Kemoterapi adalah salah satu cara rawatan kanser selain radioterapi dan pembedahan. Rawatan ini menggunakan ubat-ubatan untuk menghapuskan sel-sel kanser dalam tubuh pesakit. Kemoterapi merosakkan dan membunuh sel-sel kanser supaya sel tersebut tidak dapat membahagi dan merebak.

KEMOTERAPI MEMBUNUH?

Agen kemoterapi adalah agen yang bersifat sitotoksik – toksik terhadap sel. Ini kerana fungsinya untuk MEMBUNUH SEL KANSER.

apoptosis

 

Kemoterapi berfungsi untuk mengubah dan mengganggu sistem dalam sel:

  • samaada menggenggu penghasilan DNA, protein
  • mengganggu tapak jalan perantaraan signal dalam sistem sel.
  • Gangguan ini akan seterusnya memaksa sel tersebut berhenti membahagi dan ‘membunuh diri’ (apoptosis).

Agen kemoterapi seperti cisplatin contohnya berfungsi menambat pada nukleotid dalam jalinan DNA. Salah satu akibatnya adalah menyebabkan jalinan DNA tersebut tidak lagi normal dan tidak lagi dapat dikenali untuk replikasi DNA atau translasi untuk menghasilkan protein. Ini sangat mengganggu fungsi dalam sel dan memaksa sel tersebut membunuh diri (melakukan apoptosis).

Molekul pyriplatin menambat pada jalinan DNA

KESAN SAMPINGAN KEMOTERAPI

 

Seperti yang kita telah tahu, sel-sel kanser adalah sel dari tubuh kita sendiri yang mengalami mutasi dan bertukar menjadi sel yang hilang kawalan dalam pembahagian sel. Sel kanser tidak banyak berbeza dengan sel-sel kita yang normal. mengapa sel ini perlu dibunuh? Baca dengan lebih lanjut mengenani kanser disini.

Kebanyakan agen kemoterapi ‘menyerang’ sel kanser kerana (secara hipotesis) sel kanser membahagi lebih banyak dan pantas berbanding sel normal. Jadi sel-sel ini akan terbunuh dengan lebih banyak dari sel normal yang membahagi dengan perlahan.

Image result for mitosis jpg

Ada pelbagai jenis sel dalam tubuh kita dan setiap satunya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Sel rambut kita adalah berbeza sekali dengan sel kulit. Sel dalam kornea mata juga berbeza dengan sel yang kita nampak pada kelopak mata.

Kadar sel-sel ini membahagi juga tidak sama. Lihat saja frekuensi kita memotong kuku jejari tangan dan kuku jejari kaki, kuku jejari kaki mungkin terasa lebih lambat panjang berbanding kuku di tangan.

Oleh kerana kebanyakan agen kemoterapi adalah tidak spesifik, ia adalah seperti peluru tidak bermata yang juga akan menyerang sel normal yang juga mempunyai kadar pembahagian sel yang pantas (seperti sel kanser)

ulcer

Sel dalam lapisan mulut contohnya adalah pantas membahagi kerana geseran dari gigi dan makanan akan menyebabkan lapisan dalam mulut ‘haus’, jadi sel-sel ini perlu sentiasa diganti untuk memastikan lapisan dalam mulut itu sentiasa cantik dan berfungsi melindungi kita dari bakteria, bahaya dan kesakitan. Begitu juga sel-sel yang melapisi saluran esofagus dan usus yang sentiasa bergeser dengan pelbagai  bahan yang kita makan.

Sel-sel ini akan juga ‘diserang’ oleh agen kemoterapi dan menyebabkan ia mati. Keadaan ini akan menyebabkan kesan sampingan seperti ulser dan ketidakselesaan perut. Diarea atau cirit birit juga adalah kesan sampingan yang biasa dialami oleh pesakit yang menjalani kemoterapi.

Keadaan abnormal pada kuku juga antara kesan sampingan kemoterapi

Pesakit kanser juga sering digambarkan dalam keadaan botak. Keguguran dan kehilangan rambut juga adalah antara kesan sampingan yang biasa dialami dari kemoterapi kerana folikel-folikel rambut juga adalah antara jenis sel yang membahagi dengan frekuensi yang tinggi.

alopecia

TIADAKAH AGEN KEMOTERAPI YANG LEBIH SPESIFIK?

Kemajuan dalam bidang ini telah menemukan kita dengan agen yang lebih spesifik dan memilih sel kanser berbanding sel normal. Namun, kaedah ini adalah terhad dan hanya dapat digunakan pada kanser yang tertentu sahaja. Walaupun dikatakan ia adalah spesifik, agen-agen ini masih lagi mempunyai kesan sampingan terhadap sel normal. Ini adalah kerana perbezaan yang sangat kecil antara sel normal dan sel kanser.

Agen tamoxifen yang digunakan secara meluar untuk merawat kanser payudara contohnya, berfungsi dengan ‘menyerang’ sel-sel yang mempunyai reseptor estrogen. jadi sel-sel yang mempunyai reseptor estrogen dan bergantung dengan reseptor ini untuk pembahagian sel akan dibunuh dengan efisyen.

Ada pelbagai jenis antibodi monoklonal yang menambat secara spesifik pada reseptor tertentu pada sel, terutamanya sel kanser. Antibodi trastuzumab (Herceptin) contohnya digunakan bagi rawatan kanser payudara yang mempamerkan reseptor HER2 pada permukaan selnya.

BENARKAH KEMOTERAPI TIDAK MENYEMBUHKAN DAN HANYA SEDIKIT SAJA PESAKIT YANG SEMBUH DARI KANSER?

Sudah tentu tidak benar!

Prognosis (kesembuhan) bagi setiap jenis kanser adalah pelbagai. Tetapi ia sangat sangat bergantung pada tahap kanser ketika diagnosis. Lebih awal ia ditemui, lebih tinggi peluang untuk sembuh sepenuhnya. Lebih penting lagi, lLEBIH AWAL KANSER DIRAWAT, lebih tinggi peluang untuk sembuh.

Kajian Kong et al. (2017) contohnya menunjukkan kadar kemandirian keseluruhan (overall survival rate) lima tahun purata bagi kes kanser payudara di Malaysia adalah 68% selepas rawatan (bagi kanser tahap I dan II, survival rate adalah antara 80-90%). Manakala, bagi kanser kolon, kadar lima tahun purata bebas kanser adalah antara 45-73% di Malaysia (Magaji et al. (2017)) selepas rawatan hospital (bergantung pada tahap kanser ketika diagnosis).

ADAKAH RAWATAN ALTERNATIF MEMBANTU?

Mungkin jika rawatan tersebut MEMBUNUH SEL kanser seperti kemoterapi dan radioterapi. ATAU membuang sel kanser dari tubuh badan anda seperti pembedahan.

Jadi jika anda disuakan sesuatu produk yang didakwa menyembuhkan kanser, pastilah bahan tersebut adalah bersifat toksik untuk ‘membunuh’ sel. Sebelum mencuba… tanyalah penjual tersebut tentangnya.

Tiada cara lain untuk merawat kanser selain membunuh dan ‘membuang’ sel kanser dari tubuh kita.

RUJUKAN

Magaji BA, Moy FM, Roslani AC, Law CW. Survival rates and predictors of survival among colorectal cancer patients in a Malaysian tertiary hospital. BMC cancer. 2017 May 18;17(1):339.

Kong YC, Bhoo-Pathy N, Subramaniam S, Bhoo-Pathy N, Taib NA, Jamaris S, Kaur K, See MH, Ho GF, Yip CH. Advanced Stage at Presentation Remains a Major Factor Contributing to Breast Cancer Survival Disparity between Public and Private Hospitals in a Middle-Income Country. International journal of environmental research and public health. 2017 Apr 16;14(4):427.

Pathy NB, Yip CH, Taib NA, Hartman M, Saxena N, Iau P, Bulgiba AM, Lee SC, Lim SE, Wong JE, Verkooijen HM. Breast cancer in a multi-ethnic Asian setting: results from the Singapore–Malaysia hospital-based breast cancer registry. The Breast. 2011 Apr 30;20:S75-80.

Kong YC, Bhoo-Pathy N, Subramaniam S, Bhoo-Pathy N, Taib NA, Jamaris S, Kaur K, See MH, Ho GF, Yip CH. Advanced Stage at Presentation Remains a Major Factor Contributing to Breast Cancer Survival Disparity between Public and Private Hospitals in a Middle-Income Country. International journal of environmental research and public health. 2017 Apr 16;14(4):427.

 

 

Shares