Malaysia bukan saja mengungguli Sukan SEA yang dianjurkan baru-baru ini. Negara kita juga mengungguli carta diabetes (kencing manis) dan obesiti antara yang tertinggi di Asia. Jadi, tidak hairanlah ubat-ubatan dan herba yang berkaitan dengan ‘kurus’ dan ‘mengubati kencing manis’ menjadi berita tular yang tidak berkesudahan.

Muncul lagi cerita tular mengenai air rebusan sejenis daun ceri yang mampu menyembuhkan diabetes sehingga 100% dalam beberapa minit sahaja. Bukan mahu merendahkan potensi herba tempatan, tetapi berita sebeginilah sebenarnya yang merendahkan nilai herba tempatan itu sendiri.

Image result for Muntingia calabura

Bayangkanlah… jika ada yang mencubanya dan hanya berkesan sebagai kesan placebo, terpalitlah sebenarnya herba tersebut tidak berkesan atau hanya berkesan sekejap saja. Sebenarnya, kaedah dan penggunannya yang salah! Jika ada kesan sampingan? Atau kesan interaksi dengan ubatan yang diambil, bagaimana?

Lebih malang lagi jika ada pihak yang mengambil kesempatan menjual herba-herba ini dengan harga yang melambung tinggi. Sebungkus teh herba campuran berharga ratusan ringgit? Celup-celup uncang, sembuh diabetes?

Sudah-sudahlah menipu dan ditipu, OK?!

MUNTINGIA CALABURA SEBAGAI AGEN ANTIDIABETES?

Sebenarnya banyak pokok di Malaysia yang digelar ‘pokok ceri’. Tidak diketahui sebenarnya dalam berita tular tersebut ‘pokok ceri’ yang mana satu menjadi idaman kalbu… eh? Yang mana satu diberitakan sebagai rawatan magik diabetes dan kolesterol tersebut.

Berdasarkan gambar dan nama tempatan yang diambil dari artikel Indonesia tersebut, pokok ceri yang dimaksudkan mungkin ceri kampung atau nama lainnya ceri singapura, kerukup siam, kersen. Nama saintifik pokok yang berbuah manis ini adalah Muntingia calabura.

Image result for muntingia calabura

Walaupun ia digelar sebagai ‘ceri’, ia tiada kaitan dengan ceri yang selalu digunakan sebagai hiasan kek, ramuan kek buah dan penyeri kuih semperit hari raya (genus Prunus).

Tumbuhan ini kaya dengan antioksidan dan pelbagai kompaun fitokimia yang menarik. Banyak kajian melaporkan kehadiran pelbagai jenis flavonoids dan chalcone (keton aromatic yang menjadi  asas kompaun biologi).

Banyak juga kajian peringkat in vitro berkaitan manfaat ekstrak dari tumbuhan ini sebagai agen antioksidan, antibakteria, antikanser, antiinflamasi dan pelbagai lagi. Malangnya, kajian ini cuma pada peringkat sel sahaja. Samaada ia sesuai atau berkesan pada manusia masih tidak diketahui kesahihannya. Baca disini mengapa kajian in vitro tidak boleh dijadikan dalil perubatan.

Kajian terhadap kebolehan tumbuhan ini menyembuhkan diabetes atau sebagai agen anti diabetik sangat langka. Cuma ada beberapa kajian pada peringkat tikus yang tidak begitu memberangsangkan. Malah, kajian tersebut juga bukan dari kertas kajian yang diterbitkan dalam jurnal berwasit dan berimpak tinggi.

Walaupun tumbuhan ini mempunyai potensi yang menarik sebagai tumbuhan herba yang bermanfaat, tiada satu dalil pun yang boleh diyakini ia mampu menyembuhkan penyakit secara total.

Cuma, mungkinlah (ini spekulasi penulis berdasarkan sedikit teori dan pengalaman cetek dibidang ini) kehadiran pelbagai kompaun flavonoids (juga mungkin apigenin) menyebabkan sedikit penurunan kadar penyerapan gula. Ia bukanlah kesan yang berpanjangan. Cuma kesan sementara, seperti kesan meminum teh hijau selepas makan sahaja.

Semestinya bukan ubat ajaib untuk penyakit anda!

LEPISANTHES ALATA, SEJENIS POKOK CERI YANG MENARIK PERHATIAN

Terdapat sejenis pokok ceri lain yang dikatakan mempunyai aktiviti antidiabetes yang menarik – pokok ceri Terengganu atau ceri Johor (jangan pula rakyat Sultan Mizan bercakar nak claim pokok ini dengan rakyat JDT, memang namanya begitu), juga dikenali sebagai ‘Malay cerry’ (Lepisanthes alata).

Ekstrak dari pokok ini banyak dikaji untuk melihat potensinya dalam merendahkan kadar gula dalam kes diabetes (walaupun setakat ini pesakit yang menjadi bahan ujikaji hanya tikus-tikus makmal yang sangat berjasa saja!).

Menariknya, tumbuhan ini juga dikatakan mempunyai banyak kompaun proanthocyanidins – sekumpulan polifenol flavonoid oligomerik (seperti catechin dan epicatechin, procyanidin, prodelphinidins… sekadar menyebut pelbagai contoh).

Kompaun-kompaun ini dikatakan mempunyai aktiviti merencat enzim-enzim yang menghidrolisis (penguraian) kanji. Jadi, apabila ia diambil dengan makanan yang mengandungi kanji seperti nasi, roti, gandum, ia akan mengakibatkan kurang insiden peningkatan mendadak gula dalam darah (sugar spike).

Kenaikan kadar gula dalam darah selepas makan dipengaruhi pelbagai pengaruh biologi yang kompleks. Namun, proses pencernaan atau penguraian kanji oleh enzim hydrolase seperti enzim α-amylase, α-glukosidase adalah memainkan peranan yang penting.

Kanji adalah terdiri dari rantaian-rantaian panjang glukosa. Enzim- enzim hydrolase tersebut berfungsi memotong rantai-rantai panjang ini menjadi glukosa tunggal yang boleh diserap oleh sel-sel tubuh.

Apabila enzim-enzim ini direncat oleh perencat enzim seperti proanthocyanidins tadi, kanji tidak akan dapat diuraikan menjadi molekul tunggal glukosa dan tidak akan dapat diserap tubuh dengan efisyen. Maka, kenaikan paras gula dalam darah akan berlaku secara perlahan-lahan.

Aktiviti seperti ini sebenarnya telah lama digunakan sebagai salah satu cara kawalan diabetes. Pengambilan ubatan seperti acarbose (Glucobay, Precose, Prandase) atau miglitol adalah berfungsi sebagai perencat pada enzim α-glukosidase yang melambatkan penyerapan kanji yang diambil dari diet.

Walaupun fakta menarik ini terdapat pada pokok ceri tersebut, ia bukanlah ubatan yang luarbiasa. Ia juga bukan herba ajaib yang boleh menyembuhkan diabetes anda sekelip mata. Pengambilan gula dalam diet perlu dikawal seperti biasa. Ubatan yang dipreskripsi oleh doktor harus diambil. Seeloknya beritahu doktor anda tentang pengambilan sebarang suplimen dan herba.

Para doktor dan pakar kesihatan juga harus bersikap terbuka. Janganlah apabila tahu pesakit mengambil sebarang herba, terus menyinga atau bertukar menjadi Rimau. Boleh rajin bertanya pada phytochemist atau toksikologis tempatan (bukan yang menjual produk tau! Huhu) dan tulislah nota laporan mengenainya, barulah database toksikologi herba tempatan kita berkembang.

Image result for Lepisanthes alata

Herba dan tumbuhan (bahkan sayuran, buahan dan rempah) adalah sebahagian dari kehidupan kita. Kajian tentang interaksi ubatan dan herba perlu lebih banyak dilakukan dan diambil berat. Bukan dikesampingkan seperti bogeyman atau voldermort yang tidak boleh disebut pun dalam bidang perubatan.

RUJUKAN

Zhang Y, Gui Y, Huang D. Impact of Maturity of Malay Cherry (Lepisanthes alata) Leaves on the Inhibitory Activity of Starch Hydrolases. Molecules. 2017 May 24;22(6):873.

Chotimah HE, Kresnatita S, Miranda Y. Ethnobotanical study and nutrient content of local vegetables consumed in Central Kalimantan, Indonesia. Biodiversitas Journal of Biological Diversity. 2013;14(2).

Zhang Y, Wong AI, Wu JE, Karim NB, Huang D. Lepisanthes alata (Malay cherry) leaves are potent inhibitors of starch hydrolases due to proanthocyanidins with high degree of polymerization. Journal of Functional Foods. 2016 Aug 31;25:568-78.

Zhang Y, Sui X, Huang D. Mitigating the in vitro enzymatic digestibility of noodles by aqueous extracts of Malay cherry leaves. Food Chemistry. 2017 Oct 1;232:571-8.

Zakaria ZA, Balan T, Azemi AK, Omar MH, Mohtarrudin N, Ahmad Z, Abdullah MN, Desa MN, Teh LK, Salleh MZ. Mechanism (s) of action underlying the gastroprotective effect of ethyl acetate fraction obtained from the crude methanolic leaves extract of Muntingia calabura. BMC complementary and alternative medicine. 2016 Feb 24;16(1):78.

Sufian AS, Ramasamy K, Ahmat N, Zakaria ZA, Yusof MI. Isolation and identification of antibacterial and cytotoxic compounds from the leaves of Muntingia calabura L. Journal of ethnopharmacology. 2013 Mar 7;146(1):198-204.

Lin JT, Chen YC, Chang YZ, Chen TY, Yang DJ. Effective compounds in the fruit of Muntingia calabura Linn. cultivated in Taiwan evaluated with scavenging free radicals and suppressing LDL oxidation. Food & Function. 2017;8(4):1504-11.

Gomathi R, Anusuya N, Manian S. A dietary antioxidant supplementation of Jamaican cherries (Muntingia calabura L.) attenuates inflammatory related disorders. Food Science and Biotechnology. 2013 Jun 1;22(3):787-94.

Rajesh R, Jaivel N, Marimuthu P. In vitro Antioxidant Potential of Methanol Extract of Jamaica cherry, Muntingia calabura (L.). Madras Agricultural Journal. 2013 Dec 1;100.

Andalia N, Safrida S, Sabri M. EFEKTIVITAS PEMBERIAN EKSTRAK DAUN KERSEN (Muntingia calabura L.) TERHADAP STRUKTUR MIKROSKOPIS SEL BETA PANKREAS TIKUS HIPERGLIKEMIK. Jurnal Edubio Tropika. 2017 Apr 28;5(1).

Sridhar M, Thirupathi K, Chaitanya G, Kumar BR, Mohan GK. ANTIDIABETIC EFFECT OF LEAVES OF MU TI GIA CALABURA L., I ORMAL AD ALLOXA-I DUCED DIABETIC RATS.

Shares