan ‘Derris’ mungkin diambil dari perkataan Greek yang membawa maksud salutan getah. Mungkin merujuk pada kandungan salutan getah yang biasanya mengelilingi tumbuhan ini. (Bukan diambil namanya sempena Pak Deris kampung akak tu. Tiada kaitan dengan yang hidup atau telah meninggal dunia).

Image result for derris elliptica

Pokok ini kelihatan berpilin-pilin merambati struktur sekitarnya. Ia biasa didapati di kawasan hutan tropika seperti di Malaysia.

BAGAIMANA TUBA BERFUNGSI

Tuba ini banyak digunakan sebagai racun serangga dan racun ikan. Ia biasanya ditumbuk atau dikeringkan sebelum dikisar menjadi serbuk untuk digunakan sebagai pembunuh serangga perosak dalam kawasan tanaman. Namun, kerana ketoksikannya yang boleh mengganggu manusia dan haiwan ternakan, biasanya ia tidak digunakan secara meluas.

Imej dari https://florafaunaweb.nparks.gov.sg

Tumbuhan ini sebenarnya mengandungi toksin yang bernama ‘rotenone’.  Kompaun ini mampu menghalang proses respirasi. Rotenone mengganggu rantaian pengangkut elektron (electron transport chain) pada mitokondria sel dengan merencat perpindahan elektron dari Kompleks I mitokondrian kepada ubiquinone (baca mekanisma perencatan B17 yang toksik disini).

Image result for rotenone

Perencatan rantai respirasi ini menyebabkan ikan kekurangan oksigen dan tercungap-cungap kepermukaan air. Sebenarnya rotenone juga boleh meracuni manusia jika ditelan dan tidak digunakan berhati-hati. Jadi jika tempat anda masih menggunakan kaedah ini untuk menangkap ikan, berhati-hatilah. Seeloknya tidak perlu digunakan kerana ia akan membunuh haiwan-haiwan kecil, alga dan mikroorganisma sekitar juga. Agak tidak ekonomi juga kegiatan ini sebenarnya pada persekitaran.

 

 

Shares