“Doktor anak saya demam dah 2 hari. Hari ini pula dah mula ada ruam pada badan dia”

“Yang menjadi persoalan saya, anak saya dah divaksin untuk campak sebelum ini. Kenapa dia masih terkena campak?”

Persoalan ini seringkali diajukan kepada perawat kesihatan dan kadang-kadang perawat kesihatan itu sendiri tidak tahu untuk menjawabnya. Mungkin ini penjelasan kami mampu merungkaikan persoalan anda

Penyebab demam berserta ruam
Demam berserta ruam(fever with rash) merupakan salah satu simptom daripada pelbagai jenis penyakit. Ia boleh disebabkan jangkitan:
– Virus Measles
– Virus Rubella
– Virus Roseola
– Virus Coxsackie
– Enterovirus
– Chicken pox
– Beberapa jenis virus lagi
– Bakteria Streptococcus pyogenes
– Bakteria Neisseria Meningitides

Selain daripada itu, ia boleh disebabkan penyakit lain seperti Systemic Lupus Erythematous, Henoch-Schönlein Purpura dan banyak lagi.

Nah, penyebab demam berserta ruam ataupun campak bukanlah disebabkan satu jenis kuman sahaja. Tetapi mempunyai pelbagai penyebab. Manakala, vaksin hanya melindungi beberapa jenis kuman sahaja. Sebab itu seseorang kanak masih mempunyai kebarangkalian untuk mendapat demam campak.

Vaksin yang diberi melindungi kuman apa?
Kuman yang selalu menyebabkan demam campak dan ia boleh dilindungi dengan vaksin adalah measles dan juga rubella.

Ini bermaksud seseorang bayi yang telah divaksin itu imun terhadap virus measles dan rubella, tetapi dia tidak imun terhadap virus-virus lain yang juga boleh menyebabkan demam berserta ruam(iaitu campak).

Sebab itu, tidak semestinya seseorang itu dicucuk vaksin campak, dia tidak akan terkena campak. Masalah yang berlaku apabila istilah campak yang dimaksudkan itu tidak diterjemahkan dengan betul kepada bahasa melayu dan membuatkan kebanyakkan orang kita keliru.

Cara yang paling mudah untuk membetulkan kekeliruan ini adalah dengan memberikan diagnosis campak yang spesifik.
Sbg contoh jika seseorang itu mengalami jangkitan measles, saya akan spesifik cakap yang dia ada ‘demam campak Measles’.

Tetapi jika seseorang itu sudah divaksin dan ruam tidak sama seperti campak measles, saya akan beritahu diagnosis lain sebagai contoh demam campak roseola dan sebagainya.

Kenapa perlu pemberian vaksin measles dan rubella? Virus yang lain tak perlu diberi vaksin ke?
Virus measles dan rubella mempunyai komplikasi yang lebih teruk jika hendak dibandingkan dengan virus lain.

Sebagai contoh measles, ia boleh menyebabkan sistem imun badan menjadi lemah ketika dan selepas jangkitan measles. Kanak-kanak yang mendapat jangkitan ini selalunya akan berakhir dengan jangkitan paru-paru dan maut disebabkan perkara itu juga.

Manakala rubella pula boleh menyebabkan kecacatan pada kandungan. Ia boleh menyebabkan katarak pada bayi dan masalah jantung.

Kedua-dua komplikasi ini boleh dielakkan dengan pemberian vaksin. Dan inilah sebab kenapa kedua virus ini diberikan vaksin berbanding virus-virus lain. Sebab komplikasinya boleh membawa maut dan juga kecacatan kekal.

Kesimpulan:
Tidak semestinya seseorang itu diberi vaksin untuk campak, maka dia akan kebal terhadap semua jenis campak. Ia bergantung kepada penyebab yang menyebabkan demam campak tersebut.
Vaksin Kementerian Kesihatan Malaysia hanya memberikan perlindungan campak pada virus measles dan juga rubella.

Shares