“… Kenapa tak boleh makan buah durian belanda? Ada antikanser. Takde side effect.”

“… Ambil ekstrak biji apricot ni. Kemo tu semua sintetik. Ini natural”

“… Ni daun rerama. Boleh sembuhkan kanser. Big pharma tak mahu kita kaji bahan dari tumbuhan. Sebab tak boleh paten. Jadi tak dapat banyak duit…”

 

Ini adalah ayat-ayat yang biasa kita dengar bila pesakit  kanser disahkan diagnosisnya. Maka berbondong-bondonglah doctor tanpa tauliah yang menyogok produk itu dan ini. Sesetengahnya mungkin berniat baik. Tetapi kalau betul berniat baik, belanja lah produk tu semua. Selalunya ia akan memakan belanja yang bukan sedikit. Namun, duit yang dilabur hanya membeli angan dan janji palsu.

BENARKAH DAKWAAN BAHAWA KEMOTERAPI SEMUANYA BERASASKAN SINTETIK SEMATA-MATA?

Dakwaan paling biasa didengari adalah ubat kemoterapi sebenarnya membunuh dan tidak menyembuhkan. Sebenarnya, dakwaan tersebut benar juga. Kemoterapi berfungsi membunuh sel-sel kanser. Boleh baca mengenai ulasan kemoterapi membunuh disini.

Dakwaan lain yang juga amat popular adalah ubat-ubatan kemoterapi adalah ubat sintetik. Doktor tidak akan memberi kita ubat yang berasaskan tumbuhan atau produk natural. Mungkin kenyataan ini ada benarnya. Namun, ubatan kemoterapi bukan semuanya dari sintesis kimia seperti cyclophosphamide yang berbentuk nitrogen mustard (dibangunkan sebagai agen peperangan) atau cisplatin yang berasaskan logam platinum.

Tahukan anda?
70% dari ubatan moden yang terdapat di hospital, farmasi dan klinik adalah berasakan sumber alami.

Terdapat banyak agen kemoterapi yang masih digunakan sehingga kini sebenarnya berasal dari tumbuhan, kulat dan bakteria.

Tak percaya?

VINCRISTINE, VINBLASTINE

Pernahkan anda melihat logo Majlis Kanser Nasional (MAKNA) yang berbentuk bunga merah jambu? Mengapa pertubuhan kanser ini mengambil bunga ini sebagai logonya? Apakah signifikan bunga merah jambu ini dengan kanser? Pernah terfikir?

Sebenarnya, bunga tersebut adalah bunga kemboja cina yang banyak ditanam di tepi-tepi jalan dan di halaman rumah. Warnanya yang cantic dan memikat hati menyebabkan ia menjadi pilihan untuk dijadikan tumbuhan hiasan.

Namun, disebalik kecantikannya, tumbuhan ini sebenarnya telah menyelamatkan nyawa jutaan manusia diseluruh dunia. Dari tumbuhan yang digelar periwinkle atau nama saintifiknya Catharantus roseus ini, diperoleh dua molekul antikanser yang poten iaitu vincristine dan vinblastine.

Imej dari Kuboyama et al (2004)

 

Kompaun ini telah dipencilkan (isolated) dari pokok ini untuk rawatan pelbagai jenis kanser seperti limfoma, leukemia, Hodgkin’s, neuroblastoma, kanser peparu, kanser otak dan lain-lain lagi. Dikatakan dahulu terdapat kebun pokok kemboja cina yang luas di Texas untuk menjadi bahan asas menghasilkan kemoterapi vincristine dan vinblastine.

Kini, saintis telah menemui jalan untuk menghasilkan kompaun ini secara sintetik. Ye lah… berapa tan metrik kita nak tebang dan perah pokok ini untuk merawat ribuan manusia seluruh dunia kan? Jika dapat dihasilkan secara sintetik kos penghasilannya juga akan lebih ekonomi. Ia dikomersilkan oleh syarikat farmaseutikal gergasi Eli Lilly.

Tumbuhan ini juga menghasilkan kompaun vindoline dan catharantine yang menjadi bahan asas kajian untuk menghasilkan agen kemoterapi yang lebih baru – VINORELBINE. Ia digunakan untuk merawat antaranya kanser payudara dan kanser peparu (non-small cell lung cancer).

 

DOCETAXEL, PACLITAXEL

Kedua-dua kompaun yang berguna merawat kanser termasuk kanser payudara, perut, prostat, serviks, pancreas, peparu (antaranya) ini diperoleh dari batang pokok Yew atau nama saintifiknya Taxus brevifolia. (Sebenarnya docetaxel dihasilkan oleh daun pokok Yew European)

Related image

Imej dari http://www.goode-food.co.uk

Pohon rendang berbuah merah ini menghasilkan kompaun taxane yang akan menstabilkan mikrotubul. Ini akan menyebabkan sel gagal membahagi. Docetaxel dipasarkan dengan nama Taxotere oleh Sanofi-Adventis dan Paclitaxel lebih dikenali dengan nama Taxol yang dikomersilkan oleh Bristol-Myers-Squibb.

CAMPTOTHECIN, TOPOTECAN

Asyik pokok dari Eropah dan Amerika saja. Pokok dari Asia?

Haruslah ada!

Camptothecin (CPT) dipencilkan dari pokok Happy, diterjemah secara literal dari perkataan cina xi shu yang bermaksud gembira. Nama saintifik bagi pokok ini adalah Camptotheca acuminata. Ia tumbuh dengan banyak di Selatan China dan Tibet.

Imej dari https://plant.daleysfruit.com.au

Kompaun topotecan (Hycamtin) pula adalah semi-sintetik yang dimodifikasi dari molekul camptothecin. Ia dikomersilkan oleh syarikat gergasi Glaxo-Smith-Kline. Kedua-dua molekul ini digunakan untuk rawatan kanser ovari, kanser peparu dan pelbagai jenis kanser lagi.

Ia menambat pada struktur DNA pada lengkuk DNA heliks dan juga merencat enzim DNA Topoisomerase yang membantu dalam transkripsi DNA.

ETOPOSIDE, TENIPOSIDE

Kompaun podophyllotoxin ini dipencilkan dari pokok May apple (Podophyllum peltatum). Kedua-duanya juga digunakan untuk merawat pelbagai jenis kanser kerana sifatnya yang merosakkan DNA melalui tindakbalas dengan enzim DNA Tooisomerase II yang menyebabkan kegagalan mekanisma pembaikan DNA.

Image result for podophyllum peltatum

Rasanya sudah cukup beberapa contoh kemoterapi yang diperoleh dari tumbuhan ini untuk membuatkan kita berfikir dan menyangkal tuduhan yang sering dilontarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua contoh diatas memberikan kesan sampingan yang selalu anda geruni tatkala mendengarnya. Muntah, cirit-birit, ulser, hilang selera makan, lemah, keguguran rambut dan sebagainya. Walaupun diperoleh dari sumber tumbuhan.

Related image

 

Maka, jika anda mengambil tumbuhan ini secara natural juga anda mempunyai risiko untuk mendapat kesan sampingan yang sama.

MENGAPA KITA TAK AMBIL TEH KEMBOJA CINA SAJA, KAN LEBIH NATURAL?

Mungkin dengan mengambil teh kemboja cina kita boleh mendapat manfaat yang sama. Tetapi dosnya? Mungkin anda perlu mengambil 100 kg kemboja cina untuk mendapat dos yang sama dengan rawatan.

Mengapa?

Ubat yang terdapat dihospital 99% adalah vincristine atau vinblastine yang memberi manfaat rawatan untuk penyakit anda. Ia telah dipencilkan dan dalam bentuk tulen.

Image result for vinca alkaloids

Imej dari Sottomayer et al. (2006)

Namun, tumbuhan tersebut mempunyai jutaan kompaun lain bersamanya yang mungkin tidak membawa manfaat, malah lebih membahayakan lagi. Kan rugi?

MANA DURIAN BELANDA? TAK BUAT RESEARCH KAH?

Seperti kehidupan, ada yang menghadapi kejayaan, ada yang menghadai kegagalan. Ujian klinikal terhadap kompaun dari durian belanda telah dijalankan. Namun, kemudaratan yang ditunjukkan lebih dari kemaslahatan yang mampu diberikan. Penyelidikan ini telah dijalankan lebih dari dua puluh tahun lepas. Boleh baca dengan lanjut disini.

Jadi jika anda disuakan dengan alasan seperti diatas untuk penjual melariskan produk, boleh minta mereka baca artikel ini, ya?!

RUJUKAN

Weaver BA. How Taxol/paclitaxel kills cancer cells. Molecular biology of the cell. 2014 Sep 15;25(18):2677-81.

Sottomayor M, Barceló AR. The Vinca alkaloids: from biosynthesis and accumulation in plant cells, to uptake, activity and metabolism in animal cells. Studies in Natural Products Chemistry. 2006 Dec 31;33:813-57.

Kuboyama T, Yokoshima S, Tokuyama H, Fukuyama T. Stereocontrolled total synthesis of (+)-vincristine. Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America. 2004 Aug 17;101(33):11966-70.

Cragg GM, Newman DJ. Plants as a source of anti-cancer agents. Journal of ethnopharmacology. 2005 Aug 22;100(1):72-9.

Shares