Kita sambung lagi perbincangan sebelum ini. Di dalam Bahagian 1, kita meneliti tiga sebab utama yang menyumbang kepada masalah rumah panas di Malaysia. Kali ini kita akan melihat faktor-faktor yang menyumbang secara tidak langsung kepada masalah tersebut, serta perkara-perkara yang tidak membantu menyejukkan rumah.

Bahagian 1 boleh dibaca di sini.

4. Kesan Haba Tidak Langsung

Di sini kita teliti kesan sampingan berpunca dari matahari, tetapi secara tidak langsung memberi kesan haba ke atas rumah kita. Antaranya:

  • Pantulan haba dan cahaya matahari dari bangunan lain (tingkap kaca).

Situasi ini kerap berlaku apabila jiran memasang cermin gelap (tint) yang reflektif. Ia bertindak sebagai cermin dan memantulkan sinar matahari, dan nasib tak baik ia akan memantul terus ke dalam rumah kita. Lebih parah lagi kalau kita tinggal di rumah pangsa/apartmen yang berdepan dengan bangunan pejabat berdinding kaca penuh.


Kesan silau yang melampau (sumber)

Tak banyak yang dapat dilakukan melainkan cuba menghadang silau pantulan sinaran matahari dengan menanam pokok, memasang langsir dan sebagainya. Kalau sanggup, belanjalah jiran itu dengan memasang lapisan anti-silau di tingkapnya. Namun kesan ini tidaklah kritikal berbanding sinaran secara langsung kerana bersifat sementara sahaja. Perlu juga diingat, kadang-kadang rumah kita pula yang memantulkan sinar matahari ke rumah orang lain!

  • Pembebasan haba terserap di waktu malam.

Isu ini timbul apabila dinding rumah yang terdedah kepada cahaya matahari di waktu siang perlahan-lahan membebaskan haba di waktu malam. Ia merupakan kesan yang sama dengan radiator kenderaan.

Cara untuk mengatasinya termasuklah menghadang sinaran matahari dari terkena dinding; menggunakan cladding (aluminium) atau facing brick (bata hiasan) bagi melapisi bahagian luar dinding; menggunakan sengkuap (awning) bagi memberi teduh; dan membina dinding kedua atau dinding dua lapis bagi bahagian yang terdedah.

  • Humiditi (kelembapan) yang tinggi.

Satu lagi isu yang tak dapat dielakkan bila tinggal di Malaysia. Humiditi yang tinggi (70% ke atas) menyebabkan suhu bilik sekitar 32°C terasa seperti 41°C! Ini dikenali sebagai Heat Index (Indeks Haba), kerana kelembapan yang tinggi menyebabkan peluh di badan lambat tersejat. Penyejatan peluh di kulit adalah mekanisme penyejukkan badan, dan apabila peluh tak kering, ia menyebabkan bilik terasa panas.

Jadi di sini kita boleh lupakan mesin/alat peningkat humiditi kerana di iklim khatulistiwa, kesannya lebih buruk dari baik.

Pendingin hawa akan mengurangkan kadar humiditi di dalam bilik. Sekiranya digunakan secara berpanjangan, udara boleh menjadi terlalu kering dan menimbulkan ketidak-selesaan atau keradangan. Dalam kes ini, anda digalakkan membiarkan sedikit air terdedah di dalam bilik (di dalam besen atau bekas air) bagi mengimbangi humiditi di dalam bilik tadi.

5. Sumber Haba Dari Dalam Rumah

Di sini kami senaraikan faktor-faktor mikro yang sedikit sebanyak boleh menambah kepada peningkatan suhu di dalam rumah:

  • Perkakas Elektrik

Perkakas elektrik akan menjana haba berterusan selagi ia terpasang. Oleh itu peralatan seperti peti sejuk yang pada dasarnya tidak pernah ditutup berbulan-bulan lamanya sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan haba di dapur. Peralatan lain seperti TV, seterika, pengering rambut, ketuhar dan sebagainya juga menyumbang kepada masalah ini. Pastikan peralatan-peralatan ini diletakkan di kawasan berpengudaraan yang baik.

  • Penghuni Yang Ramai

Ini kerap kali satu masalah di rumah bujang atau kongsi. Tak ada yang dapat dilakukan melainkan meningkatkan pengudaraan di dalam rumah. Kalau sanggup, pesan kat mereka jangan bernafas dan jangan berpeluh.

  • Peralatan Memasak

Yang ini memang tak payah cerita panjanglah. Api tu panas. Tu aje.

Tingkatkan pengudaraan bagi mengurangkan masalah ini. Kebanyakkan dapur moden menggunakan kipas ekstrak. Atau makan kat luar. Tapau pun OK juga.

6. Tak Pernah Solat Di Rumah  (Ooops, gurau saja :P)

Aspek-aspek yang tidak membantu penyejukkan rumah

Masalah rumah panas bukanlah sesuatu yang baharu. Masyarakat terdahulu sudah mencuba pelbagai cara bagi mengatasinya. Dan mereka juga sudah menemui perkara-perkara yang nampak macam membantu, tapi pada hakikatnya tidaklah seperti yang disangka. Antaranya ialah:

  • Membiarkan kipas terpasang tanpa penghuni

Sebenarnya kesan penyejukkan kipas adalah berdasarkan angin yang bertiup dan menyejukkan kulit kita. Selaju mana kipas itu berpusing, ia tidak akan menurunkan suhu bilik. Oleh itu, sekiranya anda tidak ada di dalam bilik, tak payahlah biarkan kipas itu terpasang. Membazir saja.

  • Menggunakan pendingin hawa dengan pintu atau tingkap terbuka

Saya pernah melihat rumah banglo dengan unit pendingin hawa dipasang di luar rumah. Sebagai seorang arkitek saya terkedu melihat “kebijaksanaan” tuan rumah mewah itu dalam menyediakan ruang sejuk di luar rumahnya. Pendingin hawa memerlukan ruang tertutup. Jadi pastikan bilik anda tertutup terutamanya bahagian bawah pintu. Ini bagi memastikan tahap efisiensi pendingin hawa kekal tinggi, maka akan menurunkan bil elektrik anda.

  • Perletakkan pendingin hawa yang terlalu tinggi

Kita tahu bahawa hawa dingin akan turun ke bawah. Memandangkan kita juga akan menghuni bahagian bilik yang berdekatan dengan lantai, maka tak perlulah pendingin hawa itu diletakkan di tempat yang tinggi. Ini akan menyebabkan pendingin hawa itu perlu menyejukkan bahagian atas bilik (berdekatan dengan siling), sedangkan kita tidak menghuni bahagian itu! Membazir!

  • Menggunakan hud dapur

Ada sedikit kekeliruan di mana ada yang menganggap hud dapur boleh mengurangkan panas di dapur. Pada hakikatnya hud dapur adalah satu mekanisme yang menapis asap bagi mengasingkan partikel minyak, air dan bahan masakan. Ia efektif dalam mengurangkan bau tetapi tidak mengurangkan haba.


Hud Dapur adalah untuk mengurangkan asap, bau dan partikel di udara. Gambar hiasan.

Perbincangan

Kita telah lihat dan kupas 5 faktor utama yang menyebabkan rumah terasa panas. Para arkitek sepatutnya menasihati anda bagaimana untuk mengurangkan kesan haba di rumah anda, samada rumah baharu atau rumah yang bakal diubahsuai. Penyejukkan pasif harus menjadi pilihan utama, kerana arkitek akan mereka penyelesaian yang bukan sahaja membantu menyejukkan rumah, tetapi juga mempunyai kos hayat dan selenggara yang rendah.

Penggunaan peralatan seperti pendingin hawa seharusnya dikekalkan di tahap yang rendah. Apabila ia diperlukan, kerah arkitek anda untuk memikirkan penyelesaian yang efisien dan jimat tenaga. Di universiti-universiti Malaysia juga telah lama membuat kajian terhadap respon kepada iklim khatulistiwa ini. Antara penyelidikan terbaharu ialah di Universiti Teknologi Malaysia, yang telah membina prototaip Rumah Jimat Tenaga di kampus Skudai.


Rumah Jimat Tenaga, Universiti Teknologi Malaysia (sumber: The Star)

Diharap di masa akan datang, pengguna di Malaysia cukup bijak untuk bukan sahaja meminta rumah yang cantik dari arkitek, tetapi juga praktikal dan jimat tenaga untuk keselesaan masa hadapan!

Shares