Belakangan ini, lambakan produk produk dan kisah-kisah serta tips yang dikatakan berkait rapat dengan ‘sains’ tersebar menerusi media sosial tanpa disokong oleh bukti-bukti yang jelas dan kukuh sehingga boleh dikatakan sebagai fiksyen. Tanpa sebarang kredibiliti pada penulisnya, perkara ini digunakan untuk menyebarkan ketakutan (fearmongering) sehingga lah digunakan untuk melariskan produk-produk di pasaran. Contohnya seperti terapi ozon, alien dan binaan kuno, serta kewujudan haiwan prasejarah yang dikatakan masih wujud pada hari ini (megalodon). Perkara ini bolehlah diklasifikasikan sebagai pseudosains seharusnya diurus dengan berhati-hati dan sebaiknya dijauhkan.

megalodonlogo

Megalodon: The Monster Shark Lives – sebuah rancangan oleh Discovery Channel yang menerima kecaman pelbagai pihak kerana cubaan syarikat tersebut meletakkan bahan fiksyen sebagai dokumentari untuk menarik perhatian penonton

Justeru, apa itu pseudosains? 

Pseudosains merupakan kepercayaan atau amalan yang disalah anggap sebagai berkait rapat dengan sains. Walhal, kepercayaan dan amalan tersebut dilakukan tanpa asas bukti yang kukuh dan kajian yang mendalam, sebaliknya disandarkan kepada akal dan imaginasi individu tersebut.

Sebagai contoh, terapi elektrolisis pada kaki yang menghasilkan air yang keruh. Air yang keruh tersebut pula dicanang sebagai ‘kotoran’ dari badan oleh jurujual perkhidmatan tersebut dengan mendakwa kajian telah dilakukan di Korea dan Amerika Syarikat tanpa mengemukakan bukti kajian yang kukuh. Mereka yang celik tentang sains sudah tentu mengetahui keruhnya air tersebut akibat pengoksidaan rod tapi bagaimana pula orang yang tidak mempunyai latar belakang sains mampu membezakan antara fakta dan auta?

8f9591f7b5c3b78d

Terapi rendaman ion elektrik kaki adalah antara contoh produk yang berkonsepkan pseudosains

Checklist red flags Pseudosains!

1) Menggunakan perkataan ‘dibuktikan secara saintifik‘ tanpa rujukan yang sah

Mungkin agak ironik, tetapi inilah perkara pertama yang ditulis oleh golongan pseudosains untuk meyakinkan masyarakat tentang produk mereka. Perkataan ‘saintifik’ sebenarnya antara faktor penarik kerana umum mengetahui istilah tersebut menunjukkan teori mereka sudah terbukti berkesan. Tetapi apabila ditanya ‘bukti saintifik’ mereka ditemui di institut mana, siapa saintisnya, di jurnal mana bukti tersebut diterbitkan – mereka akan mengelak dari menjawab.

35-lucky-strike-cigarette-ad-marlena-dietrich-scientific-proof

Masyarakat hari ini peka tentang bahaya rokok, tetapi bagaimana pula masyarakat tahun 50an? Ketika itulah taktik ‘scientifically proven’ digunakan dalam pengiklanan. Zaman mungkin berubah tetapi taktik ini masih digunakan!

2) Bukti yang dikemukakan terhad dalam bentuk testimoni, anekdotal dan lagenda urban

Sains memerlukan bukti yang empirikal dan statistikal bagi mengesahkan sesebuah teori. Daripada populasi yang besar, responden atau sampel bagi sesebuah kajian juga perlu besar untuk mewakili populasi tersebut malah kadang kala angkanya mencecah ribuan dan memakan masa bertahun. Berbeza pula dengan pseudosains bagi mereka, teori mereka ini tidak boleh dibukti salah dan walaupun terdapat ratusan bukti yang menyatakan mereka salah, mereka akan tetap mengambil satu dua bukti (yang boleh direka) yang kebetulan menyokong mereka! Tanpa pendekatan statistikal, testimoni dan anekdot tidak layak untuk dijadikan bukti saintifik.

Dengan hanya satu maklum balas, produk ini mendakwa pelbagai penyakit disembuhkan. Bagaimana pula dengan ratusan pengguna produk ini yang lain? Nota: Ikuti pendedahan produk di atas di fb Pseudoscience Watch https://www.facebook.com/pswatch1/posts/1105095479501395

3) Dakwaan konspirasi dan penindasan pelbagai pertubuhan untuk mengaut keuntungan

Konspirasi, Yahudi dan Dajjal, masyarakat kita cukup taksub dengan perkataan ini, pergilah kedai buku mana pun pasti ada satu bahagian dipenuhi dengan penulisan ini. Para penyebar pseudosains seperti Neil (bukan nama sebenar) cukup suka mengambil kesempatan ke atas perkara ini untuk menyemai ketakutan masyarakat terhadap produk yang sedia ada dan memaksa mereka beralih kepada produk alternatif yang dipromosi. Penggiat pseudosains juga mendakwa produk mereka telah disabotaj oleh syarikat-syarikat besar untuk menutup kebenaran bahawa produk mereka ini tidak terbukti berkesan.

wp-1454630701466

Contoh penggunaan teori konspirasi untuk menakutkan masyarakat. Isu dalam gambar di atas telah pun diulas oleh ahli akademik di pautan ini http://www.ismaweb.net/2016/02/menggunakan-akal-dalam-menilai-teori-konspirasi/

ancient-aliens

History Channel juga terjebak dengan teori konspirasi untuk meraih jumlah tontonan

4) Dakwaan yang ‘too good to be true’

“Makcik kalau makan ubat ni, Inshaallah penyakit makcik semua hilang. Cakap je, kanser, darah tinggi, kencing manis, gout, resdung  – semuanya lah. Kalau ada pening kepala or migraine cuma rendam dan minum, boleh sihat.”

Pernah dengar ayat di atas? Cuba fikir sebentar, jikalau benar produk tersebut boleh mengubat segalanya mengapa hospital tidak guna sahaja ubat itu, tak perlu lah nak bagi bermacam-macam ubat dan rawatan. Jimat perbelanjaan, jimat masa, kerajaan pun tak pening.  Di situ lah kita kena menggunakan rasional fikiran kita walaupun tidak mempunyai latar belakang sains. Pelbagai dakwaan direka untuk melariskan produk mereka sehingga lah yang tidak masuk akal. Cuma belum ditemui produk yang boleh menghidupkan orang mati je.

kelebihan-daun-rerama

Antara dakwaan yang tidak masuk akal. Jika benar, pasti semua hospital dan klinik tidak perlu lagi berfungsi

Kesimpulan

Sebenarnya banyak lagi cara untuk mengenali pseudosains di sekeliling kita yang semakin menular dengan adanya media sosial. Cuma terserah kepada kita sebagai ahli masyarakat untuk menilai kesahihannya. Jika ada produk yang didapati mencurigakan jangan malu bertanya kepada mereka yang ahli. Sebaiknya terima informasi daripada mereka yang mempunyai kredibiliti seperti kementerian dan juga ahli akademik.

aliens

Rancangan Ancient Aliens sering kali menjadi bahan jenaka kerana kecenderungannya mengaitkan segala fenomena dan binaan kuno dengan alien – contoh pseudosains yang menjadi popular

Admin: Thorium

Shares